SHAH ALAM - Krisis politik dicetuskan UMNO pada ketika ini bakal memberi hikmah kepada majoriti ahli Parlimen parti itu yang kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana situasi tersebut akan menyerlahkan integriti dan kewibawaan mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, sikap 'berani kerana benar' majoriti ahli Parlimen UMNO yang mendahulukan kepentingan rakyat berbanding parti mereka sendiri, dijangka memberi implikasi positif pada pandangan mata rakyat pada saat negara berdepan krisis Covid-19.
Jelas beliau, rakyat juga akan melihat ahli-ahli Parlimen UMNO akan bersikap lebih matang dalam mempertahankan kerajaan PN ditunjangi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Lagipun, Perdana Menteri sanggup melakukan keputusan luar biasa dengan melantik pemimpin UMNO bagi menggalas jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri demi mengukuhkan kepimpinan kerajaan dalam mendepani krisis Covid-19.
"Saya anggap keputusan UMNO malam tadi (Rabu) kurang cerdik dan bakal memudaratkan mereka.
"Sebaliknya, tindakan politik UMNO itu memberi hikmah kepada ahli-ahli Parlimen parti itu yang kekal menyokong kerajaan kerana mereka dilihat 'berani kerana benar' dan berintegriti," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas implikasi keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media lewat malam Rabu terhadap masa hadapan 38 ahli Parlimen UMNO, susulan MKT sudah memutuskan untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN serta-merta.
Selepas hampir lima jam bermesyuarat, Ahmad Zahid menegaskan ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan PN belum runtuh, sokongan 32 MP BN tidak berganjak
Mesyuarat MKT Rabu malam turut memutuskan UMNO tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-Pakatan Harapan (PH).
Ditanya motif sebenar UMNO memuktamadkan keputusan menarik diri daripada kerajaan PN serta-merta pada Rabu malam, Mohd Redzuan atau lebih dikenali Pak Wan berpendapat langkah itu dibuat bagi melindungi pemimpin-pemimpin utama parti itu yang terpalit kes mahkamah.
"Kita sudah jangka keputusan sebegini kerana segelintir pemimpin utama UMNO ghairah menggunakan parti itu bertujuan melindungi kes mahkamah mereka.
"Soal sama ada kerajaan tumbang tidak penting. Tetapi isu paling besar adalah rakyat mula nampak sikap sebenar pemimpin UMNO yang tergamak mendahului kepentingan politik peribadi pada saat kerajaan PN bergelut menangani Covid-19," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Klang daripada DAP, Charles Santiago berpandangan mana-mana koalisi parti yang berhajat mengambil-alih kerajaan pada saat krisis Covid-19 masih kritikal, sebenarnya berdepan risiko besar untuk lebih gagal daripada kerajaan sebelumnya.
Jelas beliau, dengan masalah dalaman UMNO yang berterusan menggugat kestabilan kerajaan, mana-mana parti yang cuba bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan baharu akan turut berdepan risiko serupa.
"Bagi saya, perkara paling penting adalah isu kesusahan rakyat yang bergelut dengan masalah pekerjaan, tidak cukup makan dan depresi sehingga bunuh diri yang harus diselesaikan dahulu...Bukan keperluan tukar kerajaan.
"Dari sudut perundangan, hanya ahli-ahli Parlimen yang boleh menentukan keabsahan kerajaan sekarang dan saya fikir keputusan UMNO itu langsung tidak beri kesan kepada kerajaan PN," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca