SETIAP hari kita diberitakan dengan kenaikan kes jangkitan Covid 19 dan setakat hari ini sahaja jumlah keseluruhan telah mencatatkan 836,926 kes.
Kes harian pula menunjukkan 9,105 kes, dengan kes di negeri Selangor adalah yang paling tinggi iaitu sebanyak 4,682 kes.
Siapa sebenarnya harus persalahkan, kerajaan yang membenarkan pembukaan industri atau kita yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP)?
Mengikut rekod, sehingga semalam rakyat telah 41 hari melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan kes terus melonjak dan kesannya kepada masyarakat potensi ‘hilang sumber pendapatan’.
Dalam masa sama, kerajaan juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk rakyat termasuk yang terbaharu Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk membantu rakyat.
Namun, selepas 41 hari PKP 3.0 dilaksanakan, saban hari kes di Selangor menunjukkan kadar yang terus mencanak naik sehinggakan ada cakap-cakap gurauan netizen berbunyi, "Boleh tak kita keluarkan Selangor dari Malaysia seketika, kerana negeri itu menaikkan data kita”.
Itu kata netizen, ya atau tidak kita kena terima hakikat bahawa kenaikan ini disebabkan proses saringan ujian swab berskala besar oleh kerajaan Selangor dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta ujian yang dilakukan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Tanpa kita sedari, kebelakangan ini negara sedang diancam varian Delta dengan dahsyat sekali, kadar kebolehjangkitannya amat tinggi.
Pada masa ini, ikutlah SOP dan nasihat pihak berkuasa kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberikan amaran tempoh ini sangat bahaya buat kita ketika mendepani pandemik ini.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, varian Delta yang dikenal pasti pertama kali di India terus menular dan bermutasi. Varian itu kini dilaporkan menular ke hampir 100 buah negara.
Keadaan ini sekali gus menunjukkan varian Delta lebih dominan dan lebih agresif berbanding varian Alpha yang ditemui sebelum ini.Beberapa hari ini kita melihat beberapa video tular menunjukkan keadaan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, keadaannya begitu kronik.
Jika kita imbas sekali lalu, kita tidak percaya kejadian itu berlaku di Malaysia, tetapi itulah hakikatnya ia berlaku di Selangor. Sistem kesihatan kita amat kronik dan berpotensi lumpuh sekiranya situasi ini tidak dibantu oleh masyarakat sendiri.
KKM juga sebelum ini telah meminta kerjasama agar dibuka beberapa hospital medan atau dipanggil hospital perang.
Terbaharu, kerajaan memutuskan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur menjadi hospital tumpang bagi pesakit Covid-19.
Ini membuktikan wad-wad biasa dan unit rawatan rapi (ICU) di HTAR semakin maksimum penggunaannya.
Di Lembah Klang sendiri, penggunaan ICU di semua hospital Covid-19 telah melebihi kapasiti 100 peratus, memaksa kerajaan meminta bantuan hospital swasta untuk menempatkan pesakit.
Penulis juga berpandangan agar kerajaan segera mengambil tindakan paling tegas untuk menghalang penyebaran kluster-kluster baharu di tempat kerja. Jika tidak, entah sampai bila masalah ini akan selesai dan sampai bilakah nadi negara ini akan beralih kepada PPN fasa dua?
Ya, diakui kita semua amat merindui untuk hidup bebas seperti sebelum 18 Mac 2020, anak-anak bebas ke sekolah, pembelajaran fizikal dan boleh membawa keluarga beristirahat tetapi semua ini tidak akan berjaya sekiranya penularan wabak ini tidak dibendung bersama.
Sudah terlalu lama kita berkurung, kita juga stres, sudah penat mesyuarat dalam talian, penat Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), tidak cukup alatan untuk anak-anak dan yang pastinya juga kita amat merindui minum teh tarik di restoran mamak.
Semua ini akan kembali kepada sedia ada apabila negara mencapai kes di bawah 4,000 kes harian.
Dua lagi faktor diambil kira ialah kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana dan 10 peratus populasi Malaysia sudah menerima dua dos suntikan vaksin.
Mencapai 4,000 kes harian, bilakah kita akan mencapainya?
* Mohd Fazli Zainul Abidin ialah Penerbit Program Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca