MERAK Jalanan terkejut apabila mengetahui kes ceroboh hutan untuk tanaman durian di Raub sudah berlaku selama berpuluh tahun.
Pihak yang menceroboh pun dikatakan sudah mengaut keuntungan beratus juta hasil daripada aktiviti haram itu.
Penceroboh pula naik tocang dan berani kerana mereka tahu ada kelemahan di peringkat penguatkuasaan.
Tak tahulah apa sudah jadi dengan negara kita ini apabila pelanggaran undang-undang dibiarkan berlaku terlalu lama hinggakan apabila tindakan hendak diambil banyak masalah lain pula timbul.
Maka amat wajar semua yang terlibat iaitu golongan yang menceroboh hinggalah mereka yang membenarkan pencerobohan dikenakan tindakan yang sewajarnya.
Jika tidak kes-kes sebegini tidak akan selesai sampai bila-bila dan berlaku pula di tempat lain yang akhirnya menunjukkan kelemahan masing-masing.
Merak Jalanan harap semua pihak ambil iktibar daripada apa yang berlaku sebelum ini. Semua benda pun jika tidak dicegah dari awal akan menjadi lebih serius. Cegah sebelum parah perlu disematkan di dalam hati.
Misalnya kes pembinaan rumah ibadat di atas tanah orang lain hingga kecoh satu negara apabila tindakan penguatkuasaan mahu dilaksanakan.
Sepatutnya tindakan diambil lebih awal dan apabila sesuatu binaan sudah makin membesar maka banyak masalah lain akan timbul kelak.
Oleh itu semua pihak yang mempunyai kuasa perlu bertindak dari sekarang. Jika nampak unsur-unsur pencerobohan ataupun pembinaan apa-apa struktur haram, maka robohkan dengan segera.
Tuan tanah pula, jenguk-jenguklah tanah yang dimiliki jangan dibiarkan semak tidak bertuan kerana sekarang ini banyak penceroboh yang sentiasa menunggu peluang untuk merampas hak orang lain.
Jangan biar pisang berbuah sampai beratus kali.
Klik di sini untuk terus membaca