ADA dalam kalangan orang politik yang melenting kerana kurang setuju dengan penggunaan bendera putih sebagai satu isyarat kepada umum bahawa isi rumah yang mengibarkannya telah putus bekalan makanan atau keperluan harian. Mengusutkan lagi keadaan ada yang menganggap ia sebagai helah politik oleh pihak tertentu.
Penggunaan bendera putih yang digunakan dalam konflik bersenjata sebenarnya merangkumi beberapa perkara lain dan bukan mutlak bermaksud menyerah diri. Ia juga kerap diguna apabila komander pasukan mahu menghentikan pertempuran untuk tempoh tertentu bertujuan berunding dengan musuh, mengadakan gencatan senjata atau melengahkan masa untuk merangka strategi baharu.
Apa yang perlu diberi perhatian berkaitan bendera putih ini jika dikaitkan dengan pertahanan negara ialah ia mungkin memberi bayangan mengenai bagaimana ia boleh mendatangkan kesan kepada pertahanan negara yang turut berpaksikan kepada konsep Pertahanan Komprehensif.
Ini bermaksud sumbangan pihak awam terhadap keutuhan pertahanan negara mesti diambil kira dan kesan pandemik ini kepada faktor tersebut.
Pertahanan Komprehensif bertujuan menyokong pelaksanaan konsep HANRUH atau Pertahanan Menyeluruh dari aspek Kesiagaan Keselamatan. Antara aspek di bawah HANRUH ialah perpaduan dan penyatuan masyarakat, kesiapsiagaan awam, keutuhan ekonomi dan keutuhan psikologi.
Konsep ini menekankan bahawa tanggungjawab mempertahankan negara bukan hanya digalas oleh ATM dan pasukan keselamatan bahkan juga seluruh lapisan masyarakat dari peringkat organisasi hingga individu.
Sun Tzu, pemikir ketenteraan terkemuka China yang hidup pada tahun 500 Sebelum Masehi dan masih dianggap antara pemikir sains ketenteraan terkemuka dunia sehingga ke hari ini menjelaskan terdapat lima faktor asas menentukan sama ada sesebuah negara bakal mencapai kemenangan apabila menghadapi peperangan atau konflik. Ia adalah politik, cuaca, bentuk muka bumi, komander dan akhir sekali doktrin.
Dalam usaha negara memerangi Covid-19, lima faktor yang disebut oleh Sun Tzu kesemuanya tidak menyebelahi negara. Pertama, politik. Senario politik negara masih terumbang-ambing dengan parti-parti dan ahli politik dilihat lebih sibuk mahu menjatuhkan sesama sendiri.
Kedua, cuaca. Ia dikaitkan dengan interaksi antara alam semula jadi dan rakyat, tentunya Covid-19 adalah musuh semula jadi halimunan yang masih bermaharajalela. Faktor 3S (sesak, sempit, sembang dekat) umpamanya masih diabaikan sebahagian besar masyarakat.
Tafsiran
Ketiga, bentuk muka bumi, ia boleh dikaitkan dengan perintah kawalan pergerakan atau PKP yang kerap menjadi isu akibat pelanggaran oleh pelbagai pihak dan berubah-ubah tafsirannya.
Keempat, komander. Komander atau kepimpinan dari kementerian yang dipertanggungjawabkan kerap dilihat masyarakat mengeluarkan perintah yang berbeza, selain isu berkaitan penentuan sektor ekonomi mana yang dibenar beroperasi, serta sistem MySejahtera dan pendaftaran pemberian vaksin yang kadangkala mengelirukan.
Faktor kelima ialah doktrin. Walaupun strategi melawan Covid-19 dilihat semakin bertambah baik, doktrin atau strategi yang diguna pihak berwajib dianggap kurang mendatangkan kesan oleh banyak pihak.
Terdapat kekeliruan mengenai sektor penyumbang peratus kes tertinggi, selain wujudnya kluster kayangan yang tidak segan silu melanggar PKP dan 3S tanpa diberi hukuman setimpal oleh pihak berwajib.
Jika semakin ramai yang mengibarkan bendera putih, ia adalah petunjuk bahawa konsep Pertahanan Komprehensif akan terhakis. Rakyat yang perut anak-anaknya kosong tidak lagi akan mempedulikan hal-hal lain selain daripada bagaimana cara untuk mengisinya. Jika keadaan ini semakin serius konsep HANRUH akan hancur.
Isunya bukan kibaran bendera putih, tetapi perpaduan dan penyatuan masyarakat yang diancam ideologi politik, Kesiapsiagaan awam yang semakin rendah akibat pelbagai sekatan, keadaan ekonomi yang semakin rapuh dan keutuhan psikologi rakyat yang semakin tertekan.
Kesemua faktor ini menjadi aspek utama mendokong keutuhan HANRUH dan jika tidak diberi perhatian akan merobohkan benteng pertahanan negara dari dalam.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca