[DIKEMAS KINI] KELIHATAN Puan Kasminah meluru ke arah saya dengan senyuman yang kali ini tampak berbeza berbanding sebelumnya. Beliau ialah balu kepada seorang peneroka Felda. 30 minit sebelum itu di dalam satu majlis perjumpaan saya dengan... Klik di sini untuk terus membaca

[DIKEMAS KINI] KELIHATAN Puan Kasminah meluru ke arah saya dengan senyuman yang kali ini tampak berbeza berbanding sebelumnya.

Beliau ialah balu kepada seorang peneroka Felda. 30 minit sebelum itu di dalam satu majlis perjumpaan saya dengan peneroka-peneroka Wilayah Mempaga, Puan Kasminah telah bertanya kepada saya perihal status akaun hutang pembinaan rumah arwah suaminya.

Ketika mengajukan soalan tersebut, dengan raut wajahnya yang serius, Puan Kasminah turut maklumkan bahawa beliau telah beberapa kali mengemukakan pertanyaan yang sama kepada pihak Felda namun jawapannya agak mendukacitakan.

Dengan suara yang sayu, beliau mengatakan bahawa dirinya tidak akan dapat memejamkan matanya tatkala ajalnya tiba, sekiranya hutang suaminya tidak dapat dilangsaikan olehnya.

Lantas salah seorang pegawai saya, Zool Helmi terus menghubungi Puan Raja Faridah, Pengarah Kewangan di Ibu Pejabat Felda untuk mendapatkan maklum balas.

Memandangkan akaun penyata hutang peneroka telah dapat dimuktamadkan, maka maklum balas telah diberi serta-merta.

Sebenarnya sudah hampir 20 tahun senarai hutang peneroka tidak dapat diselesaikan selengkapnya. Alhamdulillah, dengan izin ALLAH SWT sekarang sudah selesai.

Puan Kasminah ternyata amat gembira mendengar khabar tersebut dan lantas berjumpa saya untuk mengucapkan terima kasih kepada Felda. Beliau akui cukup merasa lega dan berasa amat bersyukur.

Alhamdulillah, itu ada secebis kisah berkaitan kejayaan Felda memuktamadkan senarai hutang peneroka yang hampir 20 tidak dapat diselesaikan.

Petugas-petugas Felda yang tanpa kenal erti penat lelah telah berkampung di Pusat Latihan Felda (ISEF) bagi melaksanakan amanah menyiapkan perincian tersebut.

Berita baik ini disusuli pula dengan penghapusan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sambutan Hari Peneroka pada 7 Julai lalu.

Hutang peneroka sebanyak RM8.3 bilion sudah dihapuskan. Ada peneroka yang mendapat pelupusan hampir RM200,000 dan majoriti peneroka menyambut langkah pelupusan hutang tersebut dengan baik.

Di samping pelupusan hutang peneroka, kerajaan pada akhir tahun lalu juga telah meluluskan sukuk berjaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion.

Sukuk ini bertujuan untuk menstrukturkan kembali pinjaman jangka masa panjang agar Felda tidak lagi dibebani dengan hutang yang tinggi.

Sekali lagi terima kasih kepada kerajaan dan tidak ketinggalan juga kepada Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Kesan sukuk ini juga telah membantu Felda memperoleh 81 peratus saham FGV dan akhirnya mengembalikan semula tanah LLA kepada Felda.

Banyak lagi usaha penambahbaikan di Felda. Isu pewarisan tanah sudah hampir 50 peratus selesai. Sistem pertanian pintar seperti eGIS dan SPMS sedang diselaraskan untuk mengawal kebun-kebun peneroka dalam usaha meningkatkan hasil mereka.

Semua sekolah menengah di rancangan-rancangan Felda telah dilengkapkan dengan kelas pintar dan belia juga diberi latihan pengendalian dron untuk digunakan di ladang-ladang.

Antara yang paling menarik perhatian saya adalah apabila peneroka bersatu hati bersetuju memberi sedekah sebanyak hampir RM10 juta kepada majlis agama Islam negeri masing-masing.

Ini adalah usaha perubahan sikap agar peneroka Felda menjadi masyarakat pemberi. Menjadikan peneroka Felda sebagai Khaira Ummah.

Usaha ini berjaya dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan kaedah NLP. Alhamdulillah, peneroka Felda sudah mula berubah.

Dengan jumlah hutang yang kini sudah mampu dibayar, diikuti proses penambahbaikan pengurusan dan bantuan yang diberikan kerajaan, Insya-ALLAH Felda akan kembali cemerlang.

Insya-ALLAH, semoga peneroka Felda akan terus berjaya dan sentiasa diberkati.

* Datuk Seri Idris Jusoh ialah Pengerusi Felda

Klik di sini untuk terus membaca