SHAH ALAM - Sistem kesihatan awam negara berkemungkinan lumpuh sekiranya tiada tindakan komprehensif diambil bagi menangani penularan varian Delta.
Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Safiya Amaran berkata, ia kerana varian baharu itu mudah berjangkit berbanding virus asal Covid-19.
Menurut beliau, keadaan menjadi lebih kritikal apabila varian tersebut turut merebak ke hampir semua negeri sekali gus menyaksikan peningkatan mendadak pandemik itu di Malaysia ketika ini.
"Sekarang ini kita sudah masuk kategori varian dibimbangi. Maksudnya kalau sudah masuk kategori ini memang ada kajian telah membuktikan ia ada kepunyaan antaranya menyebabkan penularan yang lebih pantas.
"Selain itu, ia turut menyebabkan gejala dan komplikasi yang lebih teruk dan seterusnya menyebabkan ramai orang meninggal dunia serta pengurangan kepada keberkesanan vaksin sedia ada," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa salah satu punca peningkatan kes secara mendadak di Malaysia disebabkan oleh varian Delta yang mudah merebak dan difahamkan penularan jangkitan berlaku melalui bawaan udara.
Dr Safiya berkata, secara umumnya jangkitan Covid-19 boleh merebak melalui udara tetapi varian baharu ini lebih ganas berbanding sebelum ini.
"Sebenarnya Covid-19 ini boleh berjangkit melalui udara, jadi sebab itu kita semua kena pakai pelitup muka. Kalau virus ini tidak berjangkit melalui udara kita tidak payah pelitup muka.
"Cuma kemungkinan untuk dijangkiti itu memerlukan 100 virus masuk ke dalam badan, tetapi dengan varian baharu ini 70 virus sudah cukup menjangkiti kita," katanya.
Ujarnya, dengan kehadiran varian Delta ini sesiapa sahaja berisiko tinggi dijangkiti jika ada seorang individu di sekeliling yang mempunyai varian berkenaan.
"Jadi, kita kena sedarkan orang ramai bahawa varian ini sangat berbahaya kerana ia berupaya merebak dengan pantas sekali pun kita memakai dua lapis pelitup muka (double mask)," katanya.
Tambahnya, dalam keadaan sekarang ini, orang ramai perlu menghadkan pergerakan dan elak mengunjungi tempat sesak.
Dr Noor Hisham pada Selasa memaklumkan varian baharu Delta sudah merebak hampir ke setiap negeri menyebabkan berlakunya peningkatan kes mendadak di negara ini.
Menurut beliau, varian itu merebak dengan cepat dengan nilai kebolehjangkitan (Rt) antara 5 hingga 8, berbanding virus Covid-19 pertama yang dikesan di Wuhan, China iaitu nilai Rt sekitar 2.5 hingga 3.
Klik di sini untuk terus membaca