SEHINGGA semalam, jumlah pemberian vaksin di Malaysia sudah mencecah angka 11,788,189 dos. Penerima dos pertama sebanyak 8,104,068 dos, manakala bagi dos kedua pula berjumlah 3,684,121 dos dan angka pendaftaran rakyat negara ini seramai... Klik di sini untuk terus membaca

SEHINGGA semalam, jumlah pemberian vaksin di Malaysia sudah mencecah angka 11,788,189 dos.

Penerima dos pertama sebanyak 8,104,068 dos, manakala bagi dos kedua pula berjumlah 3,684,121 dos dan angka pendaftaran rakyat negara ini seramai 18,015,930 orang.

Bagi sesiapa yang sudah mendapat janji temu dan selesai sekurang-kurangnya dos pertama, pastinya gembira serta bersyukur.

Mereka yang belum mendapat maklum balas, masih menanti penuh harapan. Dalam hati berdoa supaya cepat-cepat dapat janji temu dos pertama.

Namun, dalam keadaan majoriti yang sudah mendaftarkan diri di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan menunggu dengan penuh kesabaran, ada pula segelintir individu yang boleh dianggap ‘tidak bersyukur’.

Mereka sudah dapat janji temu dan sudah ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tetapi menolak untuk disuntik kerana tidak dapat jenama vaksin yang diinginkan.

Dalam keadaan terdesak, boleh pula mereka nak pilih jenama-jenama vaksin.

Ada yang tak mahu vaksin jenis Sinovac, alasannya nanti tak boleh nak pergi buat umrah, kononnya kerajaan Arab Saudi tidak mengiktiraf vaksin dari China itu.

Tak kurang juga yang tak mahu disuntik dengan vaksin jenis AstraZeneca sebab nanti tak boleh nak pergi melancong ke London, Paris, Rome dan sebagainya.

Mereka cuma mahu vaksin jenama Pfizer sahaja dengan alasan boleh terbang ke mana-mana negara tanpa sekatan.

Perhatian! Perhatian! Perhatian! Untuk kakak, abang, pak cik dan mak cik sekalian, dalam keadaan wabak Covid-19 semakin serius, tak usahlah nak mengada-ngada memilih jenis vaksin apa kita mahu.

Keselamatan dan nyawa anda sementara menunggu anda boleh pergi melancong atau tunaikan umrah lagi penting ketika ini.

Aktiviti

Belum tentu kalau anda semua disuntik dengan vaksin jenis Pfizer hari ini, esok atau lusa anda sudah boleh pergi Makkah atau London.

Negara kita masih dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Pelan Pemulihan Negara fasa 1, maknanya sebarang aktiviti pelancongan sama ada dalam negara, apatah lagi luar negara dilarang.

Kita pun tidak tahu lagi bilakah sempadan negara akan dibuka dan kita semua bebas naik kapal terbang untuk pergi bercuti.

Mungkin hujung tahun atau tahun depan atau mungkin dua tahun lagi.

Jadi, tak usahlah memilih sangat jenis vaksin. Sepatutnya kita bersyukur apabila sudah terpilih menerima suntikan vaksin dalam kalangan belasan juta rakyat Malaysia yang sudah berdaftar.

Belajarlah untuk bersyukur dan menghargai peluang yang diterima. Orang lain saban hari meninjau MySejahtera masing-masing dengan harapan nama mereka ‘naik’ untuk divaksin. Tapi anda, nama sudah dipilih pun masih nak bersikap ‘diva’.

Perkara utama dan paling penting untuk kita pilih sekarang ini adalah menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang sekeliling daripada dijangkiti virus Covid-19.

Ketika varian baharu kian mengganas dan statistik kes semakin meningkat saban hari, proses vaksinasi merupakan langkah paling ‘afdal’ untuk kita melindungi diri daripada menjadi sebahagian daripada statistik jangkitan harian.

Lupakan seketika keinginan dan impian untuk berseronok, melancong mahupun menunaikan umrah.

Dalam situasi genting kini, sudah menjadi salah satu tuntutan fardu ain bagi kita menjaga keselamatan diri sendiri.

Marilah kita menjaga diri kita dan pada masa yang sama membantu kerajaan merealisasikan sasaran 80 peratus rakyat Malaysia sudah menerima vaksin menjelang akhir tahun ini.

Apabila keadaan pandemik Covid-19 di Malaysia dapat diuruskan secara holistik, barulah kita boleh merancang pelbagai perkara. Bukan setakat melancong, bahkan lebih daripada itu pun kita boleh lakukan.

Sambil itu, marilah kita sama-sama berdoa semoga wabak Covid-19 dihapuskan daripada bumi Malaysia dan seluruh dunia. Jaga diri, jaga SOP, insya-ALLAH kita boleh menang sekali lagi!

Klik di sini untuk terus membaca