ISU tanam durian di kawasan tanah haram di Raub, Pahang kembali hangat diperkatakan sejak seminggu lalu.
Ramai yang marah pekebun kerana langgar undang-undang dan tidak kurang pula yang bersimpati ke atas nasib pekebun di situ.
Ia menjadi serius kerana kali ini Jabatan Perhutanan Negeri Pahang sudah betul-betul bertindak. Tanpa peduli bantahan pekebun, pokok-pokok durian yang ditanam dalam kawasan hutan simpanan milik kerajaan itu ditebang satu demi satu.
Semua perlu patuh pada undang-undang. Yang haram tetap haram. Siapa yang ceroboh perlu diambil tindakan. Kalau tidak mahu ikut undang-undang, apa makna undang-undang diwujudkan.
Namun di sebalik isu kontroversi ini, timbul pula pelbagai persoalan yang masih belum terungkai. Semua maklum isu pekebun durian ceroboh tanah sudah wujud sejak sekurang-kurangnya 20 tahun lalu. Tetapi kenapa sekarang baru mahu ambil tindakan?
Setelah pekebun sudah meraih hasil dan mengaut keuntungan bertahun lamanya, pihak kerajaan negeri seperti baru bangun daripada lamunan tidur.
Kita sambut baik kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa mereka kini dalam proses melengkapkan siasatan.
SPRM patut cari si pelaku sampai ke lubang cacing. Rakyat ingin tahu siapa dalang sebenar kerana mustahil tidak berlaku penyelewengan kuasa dalam isu ini.
Raub memang terkenal dengan durian musang king. Popularitinya perlu dikekalkan asalkan para pekebun tanam di kawasan tanah yang dibenarkan.
Belum sempat buah musang king gugur, pokoknya telahpun ditebang hingga rebah ke bumi. Bagaimana pula ‘rasuah king’? Apakah harus membiarkan mereka bebas sampai hari ini?
Isu ceroboh tanah kerajaan memang banyak berlaku di mana-mana tempat. Kejadian di Raub itu hanya sebahagian daripadanya yang berjaya didedahkan.
Klik di sini untuk terus membaca