PANDEMIK Covid-19 yang berlarutan lebih setahun menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan dan mengalami penurunan pendapatan.
Situasi yang berlaku memberi impak besar kepada sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhan, malah negara juga dikejutkan dengan peningkatan statistik dalam kalangan rakyat Malaysia yang mengalami tekanan mental dan kes bunuh diri rentetan daripada pandemik.
Atas keprihatinan terhadap permasalahan dan kebajikan rakyat, kerajaan telah mengumumkan inisiatif terbaharu iaitu Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 billion yang bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam berdepan penularan Covid-19.
Selain pelaksanaan i-Citra, kerajaan juga mengumumkan moratorium selama enam bulan dan permohonan untuk mendapatkan bantuan itu telah dibuka pada 7 Julai lalu.
Semua peminjam individu sama ada golongan B40, M40 atau T20, perusahaan mikro dan PKS yang terjejas akibat pandemik boleh memohon bantuan tersebut.
Jika disorot, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), institusi perbankan telah menawarkan moratorium kepada semua peminjam. Persoalan yang sering menjadi topik perbahasan adalah apa bezanya moratorium dahulu dan sekarang?
Umumnya, moratorium diberikan tahun lalu adalah kepada semua kategori isi rumah, manakala mereka yang memilih meneruskan pembayaran pinjaman atau pembiayaan perlu menghubungi pihak bank.
Moratorium terkini tetap terbuka kepada semua kategori isi rumah, perbezaan adalah dari segi proses. Peminjam yang ingin mengambil moratorium perlu hubungi bank sahaja, kelulusan adalah automatik dan dokumen sokongan tidak diperlukan.
Peminjam juga mempunyai pilihan lain seperti pengurangan bayaran ansuran dan penjadualan serta penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam.
Bayaran bulanan
Secara amnya, pembayaran ansuran oleh peminjam kepada bank mempunyai empat jenis elemen bergantung kepada cara pengurusan pembayaran oleh peminjam iaitu (i) membayar hutang semasa atau prinsipal, (ii) faedah/keuntungan ke atas hutang semasa, (iii) faedah ke atas apa-apa tunggakan daripada bulan sebelumnya. Kategori itu juga dipanggil faedah kompaun atau faedah ke atas faedah dan (iv) yuran, fi atau penalti.
Bagi pinjaman/pembiayaan yang diuruskan secara baik dan dibayar mengikut jadual, bayaran bulanan yang dibuat akan melunaskan faedah/keuntungan semasa dan baki hutang yang ada.
Bayaran fi, penalti mahupun faedah ke atas jumlah tertunggak sekiranya ada amatlah sedikit. Dalam situasi semasa, ramai peminjam tidak dapat mengurus hutang seperti biasa berikutan kehilangan mahupun kekurangan punca pendapatan.
Kegagalan membayar ansuran mengikut jadual boleh mengakibatkan peminjam dikenakan elemen bayaran lain seperti penalti lewat bayar, kos notis guaman dan banyak lagi.
Selain itu, peminjam juga akan terbeban dengan faedah ke atas tunggakan akibat kegagalan melunaskan penalti, faedah dan pinjaman bulan sebelumnya. Akibatnya, baki hutang peminjam yang gagal membayar mengikut jadual akan tinggi menggunung!
Ramai beranggapan moratorium ini memberi cuti kepada peminjam daripada membuat bayaran pinjaman selama enam bulan. Sebenarnya, ia adalah tempoh masa penangguhan bayaran balik pinjaman. Ia memberi ruang kepada peminjam terkesan akibat Covid-19 untuk keperluan perbelanjaan sara hidup diri dan keluarga tanpa perlu risau pembayaran pinjaman bank.
Contohnya, bagi sebuah keluarga yang mempunyai tanggungan pinjaman RM1,000 sebulan, penangguhan bayaran balik pinjaman dapat menampung pengurangan aliran tunai isi rumah dan wang itu dapat digunakan untuk kos perbelanjaan harian.
Pihak bank tidak akan mengenakan sebarang penalti lewat bayar, mahupun mengenakan tindakan undang-undang terhadap peminjam. Faedah masih dikenakan terhadap baki pinjaman.
Namun, tiada faedah dikenakan ke atas faedah (secara kompaun) sepanjang tempoh moratorium itu. Faedah terkumpul dalam tempoh tersebut akan menjadi sebahagian baki pinjaman perlu dibayar apabila tempoh moratorium berakhir.
Pelbagai reaksi timbul dalam kalangan masyarakat usai pengumuman pakej berkenaan. Ramai berpandangan pihak bank sepatutnya memberikan percutian lengkap merangkumi pengecualian faedah/keuntungan semasa.
Sebagai contoh, pengguna yang mempunyai pinjaman RM100,000 dan apabila tamat tempoh moratorium enam bulan dengan jumlah pinjaman beliau tetap sama dan inilah yang dimaksudkan dengan percutian yang sempurna!
Harus diingat bahawa moratorium tidak melupuskan hutang peminjam. Oleh itu, peminjam perlu melunaskan hutang selepas tempoh enam bulan berakhir.
Tanpa moratorium, peminjam terutama yang kehilangan punca pendapatan akan berada dalam situasi lebih parah.
Bagi moratorium impian, peminjam akan memasuki tempoh moratorium dengan baki pinjaman RM100,000. Selepas enam bulan, peminjam akan keluar daripada percutian dengan baki yang sama.
Faedah
Peminjam hanya perlu menyambung bayaran dengan tempoh tambahan selama enam bulan kerana moratorium impian hanya menangguhkan elemen prinsipal sahaja tanpa faedah, manakala bagi moratorium Pemulih, pihak bank masih mengenakan faedah.
Selepas tempoh moratorium, peminjam perlu menyambung pembayaran pinjaman untuk tempoh lebih enam bulan, memandangkan jumlah hutangnya telah bertambah akibat faedah tertunggak yang dikenakan selama tempoh moratorium.
Perlu diingat, pihak bank masih bertanggungjawab membayar faedah kepada pendeposit sepanjang tempoh moratorium.
Bagi tempoh tambahan, ia mungkin berbeza untuk setiap individu tertakluk kepada baki hutang masing-masing walaupun mempunyai ansuran bulanan yang sama.
Penulis menyarankan agar peminjam membaca 'Soalan Lazim' yang dikeluarkan pihak bank dan dapatkan kepastian jumlah bayaran ansuran dan tempoh pinjaman setelah tamat tempoh moratorium.
Sekiranya peminjam menghadapi kesukaran menguruskan aliran tunai mereka, moratorium dilihat sebagai satu keperluan untuk membantu mereka.
Moratorium dapat membantu kelangsungan hidup. Ini juga bermakna peminjam yang tidak mampu membayar hutang dapat mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak bank. Moratorium ini amat membantu bagi mengelak keadaan jadi lebih membarah dan membantu peminjam bangkit semula tanpa dibelenggu masalah hutang serta rekod kredit yang lemah kelak.
Sekiranya dibanding dengan kos hutang yang tidak dibayar, faedah semasa yang dikenakan boleh dianggap berpatutan.
Bagaimanapun, terdapat juga golongan bergaji tetap yang tidak begitu terkesan akibat Covid-19. Moratorium ini membuka peluang untuk mendapatkan aliran tunai tambahan.
Lebihan tunai boleh diguna untuk membayar hutang yang faedahnya jauh lebih tinggi, membuat pelaburan saham dan emas, melengkapkan keperluan pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) dan pelbagai alasan lain.
Sebagai panduan, sebelum memohon moratorium, peminjam dinasihatkan memeriksa semula elemen bayaran ansuran bulanan mereka.
Bagi mereka yang baru membuat pinjaman dengan baki pinjaman masih tinggi, lebih 50 peratus ansuran bulanan adalah untuk melunaskan faedah semasa sahaja.
Penulis tidak menyarankan peminjam mengambil moratorium kerana akan hanya menambah hutang mereka. Selain itu, disebabkan tempoh bayaran balik pinjaman masih lama, penambahan hutang akan mengakibatkan tempoh tambahan bayaran balik menjadi amat panjang.
Sekiranya peminjam membuat keputusan memilih moratorium setelah mengambil kira faktor di atas, pastikan lebihan aliran tunai itu digunakan untuk tujuan produktif seperti membayar hutang yang mempunyai kos tinggi, keperluan pendidikan anak-anak dan keperluan perlindungan insurans atau takaful.
Tingkatkan ilmu dan kemahiran sebelum membuat sebarang bentuk pelaburan, perniagaan mahupun projek idaman. Elak terjebak ke skim cepat kaya yang semakin berleluasa.
Sebagai kesimpulan, moratorium dapat membantu peminjam kembali berdikari dan menjana ekonomi diri, keluarga dan perniagaan, sekali gus keluar daripada kemelut ekonomi yang melanda kini.
Sekiranya peminjam mempunyai masalah atau kesulitan dengan pihak bank, Bank Negara Malaysia menyediakan saluran aduan khas iaitu bnm.my/RAsurvey.
Peminjam juga boleh menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui services.akpk.org.my untuk mendapatkan khidmat nasihat atau pilihan bantuan bayaran balik pinjaman/pembiayaan alternatif.
* Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri ialah Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca