Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bukan saja menuntut disiplin tinggi pelajar malahan ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting demi memastikan anak-anak mereka tidak tercicir.
Bagaimanapun itu bukan perkara yang mudah untuk dilakukan dan ternyata memberi cabaran kepada ibu bapa khususnya mereka yang bekerja.
Di GEORGETOWN, seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Nina, 30-an, berkata, setiap hari dia perlu menguruskan dua anak berusia lapan dan sembilan tahun untuk belajar dalam talian.
Dalam masa sama, dia yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta perlu menghantar dua laporan sistem kepada penyelianya iaitu pada pagi dan petang.
"Saya akui, pembelajaran dalam talian amat memenatkan saya dan anak-anak. Mereka pun sudah tidak boleh fokus sekarang ini.
"Mereka pun asyik merungut belajar melalui komputer tidak menyeronokkan,” katanya kepada Sinar Ahad ketika dihubungi pada Sabtu.
Nina turut mengakui pernah berputus asa apabila berasa terlalu penat untuk menguruskan urusan kerja sambil memantau anak-anak belajar dalam talian.
"Saya pernah beberapa kali tewas apabila terlalu penat sehingga memarahi anak-anak kerana tidak fokus belajar.
"Apabila dimarahi, anak-anak mula tunjuk protes. Mereka tidur, main di hadapan komputer,” katanya.
Di SEREMBAN, seorang ibu yang juga peniaga makanan berpantang di Jempol, Lizawati Raffles, 35, mengakui hampir putus asa dengan situasi pandemik Covid-19 yang dilihat tiada penghujungnya sekali gus memaksa anak-anaknya untuk kekal belajar di rumah.
"Hampir dua tahun mereka lakukan pembelajaran dalam talian disebabkan Covid-19 dengan angka harian kes positif masih belum menampakkan perkembangan positif.
"Kami sebagai ibu bapa ada pelbagai latar belakang, kalau memang ‘terpelajar’ mungkin mudah untuk mengajar anak-anak di rumah dan mungkin masih ingat apa yang kita belajar dulu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, bagi ibu bapa yang tidak mempunyai kelebihan itu terpaksa mencari sumber lain untuk mengingati semula subjek berkenaan bagi membolehkan mereka mengajar anak-anak di rumah.
"Ibu bapa di rumah bukan guru kerana guru ada kepakaran mendidik malahan persekitaran belajar di rumah juga dilihat tidak sesuai buat anak-anak mengikuti sesi pembelajaran tambahan pula jika dalam keluarga ada anak kecil.
"Itu belum ambil kira ibu bapa yang mempunyai masalah peranti, selain kediaman mereka ada masalah capaian internet,” katanya.
"Kasihan dengan anak-anak, tambahan pula dalam umur lima hingga lapan tahun mereka perlukan perhatian yang lebih ketika sesi pembelajaran dalam talian. Jika tidak, mereka sukar untuk fokus.
"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula ada dalam kalangan ibu bapa yang perlu bekerja di pejabat mengikut giliran dan keadaan itu menyebabkan anak-anak keciciran sesi pembelajaran mereka pada hari berkenaan kerana ibu bapa tidak dapat memantau,” katanya.
Di LUMUT, seorang kerani, Nurul Najat Mohd Yusof, 35, berkata, tanggungjawab memantau pendidikan anak-anak di rumah dan pada masa sama perlu keluar bekerja turut memberi tekanan.
Katanya, waktu pulang kerja dan malam selain cuti hujung minggu adalah masa yang ada untuk memantau kerja sekolah anaknya berusia 10, 15 dan 16 tahun yang diterima daripada guru menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram.
"Pada mulanya mereka amat teruja berhadapan telefon bimbit ketika mengikuti PdPR, tetapi ia tidak lama selepas anak ada masalah untuk memahami subjek yang diikuti.
"Keadaan itu menyebabkan mereka mula malas mengikuti kelas. Ketika bekerja, guru ada beri latihan dan forward kepada anak-anak tetapi bila balik kerja, mereka tidak siapkan pun kerana tidak faham walaupun merujuk kepada buku teks,” katanya.
Nurul Najat berkata, dia bimbang dengan perkembangan pendidikan anak-anaknya meskipun kawasan rumahnya tidak mempunyai masalah capaian internet.
"Pernah saya cuba ajar tetapi gagal kerana sukar untuk memahami subjek mereka walaupun cuba mencari jawapan melalui Google.
"Kami juga perlu berbelanja besar untuk pembelian data internet bagi membolehkan anak-anak mengikuti kelas PdPR, memuat turun video atau audio,” katanya.
Ditanya mengenai Didik TV yang dilancarkan kerajaan pada awal tahun ini, Nurul Najat berkata, mereka tidak mempunyai televisyen untuk tujuan itu.
"Sudah lama televisyen rosak. Anak-anak hanya bergantung kepada telefon bimbit.
"Akibat lama terperap dalam rumah, mereka meluahkan rasa rindu untuk kembali ke sekolah kerana belajar di sekolah lebih mudah difahami selain dapat bersama kawan-kawan,” katanya.
Di KOTA KINABALU, seorang pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, Beaufort, Mohd Ghazali Mat Jais mengakui terpaksa menghadapi pelbagai masalah untuk belajar sepanjang tempoh PdPR ini.
Katanya, sebagai pelajar mereka sukar menerima kaedah belajar secara PdPR berbanding secara bersemuka yang dilaksanakan sejak tahun lalu.
"Banyak faktor menyebabkan kami kurang minat untuk belajar termasuk mengikuti kelas online antaranya disebabkan masalah capaian internet yang lemah dan ramai pelajar tidak faham apa yang disampaikan ketika belajar.
"Apabila tidak faham, kami tidak fokus dan akhirnya menyebabkan minat untuk belajar kurang. Masa yang sepatutnya digunakan untuk masuk kelas online digunakan untuk aktiviti lain di kampung,” katanya.
Tambah Mohd Ghazali, jika ingin fokus sepenuhnya mereka terpaksa berkorban lebih banyak masa, tenaga dan wang ringgit untuk belajar sedangkan sebahagian pelajar di kawasan kampung bukan datang dari keluarga yang berkemampuan. Klik di sini untuk terus membaca