SEJAK dua hari lalu, tular satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) beberapa individu yang dilihat cukup asyik 'memborong' makanan food bank. Gelagat mereka dalam rakaman berdurasi kira-kira satu minit itu ternyata menarik perhatian warganet.
Tetapi Merak Jalanan sendiri tidak pasti di manakah lokasi sebenar kejadian itu berlaku. Apa yang pasti, pelaku dalam rakaman itu melibatkan seorang lelaki dan dua wanita. Modus operandinya, mereka ambil semua makanan dan memasukkannya dalam bungkusan plastik.
Cuma terdetik dalam hati Merak Jalanan, sanggup mereka 'sapu habis' makanan yang ada di food bank itu. Habis licin segala produk makanan yang disediakan dalam rak almari food bank itu. Tak ada apa langsung yang tinggal untuk 'orang belakang'.
Bagi Merak Jalanan, tindakan individu berkenaan lebih kepada penting diri sendiri. Tak salah pun nak ambil makanan food bank. Sebab itu ramai pihak tak kiralah daripada badan bukan kerajaan (NGO); persatuan penduduk, pemimpin masyarakat, mahupun orang perseorangan wujudkan food bank.
Tujuannya hanya satu - nak bantu golongan susah. Tetapi kenalah selalu beringat, nak ambil segala macam barangan keperluan harian itu biarlah berpada-pada. Dalam situasi negara masih dilanda krisis pandemik Covid-19 sejak tahun lalu, Merak Jalanan percaya ada pihak yang cukup terdesak untuk membeli barang dapur.
Jangan disebabkan ada segelintir pihak yang selfish, mungkin pihak yang selama ini selalu hulur bantuan dah tawar hati. Jika itu berlaku, yang jadi mangsanya sudah tentu mereka yang betul-betul mengharapkan belas ehsan daripada orang luar.
Mungkin food bank sajalah 'jalan terakhir' untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup sekeluarga saban hari. Bagi mereka, sekarang bukan hanya Covid-19 yang menjadi 'musuh'. Tetapi mereka juga perlu 'berperang' memikirkan cara mengisi perut kosong.
Klik di sini untuk terus membaca