SHAH ALAM - UMNO tidak akan mengambil tindakan memecat mana-mana ahli Parlimen UMNO yang enggan mengikut ketetapan terkini parti untuk menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta-merta. Sebaliknya seorang ahli Parlimen... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - UMNO tidak akan mengambil tindakan memecat mana-mana ahli Parlimen UMNO yang enggan mengikut ketetapan terkini parti untuk menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta-merta.

Sebaliknya seorang ahli Parlimen UMNO enggan dinamakan menjelaskan hasil keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Rabu malam, sebenarnya tidak dijelaskan sepenuhnya dan hanya mengambil sebahagian ketetapan sahaja.

Jelas beliau, kenyataan media dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Rabu malam tidak menyatakan salah satu keputusan mesyuarat MKT adalah memberi ruang kepada ahli-ahli Parlimen parti itu untuk bebas membuat sebarang keputusan sekiranya berlaku usul pengundian pada sidang Parlimen akan datang.

"Mesyuarat malam tadi (Rabu malam) mempersetujui dua ketetapan iaitu UMNO akan menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta-merta dan satu lagi adalah ahli-ahli Parlimen UMNO diberi kebebasan membuat pilihan pengundian dalam sebarang usul dikemukakan pada Dewan Rakyat.

"Sebab itu, saya pernah sebut bahawa kenyataan media disediakan Setiausaha Agung UMNO pada malam tadi tidak lengkap dan saya difahamkan beliau akan 'melengkapkannya' hari ini (Khamis).

"Ya, keputusan semalam (Rabu) memang pelik...Namun saya yakin mana-mana ahli Parlimen UMNO yang mahu terus berada dalam kerajaan (PN) termasuk menteri memang tidak boleh diambil tindakan (pemecatan)," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta

Beliau berkata demikian bagi mengulas implikasi keputusan MKT yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media lewat malam Rabu terhadap masa hadapan 38 ahli Parlimen UMNO, susulan MKT sudah memutuskan untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN serta-merta.

Selepas hampir lima jam bermesyuarat, Ahmad Zahid menegaskan ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti itu.

Mesyuarat MKT Rabu malam turut memutuskan UMNO tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-Pakatan Harapan (PH).

Di sebalik ketetapan terkini MKT UMNO yang diumumkan Ahmad Zahid pada Rabu malam, sumber berkenaan yang juga ahli MKT UMNO berkeyakinan 36 ahli Parlimen parti itu tidak akan berganjak daripada pendirian awal menolak sebarang arahan keluar daripada kerajaan PN, serta-merta.

Jelas beliau, sebarang keputusan MKT juga tidak akan mempengaruhi kedudukan kerajaan PN ketika ini kerana kuasa menentukan jatuh bangun kerajaan diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini terletak di tangan ahli-ahli Parlimen UMNO.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak puas hati keputusan Zahid, MKT dan MP UMNO boleh rujuk RoS

"Lagipun, apabila kami persoalkan apa langkah UMNO seterusnya setelah keluar daripada kerajaan PN, persoalan itu gagal dijawab Presiden dan kepimpinan pro beliau.

"Kalau hendak Yang di-Pertuan Agong lantik Perdana Menteri interim, bentuk kerajaannya bagaimana? Pucuk kepimpinan kena jelaskan siapa akan menjadi rakan koalisi untuk bentuk kerajaan bersama UMNO," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sewaktu dihubungi menegaskan ahli-ahli Parlimen parti itu dan Barisan Nasional (BN) masih belum memutuskan untuk mengadakan pertemuan tergempar dalam masa terdekat susulan keputusan terkini MKT.

Tajuddin Abdul Rahman

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Salak itu menyeru kepimpinan UMNO untuk lebih menfokuskan kepada usaha memperkasakan persiapan pilihan raya parti sekiranya mahukan parti itu kembali menjadi dominan.

"Saya enggan ulas lanjut (mesyuarat MKT Rabu malam). Cuma saya fikir sepatutnya UMNO lebih tumpukan persiapan menghadapi PRU15 kerana perkara itu lambat laun akan berlaku.

"Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk mengukuhkan peluang parti," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca