SHAH ALAM - Malaysia dilihat berada di landasan tepat untuk mencapai imuniti kelompok menjelang tahun depan dengan pertambahan penerimaan sebanyak 12 juta dos vaksin Covid-19 pada bulan ini.
Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, pertambahan itu akan menjadikan jumlah penduduk di negara ini yang menerima suntikan vaksin meningkat kepada hampir 20 peratus.
"Dengan penerimaan jumlah besar bekalan vaksin ini juga, sekurang-kurangnya kita boleh mengejar sasaran untuk beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Untuk beralih ke Fasa Dua, purata kes harian Covid-19 perlu berada di bawah 4,000 kes dan sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal,” katanya.
Dr Hanafiah berkata, peningkatan penerimaan dos vaksin itu diyakini mampu membantu negara mencapai sasaran 60 peratus penduduk divaksinasi pada September depan.
"Paling penting bekalan vaksin yang baru diterima ini perlu memfokuskan kawasan panas seperti kilang. Kalau di Selangor, kawasan kilang paling banyak terletak di Shah Alam dan Klang.
"Tumpuan juga perlu diberikan kepada kawasan kepadatan penduduk yang tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor,” ujarnya.
Beliau berkata, kajian yang dilakukan mendapati paten jangkitan lebih tertumpu di kawasan berkepadatan tinggi.
Oleh itu, katanya, sasaran imuniti kelompok perlu difokuskan di kawasan padat dahulu.
"Sekiranya sasaran 60 peratus penduduk divaksinasi berjaya dicapai pada September ini, ia membolehkan negara beralih ke Fasa Tiga PPN, sekali gus membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dapat dibuka dan rakyat menikmati lebih banyak kelonggaran,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pertambahan liputan vaksin sangat diperlukan, apatah lagi negara berdepan penularan varian Delta yang lebih ganas dan cepat merebak.
Ujar beliau, varian tersebut sangat mudah berjangkit terutama kepada golongan yang tidak divaksinasi.
"Jadi, kita perlu pastikan lebih ramai penduduk di negara ini mendapat suntikan vaksin untuk menyekat penularan varian baharu ini.
"Kita lihat walaupun kadar vaksinasi di Amerika Syarikat sudah mencapai lebih kurang 70 peratus, tapi disebabkan kira-kira 30 peratus yang belum divaksin itu, ia menyebabkan jangkitan varian Delta bergerak pantas di negara itu,” katanya.
Berikutan itu, beliau berkata, Malaysia perlu sekurang-kurangnya mencapai lebih 60 peratus kadar vaksinasi dalam tempoh tiga bulan mulai sekarang untuk mengawal varian terbabit.
"Tempoh tiga bulan ini sangat kritikal untuk kita meningkatkan jumlah rakyat yang menerima vaksin.
"Dengan jumlah penerima vaksin berjumlah enam juta orang sehingga Mei lalu, ditambah dengan 12 juta lagi hingga hujung bulan ini, kita masih memerlukan bekalan vaksin yang banyak untuk menampung lebih 32 juta penduduk Malaysia,” katanya.
Pada Sabtu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa dunia kini dalam tempoh sangat bahaya ketika mendepani pandemik Covid-19, lebih-lebih lagi dengan penularan varian Delta kini yang dilaporkan menular sehingga hampir 100 negara.
Klik di sini untuk terus membaca