ADA waktunya dalam hening malam dan ketika bersendirian di rumah, bunyinya yang beraneka itu terngiang-ngiang memagut ingatan. Demikian juga dengan cahaya lampunya yang berwarna-warni, yang bentuk rupanya berbeza-beza, daripada neon... Klik di sini untuk terus membaca

ADA waktunya dalam hening malam dan ketika bersendirian di rumah, bunyinya yang beraneka itu terngiang-ngiang memagut ingatan. Demikian juga dengan cahaya lampunya yang berwarna-warni, yang bentuk rupanya berbeza-beza, daripada neon bermentol klasik dan statik sehinggalah kepada pancaran lampu moden daripada mesin-mesin yang berbagai-bagai juga rupanya.Ada kalanya bunyi dan lampu-lampu itu terbawa-bawa sehingga ke dalam mimpi. Demikianlah hebatnya penangan arked permainan – pusat 'riadah’ yang dari dahulu hingga sekarang kekal menjadi kegilaan.

Pada zaman remaja saya, arked permainan merupakan salah satu kuasa riadah yang dominan. Ia ada di kebanyakan bandar besar. Selalunya di kompleks beli-belah. Tetapi ada juga yang terletak di dalam kedai atau bangunan yang khusus untuknya. Nama yang selalu digunakan ialah ‘Pusat Hiburan Keluarga’.

Nama yang sekadar menyedapkan mata dan hati kerana di dalamnya jarang kita jumpa ahli keluarga yang berstatus emak, abah, datuk, nenek dan sebagainya ikut bermain. Kalau ada pun, mereka sekadar menemani anak cucu beriadah di situ.

Saya tidak ingat bila dan bagaimana saya mula berminat dengan permainan di arked. Mungkin semasa ada pertunjukan funfair di Sungai Besar atau di Sabak Bernam, Selangor.

Memang kelazimannya di kebanyakan funfair yang bergerak dari bandar ke bandar atau kampung ke kampung pada masa dahulu, terdapat bermacam-macam permainan.

Selain ‘menu wajib’ seperti merry-go-round, teacup ride, lontar gelang, baling tin, pancing itik dan sebagainya, akan ada segmen yang dikhususkan untuk permainan-permainan yang biasanya hanya terdapat di arked.

Apa yang pasti di Sungai Besar dan Sabak Bernam pada masa itu tidak ada arked permainan. Yang ada dan terdekat hanyalah di Teluk Intan (Anson).

Maka ke bandar yang terkenal dengan Menara Condong itulah saya dan kawan-kawan tuju untuk melepaskan keinginan. Dan disebabkan minat, jarak yang hampir 50 kilometer itu terasa dekat benar, seolah-olah Teluk Intan itu letaknya di belakang rumah.

Duit lebih biasanya daripada duit raya, akan menyebabkan saya berbasikal ke stesen bas terdekat. Lantas menaiki bas dari Sungai Besar ke Sabak Bernam. Kemudian mengambil tiket bas pergi balik ke Teluk Intan-Sabak Bernam. Ini semua kerana arked permainan.

Menurut cerita generasi terdahulu, di Teluk Intan memang telah lama ada arked permainan. Pada sekitar 1960-an dan 1970-an, ia menjadi penyeri di Kelab Melayu yang letaknya di tapak bangunan SKOMK yang ada sekarang ini. Pada dekad berikutnya sehingga 1990-an terdapat arked permainan yang dinamakan Jubilee Park atau Jubli Park di Jalan Mahkota, yang sekarang ini menjadi tapak Bangunan Aik Aik.

Jasa

Sekarang ini arked permainan bukan lagi benda luar biasa. Ia malah menjadi seperti ‘premis wajib’ di kebanyakan kompleks perniagaan dan pusat beli-belah. Jasanya juga besar terutama kepada para suami yang kurang berminat menemani isteri masing-masing membeli-belah. Untuk mengelak daripada menapak di belakang isteri dengan wajah mencuka, ke arked itulah mereka membawa anak-anak untuk mengisi masa atau mungkin juga untuk melepaskan geram.

Satu lagi ‘jasa’ arked-arked permainan ini ialah ia menjadi tempat berlindung puak yang culas bersolat Jumaat. Puak yang sanggup menghadap mesin-mesin permainan itu atau kadang-kadang sekadar melilau sahaja di situ selama berjam-jam tetapi tidak sanggup menghadap sejadah walaupun cuma untuk beberapa minit. Kadangkala terserempak dengan mereka dengan sejadah masih terlipat di bahu.

Saya juga pernah ada pengalaman menangkap adik saya di arked permainan Puduraya setelah menunggu lama di asrama tidak kunjung tiba. Asyiknya beliau bermain sehingga lupa diri. Begitulah kuatnya penangan arked permainan.

Secara umum, arked-arked sekarang sangat berbeza daripada arked-arked pada zaman remaja saya dahulu. Arked sekarang dipenuhi permainan-permainan kontemporari yang canggih, sedangkan dulu-dulu kebanyakan permainan bersifat klasik. Biliard, dart, lontar bola ke dalam keranjang dan seumpamanya.

Permainan-permainan elektroniknya pula boleh dikatakan kesemuanya menggunakan paparan 2D. Antara permainan jenis ini yang popular pada masa itu ialah Pac-Man, Space Invaders, Tetris, Galaxian, Galaga dan Donkey Kong. Selain itu terdapat permainan lumba kereta, lumba motosikal, tembak-tembak dan sebagainya.

Satu lagi, permainan yang ‘wajib’ ada di mana-mana arked ialah pinball. Permainan yang dikatakan diilhamkan daripada meja biliard yang dikecilkan pada zaman Louis XIV (1643-1715) memerintah Perancis itu menjadi permainan paling popular selama berdekad-dekad sebelum kedudukannya diambil oleh permainan elektronik lain yang lebih moden.

Minat Tetapi pinball tidak pernah berjaya menarik minat saya. Yang saya betul-betul minat cuma Pac-Man. Bunyi ‘ngap-ngap’ yang menjadi latarnya sentiasa terasa syahdu benar walaupun bunyi ia ‘mati’ apabila dimakan oleh hantu sangat menyakitkan telinga dan hati!

Pac-Man, bagi saya sangat mencabar. Permainan berasaskan labirin, yakni petak-petak yang kompleks itu memerlukan pemain menggerakkan Pac-Man memakan semua dot atau titik-titik di sepanjang laluan sambil mengelak daripada diterkam atau terserempak dengan hantu.

Masalah dengan mana-mana juga arked permainan adalah ia kerap menjadikan kita lupa diri. Pada mulanya mungkin bajet untuk bermain hanya lima enam ringgit. Tukarkan duit dengan token. Dalam hati terpasak niat, habis token itu nanti, berhentilah bermain.Tetapi niat itu selalunya dikhianati diri sendiri. Bila token habis, bangun ke kaunter dan tukar lagi. Begitulah, berulang-ulang kali sehingga kadang-kadang baki di saku cuma cukup untuk popia dan cendol Teluk Intan.

Sayugia disebut, pada zaman remaja saya dahulu harga petrol cuma RM1.20 seliter. Ada juga orang mengaitkan arked-arked permainan ini sebagai tempat mengasah bakat berjudi. Saya tidak mahu komen panjang mengenai perkara ini kerana bagi yang menjadikan pisau itu senjata bukanlah tangan yang membuatnya tetapi tangan yang menggunakannya.

Di tangan yang betul, arked permainan menjadi medan membina kerjaya. Ia terbukti apabila sebahagian permainan yang asalnya dicipta untuk memenuhi keperluan arked-arked itu menjadi pemangkin kepada lahirnya e-sport atau e-sukan yang kini diiktiraf dunia sebagai salah satu cabang sukan. Ia malah dijangka turut dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2024.

Tidak hanya itu, e-sukan juga sekarang ini menjadi antara bidang sukan paling lumayan. Hadiah yang ditawarkan dalam kejohanan-kejohanannya mencecah nilai jutaan ringgit. Kejohanan DOTA 2 Antarabangsa tahun 2019 misalnya, menawarkan hadiah berjumlah lebih AS$34 juta atau kira-kira RM143 juta!

Di banyak tempat e-sukan telah diterima sebagai kerjaya. Pemain yang hebat seperti Johan 'N0tail’ Sundstein2 (DOTA 2), Jesse 'JerAx’ Vainikka (DOTA 2) dan Sven Magnus Carlsen (Chess24) memperoleh jutaan ringgit setahun hasil penglibatan mereka.

Kadang-kadang apabila mendengar angka juta-juta ini, tergedik-gedik juga saya hendak kembali aktif dalam dunia permainan elektronik. Tetapi apabila difikirkan masak-masak, saya perlu mengaku saya tidak dilahirkan untuk sukan jenis itu.

Sejarah dulu-dulu menunjukkan saya tak pernah menang walaupun berlawan dengan diri sendiri.

Maka itu biarlah saya kekal dengan sukan yang saya ceburi sekarang. Sukan di dunia politik ini pun tidak kurang menariknya. Ada suka dukanya. Dan tak kurang juga dengan lawaknya. #Dush!

*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia

Klik di sini untuk terus membaca