FUNGSI utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah mempertahankan kedaulatan negara daripada segala ancaman luaran. Bagi tujuan itu, semua cabang ATM sama ada darat, laut dan udara dilengkapi dengan segala kelengkapan bersesuaian dengan tugas serta tanggungjawab mereka.
Selain aset moden dan canggih, kepakaran anggota mengendalikan aset tersebut juga amat dititikberatkan oleh pucuk pimpinan negara dan pemerintahan tentera Malaysia.
Keutuhan peranan ATM telah terbukti sejak darurat kali pertama (1948-1960), insurgensi menentang ancaman komunis (sehingga 1989), Konfrontasi (1963-1966), insiden Lahad Datu (2013) dan ancaman-ancaman lain.
Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilancarkan pada Mac 2020, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjadi peneraju dalam pembikinan polisi dan pengurusan isu berkaitan keselamatan negara.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi agensi utama dalam pengurusan kesihatan awam, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi badan utama dalam penguatkuasaan undang-undang. ATM sebagai salah satu badan dalam MKN turut menyumbang kepakaran memerangi Covid-19.
SATU perkara unik dimiliki ATM berbanding organisasi lain adalah ATM mempunyai kepakaran dalam semua bidang dan bukannya tertumpu kepada kepakaran untuk berperang sahaja.
Pada peringkat awal, anggota ATM digerakkan untuk membantu PDRM menguatkuasakan PKP dan mengetuai Pasukan Petugas Khas dalam Ops Benteng bagi membanteras penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang boleh menyebabkan penularan Covid-19.
Penglibatan ATM menjadi lebih aktif apabila jumlah pesakit Covid-19 bertambah dengan mendadak sehingga menyebabkan perkhidmatan kesihatan awam berada pada tahap maksimum.
Dalam keadaan genting, Kor Kesihatan Diraja (KKD) ATM telah diaturgerakkan untuk membina hospital medan bagi menampung keperluan membantu hospital awam.
Menariknya, hospital medan ATM dapat dibangunkan dan beroperasi dalam kadar segera mengikut keperluan KKM.
Walaupun hospital medan beroperasi dalam khemah, kontena dan dewan bersifat sementara, namun ia diurus oleh doktor pakar, jururawat serta pasukan bantuan dan kelengkapan yang setaraf dengan hospital di bawah KKM.
Pakar perubatan ATM setaraf dengan doktor pakar di hospital yang lain. Mereka adalah pegawai perubatan yang sentiasa dilatih untuk bertugas dalam pelbagai keadaan lebih mencabar berbanding rakan mereka di hospital awam.
Menggerakkan, membina dan mengoperasi hospital dalam keadaan berperang memerlukan kepakaran yang tersendiri. Setakat 22 Jun, sebanyak enam hospital medan yang lengkap dengan peralatan termasuk katil ICU telah dibina dan beroperasi sepenuhnya.
ATM mempunyai kepakaran dalam semua aspek termasuk pengurusan logistik. Pengumuman Menteri Kanan Keselamatan bahawa ATM akan membantu menyalurkan vaksin ke kawasan pedalaman amat sesuai dengan kelengkapan pengangkutan dimiliki ATM berbanding agensi kerajaan yang lain.
Kerajaan suatu ketika dahulu mempromosikan Strategi Lautan Biru - agensi kerajaan digalakkan berkongsi kemudahan bagi memberi perkhidmatan lebih efisien kepada rakyat. Peperangan menentang Covid-19 menunjukkan ATM dan agensi-agensi lain mempraktikkan strategi itu sepenuhnya.
Keadaan kini juga jelas memperlihatkan bahawa tentera bukan ‘makan dan tidur sahaja’. Perolehan kelengkapan dan kemudahan ketenteraan bukan hanya untuk berperang secara fizikal, boleh digunakan dalam keadaan darurat kesihatan yang sedang dihadapi negara.
Perbelanjaan bagi latihan anggota tentera adalah pelaburan yang kini jelas menunjukkan hasilnya.
* Amerul Muner Mohammad ialah mantan CEO Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya
Klik di sini untuk terus membaca