MERAK Jalanan percaya ada segelintir pihak mengambil kesempatan dan berselindung di sebalik tujuan asal menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Niat asal kononnya untuk melakukan kebajikan tetapi pada masa yang sama terselit niat mahu mengambil sedikit wang sumbangan untuk kegunaan peribadi.
Buktinya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini pelbagai NGO ditubuhkan umpama cendawan tumbuh selepas hujan.
Tahun lalu sahaja, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menerima sekurang-kurangnya 12,000 permohonan pendaftaran NGO.
Menurut JPPM, kebanyakan permohonan diterima membabitkan pertubuhan kebajikan, selain terdapat juga permohonan politik.
Lambakan NGO (berdaftar atau tidak) semakin ketara, lebih-lebih lagi apabila Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan mana-mana NGO mengutip sumbangan awam, boleh mengambil sehingga 30 peratus daripada dana tersebut sebagai caj pengurusan.
Disebabkan 'lampu hijau’ BNM, ada yang mampu hidup senang-lenang walaupun terlibat dalam NGO secara sambilan.
Malah, ada juga yang sanggup berhenti kerja dan memilih melakukan aktiviti kebajikan NGO sepenuh masa kerana kehidupan berubah 360 darjah berbanding ketika makan gaji.
Kecurigaan mula timbul apabila mereka yang menubuhkan NGO akan melantik diri sendiri sebagai ketua dan rakan-rakan rapat sebagai ahli jawatankuasa.
Apa pun, Merak Jalanan melihat matlamat penubuhan NGO oleh segelintir pihak kini sudah berbeza. Jika dahulu, NGO dikenali sebagai tempat aktiviti sukarelawan dan kebajikan.
Tetapi kini, ia jauh tersasar. Sebelum pandemik melanda negara, ada NGO yang banyak melakukan aktiviti 'syok sendiri’ seperti majlis makan malam di hotel ternama. Apa tujuannya?
Kerana sikap segelintir 'NGO cari makan ini’, reputasi NGO-NGO yang benar-benar mahu membantu golongan susah turut terjejas.
Klik di sini untuk terus membaca