SHAH ALAM - Tindakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir menggugurkan enam pemimpin sayap pemuda itu daripada jawatan AMK Pusat disifatkan sebagai keputusan yang terburu-buru.
Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, pihaknya mengakui kuasa prerogatif sebagai ketua AMK membolehkan Akmal Nasrullah melantik dan memecat seseorang bagi memperkukuhkan barisan kepimpinannya.
"Bagi saya tindakan pengguguran enam pemimpin AMK itu dibuat secara terburu-buru.
"Prerogatif seorang ketua AMK bukan sahaja dalam melantik dan memecat seseorang, tetapi menguatkan perpaduan di kalangan sayap AMK sebagai benteng Presiden (parti),” katanya kepada Sinar Harian.
Minggu lalu, Akmal Nasrullah bertindak menggugurkan enam pemimpin sayap parti itu iaitu Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman; Ketua AMK Selangor, Najwan Halimi; Ketua AMK Perlis, Azam Karap; Penolong Setiausaha AMK, Muhammad Naqib Nasruddin; Timbalan Pengarah Strategik PKR, Fakhrul Razi Zailan dan Ketua Biro Pelajar AMK, Shahrul Nizam.
Tindakan itu dikatakan berpunca daripada pertelagahan antara penyokong Anwar dan mereka yang setia kepada bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Rafizi pada masa ini tidak lagi aktif dalam politik, manakala Akmal merupakan anak didiknya yang dibawa sebelum ini untuk menyertai PKR
Sementara itu, sumber PKR Pusat mendedahkan keputusan Akmal Nasrullah menggugurkan enam pemimpin AMK terbabit tidak mendapat respon positif daripada pucuk kepimpinan parti termasuk Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pendedahan sumber PKR berkenaan adalah kontra dengan kenyataan Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang yang sebelum ini menjelaskan keputusan rombakan AMK dilakukan Akmal Nasrullah adalah kekal.
Jelas sumber berkenaan, dalam satu mesyuarat Biro Politik PKR pada Rabu minggu lalu, Anwar dipercayai menegur Akmal Nasrullah kerana berpendapat tindakan itu merencatkan agenda melawan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Dalam mesyuarat itu juga, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula difahamkan menghentak meja setelah Akmal memberi alasan tindakan pengguguran bersifat peribadi.
"Penjelasan Lih Kang tidak tepat dan berlawanan dengan situasi asal,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ketua AMK Selangor digugurkan serta-merta
Klik di sini untuk terus membaca