AWANG faham apa perasaan rakyat apabila ada menteri dikatakan bawa keluarga makan angin ke Turki. Ada menteri yang melawat mantan pemimpin negara yang tidak sihat. Ada pula pemimpin politik yang jumpa anak di luar negara.
Pendeknya lepas satu-satu, orang politik buat hal. Memang betullah kata orang mereka 'kluster kayangan'. Atau mereka anggap di atas undang-undang.
Baguslah ada tindakan pada mereka. Tak patut pilih bulu dalam hal itu. Jikalau berterusan begini hormat rakyat pada pimpinan akan terus merosot.
Ada pula kisah menteri yang tak tahu beza 'Spanish Flu' dan 'Spanish Fly'. Wabak yang melanda dunia pada awal abad ke-20 itu namanya Spanish Flu yang memakan korban 50 juta manusia. Budak sekolah pun tahu.
Ada pula ahli Majlis Tertinggi UMNO yang terang-terang kata dalam keadaan sekarang, peluang terbaik bagi parti itu. Apabila kes jangkitan menurun nanti takut tak dapat 'kredit' yang diperlukan. Masya-ALLAH. Apakah derita rakyat 'peluang' untuk terus berkuasa?
Awang tengok dalam media sosial makin berani rakyat kecam orang politik dan pemimpin. Rakyat dalam keadaan susah, tentulah kadar marah mereka juga meningkat.
Mereka harapkan bantuan. Jangan sebut berbilion sana berbilion sini kalau mereka tak nampak duitnya. Ambil saja soal moratorium. Tan Sri Perdana Menteri kata 'tanpa syarat' dan 'untuk semua'. Cuba tanya peminjam, betulkah begitu?
Klik di sini untuk terus membaca