GILA, memang gila. Merak Jalanan pun jadi pelik dan hairan dengan pelaksanaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
Masalah 'lautan’ manusia menyerbu CAC bukan hanya berlaku di Stadium Malawati Shah Alam. Bahkan daripada satu video tular pada Selasa, barisan orang beratur di CAC Dewan Sukan Taman Sri Andalas, Klang pun macam 'ular’ panjang.
Demi seutas gelang merah jambu, pesakit Covid-19 'diseksa’ apabila perlu beratur dan menunggu berjam-jam di bawah panas terik matahari.
Bukan sedikit pesakit yang rebah dan pengsan sebab berdiri terlalu lama.
Daripada pengalaman rakan Merak Jalanan sendiri pada Isnin, dia perlu beratur selama 11 jam dan melalui lima stesen atau kaunter demi mendapat satu gelang merah jambu.
"Daripada tak berapa sakit, terus jadi makin sakit,” katanya.
Bayangkan, bagaimana 11 jam yang perlu dilalui oleh warga emas atau ibu dengan mendukung anak kecil.
Pak Menteri dan barisan pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia perlu bertindak segera mencari jalan mengatasi CAC yang melimpah-ruah itu.
Malah, lagi menakutkan apabila ada CAC dibuat berdekatan dengan kediaman orang, pesakit Covid-19 yang terlalu ramai sampaikan beratur ke depan pintu rumah orang.
Bukankah situasi itu mendatangkan bahaya dan menimbulkan rasa takut dalam kalangan masyarakat setempat.
Merak Jalanan faham jumlah pesakit Covid-19 hari ini terlalu tinggi, malah frontliners juga sudah kepenatan.
Tapi situasi macam dunia negara ketiga ini tidak boleh dibiarkan. Sebagai pihak yang sedang berkuasa, kenalah mencari jalan. CAC tidak boleh hanya beroperasi sekerat hari pada hari Sabtu dan ditutup sepenuhnya pada hari Ahad.
Merak Jalanan difahamkan sempena hari raya korban ini pun akan ditutup dua hari. Kalau benarlah begitu, tak mustahil situasi CAC bak medan perang akan terus berulang.
Klik di sini untuk terus membaca