"SAYA berharap, ini tidak dijadikan isu perkauman kerana sebelum ini, kerja-kerja penguatkuasaan kita turut dilakukan di Sungai Ichat dan Lembah Bertam, Cameron Highlands serta di Kechau, Lipis,” demikian kata Menteri Besar Pahang, Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

"SAYA berharap, ini tidak dijadikan isu perkauman kerana sebelum ini, kerja-kerja penguatkuasaan kita turut dilakukan di Sungai Ichat dan Lembah Bertam, Cameron Highlands serta di Kechau, Lipis,” demikian kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut rekod, kerja-kerja penguatkuasaan membanteras penerokaan tanah secara haram di Sungai Ichat membabitkan masing-masing 24 pekebun India dan Cina; di Lembah Bertam, 99 pekebun Cina dan 21 pekebun India.

Di Kechau pula adalah penguatkuasaan ke atas perlombongan emas tanpa kebenaran membabitkan pelombong Melayu, kesemuanya atas 14 lot tanah milik sendiri dengan setiap lot ada senarai nama panjang pemilik bersama.

Kata-kata Wan Rosdy itu adalah sebagai maklum balas kepada pihak media tentang isu penguatkuasaan ke atas kebun-kebun haram dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Talam, khususnya di kawasan seluas 101.17 hektar (250 ekar) di situ.

Ini adalah sangat difahami ekoran sudah ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan kerja-kerja penguatkuasaan tersebut yang didakwa bersifat perkauman apabila pekebun-pekebun haram di situ dalam kalangan kaum Cina.

Seperti semua sedia maklum, penguatkuasaan kali ini melibatkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan beberapa lagi agensi penguatkuasaan termasuk Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) dengan mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 3 Julai dan akan diteruskan sehingga 2 Ogos ini.

Operasi penguatkuasaan termasuk menahan mana-mana individu/pekebun haram yang memasuki kawasan HSK Batu Talam tanpa kebenaran dan turut menyita apa juga barangan serta kenderaan yang menceroboh.

Provokasi

Operasi penguatkuasaan itu sebenarnya adalah operasi penguatkuasaan biasa tetapi telah mendapat tentangan dan provokasi dengan kata-kata kesat yang dikeluarkan ke arah pegawai-pegawai dan kakitangan penguat kuasa.

Yang menakjubkan adalah kehadiran pemimpin sebuah parti politik pembangkang – boleh lepas merentas negeri ketika negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang tidak membenarkannya semata-mata untuk menunjukkan sokongan.

Dan, antara sokongan itu termasuk mendakwa, kononnya operasi penguatkuasaan kali ini melanggar perintah Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 5 Januari 2021 susulan pekebun haram memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam pokok durian musang king.

Dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana kerja-kerja penguatkuasaan kali ini adalah di luar kawasan kebun durian dimaksudkan yang dipajak kepada Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDRP) – usahasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) – sebuah agensi kerajaan negeri dengan pihak swasta.

Operasi penguatkuasaan dan kawasan dijalankan penguatkuasaan itu juga setelah mendapat pandangan perundangan daripada Pejabat Penasihat Undang-undang (LA) Negeri yang sebelum itu telah merujuk perkara berkenaan kembali ke Mahkamah Rayuan yang sama.

Sebelum keputusan injunksi oleh Mahkamah Rayuan tersebut, Mahkamah Tinggi Kuantan pada 23 Disember 2020 telah pun menolak permohonan pekebun haram berkenaan untuk mendapatkan kebenaran sema-kan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang sama.

Mahkamah Tinggi sama turut mendapati pekebun terbabit adalah penceroboh di tanah berkenaan dan tidak mempunyai hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.

Undang-undang

Maka, dari segi perundangan adalah jelas bahawa kerja-kerja penguatkuasaan yang kerajaan negeri jalankan berlunaskan undang-undang, manakala di pihak pekebun haram, mereka cuma mendapat perintah injunksi bagi pelaksanaan kerja-kerja penguatkuasaan di kawasan dipertikaikan (RPDRP) sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Rayuan kelak.

Dalam pada itu, sentimen simpati yang dimainkan termasuklah mempertikaikan kenapa kerja-kerja penguatkuasaan kali ini dibuat ketika pokok-pokok durian berkenaan sudah berbuah, seolah-olah ia satu tindakan kejam dan menganiaya.

Begitu juga dipertikaikan kenapa setelah 20 tahun pekebun haram bertanam di kawasan HSK Batu Talam, baru sekarang hendak mengambil tindakan penguatkuasaan.

Kepada pertikaian-pertikaian tersebut, sudah tentu yang paling asas adalah haram tetap haram, waima apa sekali pun alasan atau reverse psychology yang diberikan bagi meraih simpati dan cuba menghalalkannya.

Sedar tentang status haram tersebut, tentu pekebun haram terbabit sendiri sudah mengambil kira elements of risk yang mana keadaannya bolehlah umpama – ‘untung sabut timbul, untuk batu tenggelam’.

Penulis tertarik dengan analogi seorang peguam yang lebih dikenali sebagai ‘Apek Cina’. Dia umpamakan serbuan polis ke atas premis memproses dadah kanabis yang takkanlah pemprosesnya boleh meminta polis membenarkan mereka menghabiskan pemprosesan haram itu sebelum ditahan.

Kenapa sekarang, tidak 20 tahun lepas? Kita boleh bertanya kembali, kenapa tidak boleh sekarang? Apatah pula sekarang apabila kerja-kerja haram mereka di kawasan terpencil yang sukar dikesan sebelum ini, telah mula terbongkar dan pihak penguat kuasa mempunyai keupayaan untuk membanterasnya.

Sementelah pula, kerajaan negeri yang cemerlang dengan kejayaan di Sungai Ichat dan Lembah Bertam, dan dijadikan penanda aras bagi kerja-kerja penguatkuasaan ke atas apa juga jenis pencerobohan tanah secara haram di negeri ingin terus konsisten dengannya.

Sudah tentu rakyat Pahang khususnya, turut memberi sokongan padu atas usaha-usaha dan ketegasan kerajaan negeri. Sokongan itu akan dapat menaikkan lagi semangat untuk ia melakukan yang betul dan lebih baik lagi.

* Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali ialah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang

Klik di sini untuk terus membaca