LEBIH kurang 20 tahun lalu, rakan saya pernah dilanggar oleh sebuah kereta yang sedang mengundur untuk parkir.
Bunyinya remeh tetapi kereta rakan saya mengalami kerosakan teruk juga. Namun begitu, apa yang terjadi selepas itu lebih mengejutkan.
Apabila sampai di balai polis berhampiran, pemilik kereta di hadapan telah membuat laporan bahawa rakan saya yang melanggar keretanya.
Mengucap panjang rakan saya itu kerana terkejut melihat ada manusia yang tak malu-malu untuk menipu. Namun nasibnya baik kerana beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian tampil menjadi saksi.
Bayangkan jika tidak ada saksi, pihak polis terpaksa menghabiskan waktu untuk menyiasat kes pelanggaran remeh begitu.
Masalah ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi di banyak negara. Penggunaan dashcam atau kamera papan pemuka terbukti mampu membantu penyiasatan kemalangan trafik.
Ada banyak syarikat insurans di negara luar yang mewajibkan penggunaan dashcam jika mereka mahu mengambil insurans kenderaan.
Di sesetengah negara Eropah, pengguna dashcam pula akan diberi diskaun kerana ia memudahkan operasi siasatan kemalangan.
Mungkin Malaysia sudah perlu ada kaedah sama kerana harga dashcam juga sudah menurun dengan banyak.
Model-model yang baik sudah boleh didapati dengan harga di bawah RM200 dan ia sudah memadai untuk kebanyakan pengguna.
Memang ada yang menawarkan sistem kamera lebih canggih dan jelas, tetapi ia tidak begitu diperlukan kerana video yang dirakam bukannya digunakan untuk menghasilkan drama Samarinda pun.
Sebenarnya, ada banyak lagi isu berkaitan insurans kenderaan yang perlu dilihat kembali. Seperti mana yang ramai sudah merasai, harga premium juga sudah meningkat senyap-senyap dan ia boleh membebankan pengguna.
Dalam keadaan gawat kerana pandemik ini dan penggunaan kenderaan adalah dalam kategori paling rendah, mungkin syarikat insurans boleh menghasilkan pilihan untuk menurunkan harga premium.
Contohnya, premium yang bukan hanya bergantung kepada nilai dan jenis kenderaan, tetapi jarak perbatuan setahun. Secara logiknya, mereka yang memandu 20,000km setahun akan mempunyai risiko yang jauh lebih rendah daripada mereka yang memandu sejauh 60,000km setahun.
Saya memang mengharapkan agar industri insurans kenderaan dirombak agar lebih relevan kepada perubahan semasa kerana pada pendapat saya, apa yang ada sekarang sudah terlalu lapuk.
* Hezeri Samsuri ialah wartawan dan penganalisis industri automotif sejak 25 tahun dahulu. Hak pengguna dan kemajuan industri automotif tempatan adalah fokus utama beliau, selain memandu dan menunggang segala jenis kenderaan di dunia.
Klik di sini untuk terus membaca