WALAUPUN umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha dua minggu lagi, namun tawaran untuk menyertai ibadah korban sudah pun bermula sejak Aidilfitri dua bulan lalu.
Promosi ibadah korban khususnya di luar negara sentiasa ‘lalu lalang’ di Facebook Merak Jalanan.
Penganjurnya ialah syarikat dan pertubuhan di Malaysia.
Apa membuatkan Merak Jalanan teruja bukanlah disebabkan penganjur menampilkan selebriti sebagai duta kempen, tetapi kerana harga bahagian lembu korban di luar negara hanya serendah RM300 iaitu sekali ganda lebih murah berbanding di Malaysia sekitar RM750.
Merak Jalanan faham di luar negara juga terdapat saudara seagama kita yang amat perit kehidupan mereka.
Mereka menderita kemiskinan, kebuluran dan macam-macam lagi.
Kalau mereka tidak sedaif itu, tidak mungkin Ebit Lew mengagihkan bantuan sehingga ke Afrika dan Palestin.
Ebit Lew sendiri mengaku dia sebak dan sayu melihat penduduk luar bandar di Afrika yang tinggal di dalam rumah zink berbentuk kotak sebesar tandas.
Dalam satu video lain yang Merak Jalanan tonton, seorang penduduk di Timur Tengah memberitahu dia hanya dapat makan daging setahun sekali iaitu pada Hari Raya Korban.
Pastilah dengan adanya daging korban sumbangan orang Malaysia, sekurang-kurangnya dapatlah mereka merasa seketika enak dan manisnya daging.
Namun begitu, masyarakat kita di sini tidak kurang ramai yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik ini.
Itulah sebabnya ada kempen bendera putih.
Melaksanakan ibadah korban di dalam negara juga banyak manfaatnya.
Kita secara tidak langsung membantu golongan penternak tempatan dan segala rantaiannya. Ini bagus untuk ekonomi negara.
Bagi Merak Jalanan, ibadah korban di luar negara lebih sesuai untuk orang yang kurang mampu, tetapi orang berada, lebih baik buat di negara sendiri.
Klik di sini untuk terus membaca