[WAWANCARA] Tanggapan majoriti rakyat bahawa industri perkilangan menjadi punca kes positif Covid-19 terus tinggi di negara ini ditepis Pengarah Eksekutif Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.
Beliau berkata, pemahaman itu tidak tepat kerana berdasarkan data kes jangkitan harian, hanya 15 hingga 20 peratus kes melibatkan kluster kilang manakala 80 peratus tiada kaitan langsung dengan kluster atau membabitkan kes sporadik.
Justeru menurutnya, penutupan sepenuhnya sektor perkilangan seperti gesaan yang disuarakan rakyat yang marah kerana menganggap industri itu menjadi punca lonjakan kes tidak akan menyelesaikan masalah peningkatan kes Covid-19.
Sebaliknya, Dr Noor Azlan menegaskan, tindakan itu hanya akan memberi kesan buruk kepada ekonomi Malaysia kerana sektor perkilangan di negara ini menyumbang jumlah eksport melebihi RM1 trilion setiap tahun.
Ikuti wawancara wartawan SINAR AHAD, Raiham Mohd Sanusi bersama Dr Noor Azlan yang diadakan secara maya pada Jumaat.
SINAR AHAD: Setakat ini bagaimanakah kedudukan ekonomi negara, adakah semakin buruk atau masih mampu bertahan?
DR NOOR AZLAN: Sebenarnya apabila kita masuk tahun 2021, jangkaan awal kita tahun ini adalah tahun yang dianggap pemulihan yang baik. Pertumbuhan dijangka mungkin sekitar 6.5 peratus terutamanya dengan pemulihan pasaran antarabangsa. Kita mesti ingat negara seperti Malaysia, sebahagian besar ekonomi kita bergantung dengan prestasi ekonomi global. Jadi pada tahun ini ekonomi global khususnya bagi negara maju seperti Amerika Syarikat termasuk China dijangka pulih.
Tiba-tiba kita berdepan dengan satu peningkatan mendadak kes Covid-19. Kita semua sedia maklum kerajaan tiada pilihan dan mesti ambil tindakan tepat untuk pastikan kita dapat kawal penularan pandemik ini. Satu daripada langkahnya adalah kita terpaksa memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Jadi pastinya dengan keadaan yang agak membimbangkan ini, saya pasti ia akan memberikan kesan ke atas ekonomi negara kita.
Pertumbuhan pastinya akan lebih rendah malah Bank Dunia sudah semak semula angka itu kepada 4.4 peratus. Tapi bagi saya, kita kena lihat apa tindakanyang perlu kita buat terutamanya dalam mempertahankan kehidupan rakyat dan bagaimana kita memastikan kita dapat setidak-tidaknya momentum yang sederhana.
Jadi bagi saya keadaan memang mencabar tapi kita kena pandang ke depan. Kalau pertumbuhan ekonomi kita 4.5 kepada 5.5 peratus pun sudah dikira bagus kerana kita berdepan ketidakpastian yang kita hadapi sekarang. Kita juga bukan bersendirian sekarang ini, banyak negara-negara lain juga berhadapan dengan situasi yang sama pada tahun ini.
- Pada pandangan Tan Sri apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan sekarang berkesan?
Harus kita ingat apa yang dimaksudkan dengan berkesan itu. Pertamanya, mengambil kira setiap pakej rangsangan dan setakat ini kesemuanya ada tujuh pakej (rangsangan ekonomi) tidak termasuk pakej rangsangan ekonomi pertama yang Tun Dr Mahathir Mohamad perkenalkan. Keseluruhan nilai pakej rangsangan adalah kira-kira RM530 bilion.
Daripada nilai ini sekitar RM83 bilion merupakan suntikan terus atau secara mudahnya datang daripada fiskal iaitu jumlah kewangan negara. Kebanyakannya datang dalam bentuk suntikan langsung ke dalam ekonomi seperti bantuan Program Subsidi Upah (PSU), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Geran Khas Prihatin.
Jika kita sentuh tentang RM83 bilion, setiap tahun bila kita dengar bajet biasanya perbelanjaan pembangunan lebih kurang RM40 bilion. Jadi kalau RM80 bilion dalam tempoh setahun bererti ia menyamai dua tahun perbelanjaan pembangunan. Jumlah itu besar.
Jadi bila kerajaan berbelanja, kita harus faham, kalau belanja RM80 bilion kesan ke atas ekonomi bukan RM80 bilion sebaliknya tiga kali ganda atau dalam istilah ekonomi dipanggil kesan pengganda. Bayangkan kalau saya daripada keluarga penerima BPR dan saya berbelanja bererti pusingan yang pertama mungkin kedai runcit tempat saya belanja dapat manfaat. Kedai runcit itu pula, dia berbelanja dengan beli barang untuk stok kedai akan jadi pusingan kedua dan begitulah seterusnya.
Bagi saya kalau kita dapat gerakkan apa yang kita rancang ini InsyaALLAH, ia boleh beri suntikan rangsangan pertumbuhan kepada ekonomi. Tapi kalau nak cakap kita akan dapat pulih seperti sedia kala pada tahun ini, ia mungkin tidak terjadi tetapi sekurang-kurangnya kita dapat meneruskan kelangsungan dalam konteks kehidupan dan aktiviti ekonomi.
- Apakah yang sepatutnya dilakukan ketika ini untuk mengawal pandemik Covid-19?
Bagi saya pandemik ini seluruh dunia tak ada jawapan di mana penghujungnya. Sebab itu hari ini saya lihat kita akan berhadapan dengan endemik, maksudnya kita hidup bersama Covid. Jangan kita terperanjat dengan kata-kata begini kerana yang kita risau terjemahan di luar sana kerana ada gambaran yang mungkin tidak tepat.
Contohnya, semasa sidang media Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, beliau menyebut bahawa kes pada hari Khamis kira-kira 13,000 dan hampir 96 peratus itu adalah yang positif tetapi tidak bergejala dan yang kedua ada gejala di peringkat kedua.
Kita harus objektif. Rakyat kena faham dengan adanya program vaksinasi kita yang begitu baik, kita berjaya meningkatkan vaksinasi dengan kadar yang begitu pantas. Hari ini secara umumnya lebih 400,000 suntikan diberikan sehari.
Jadi dalam tiga hari kita boleh dapat 1.2 juta. Itulah pertaruhan kita. Kalau lebih ramai divaksin bererti kita dapat capai imuniti kelompok. Imuniti kelompok ini pula tak perlu sampai negara capai 80 peratus pun kerana kita lihat rata-rata di luar negara bila 40 peratus pun kita dah mula melihat manfaatnya.
Jadi penumpuan kita di mana? Adakah kita masih nak menumpu pada bilangan kes yang kadang-kadang merungsingkan kita kerana dulu 700, sekarang 13,000? Secara mudahnya mungkin hampir 80 peratus adalah kes-kes hari ini bersifat sporadik maksudnya bukan daripada komuniti. Kena tengok betul-betul apa yang dilaporkan Ketua Pengarah Kesihatan yang mengatakan secara purata 80 peratus adalah kes yang tiada kaitan dengan kluster. Jadi bila kita bercakap tentang kluster, sebenarnya kita bercakap tentang 15 hingga 20 peratus kes sahaja.
Apabila kita berjaya tingkatkan vaksinasi, ia akan memberi imuniasi kepada majoriti rakyat Malaysia. Kalaupun ada terkena Covid tetapi ia tidak membawa kepada kemudaratan yang memerlukan rawatan hospital. Itu yang dikatakan Covid akan tetap ada dalam tempoh yang panjang atau mungkin selama-lamanya seperti virus lain contohnya influenza. Yang paling penting bagi saya sekiranya ada jangkitan, ia tidak membawa kemudaratan dan tidak memberi tekanan ke atas sistem kesihatan kita.
- Rakyat marah apabila sektor perkilangan yang dikatakan punca kes Covid-19 tinggi terus dibenarkan beroperasi. Apakah dengan menutup kilang segala masalah akan selesai?
Situasi ini bagi saya pemahaman yang tidak begitu tepat. Kita harus faham bahawa daripada jumlah kes yang berlaku hanya lebih kurang 15 ke 20 peratus yang boleh diklasifikasikan sebagai kluster. Bukan semua kes ada kluster, jadi yang 80 peratus itu adalah kes-kes yang tidak berkaitan kluster. Bila kita bercakap tentang kluster kita sering merujuk kepada perkilangan, pembinaan, peruncitan dan beberapa kategori lagi dan sebenarnya kita bercakap dalam konteks kluster sahaja iaitu dalam 15 ke 20 peratus sahaja (daripada keseluruhan kes). Kita tidak bercakap tentang kesemua kes.
Tapi saya tidak nafikan bahawa terdapat kilang-kilang yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Bagi kilang-kilang yang begini sifatnya, saya bersetuju supaya penguatkuasaan lebih ketat dilaksanakan. Namun untuk menterjemahkan bahawa semua kilang kena tutup, itu tidak betul. Bagi saya kita harus mengambil tindakan secara bersasar. Tidak semua kilang berhadapan dengan kes yang melonjak.
Dalam ekonomi mudah sahaja ada dua sumber diperlukan iaitu yang pertama sumber pertumbuhan dalaman bererti kita berbelanja, syarikat berbelanja dalam negara termasuk juga bila kita balik kampung, makan angin. Itu akan menyuntik kepada pertumbuhan ekonomi yang akhirnya beri pendapatan. Satu lagi adalah daripada aktiviti yang dijalankan dalam negara tetapi untuk memenuhi permintaan antarabangsa.
Kita adalah negara yang kecil tetapi eksport kita jumlahnya besar lebih daripada RM1 trilion. Jadi dalam keadaan begini, satu sumber pertumbuhan yang penting adalah pertumbuhan yang diperoleh daripada kemajuan atau pemulihan pasaran antarabangsa dan di sinilah kilang-kilang memainkan peranan kerana sebahagian besarnya adalah kilang-kikang besar yang berada dalam jaringan pembekalan antarabangsa. Ramai rakyat tak nampak perkara ini.
Saya bagi contoh, saya pernah berbincang dengan syarikat gergasi dunia iaitu Apple iaitu wakil ibu pejabat Asia mereka yang berada di China dan Malaysia. Mereka memaklumkan bahawa, untuk buat telefon pintar ada 48 pembekal mereka berada di Malaysia yang melibatkan hampir 2,500 pekerja-pekerja mahir dan nilainya melebihi AS$2 bilion. Kalau kita tutup kilang mereka tanpa sebab, ia boleh menjejaskan sistem pengeluaran.
- Lembah Klang yang menjadi jantung ekonomi negara menyaksikan jumlah kes yang tinggi, jadi pastilah wajar tumpuan pemberian vaksin diutamakan di situ. Apa komen Tan Sri?
Pada 14 Julai lalu, kes yang dicatatkan sebanyak 11,618 kes dan Selangor rekodkan 43 peratus kes. Kalau kita campur dengan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan ia jadi 71 peratus berpunca daripada wilayah tengah.
Lapan negeri seperti Perlis, Terengganu, Kedah dan Perak dah berganjak ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN). Jadi di mana yang tidak ada tekanan yang membimbangkan dan lepas nilai ambang negeri kita akan lepaskan mereka.
Jadi di negeri-negeri yang berhadapan masalah peningkatan kes terutama di Lembah Klang ini sekarang kita kena faham di kawasan ini 44.3 peratus gig ekonomi datang daripada aktiviti ekonomi di sini. Ini yang menjadi cabaran sebab kes itu mendadak. Jadi memang sekarang ini usaha untuk meningkatkan vaksinasi itu sedang dilakukan dengan begitu pantas bagi saya.
Umpamanya untuk dos yang pertama bagi 18 tahun ke atas dan kumpulan sasaran pertama, untuk Selangor dan Kuala Lumpur data terkini dah capai hampir 54 peratus. Untuk Malaysia kita dah sampai 37 peratus. Sarawak kadar vaksinasinya dah sampai 71 peratus. Jadi bererti memang kerajaan meningkatkan pemberian vaksin.
- Bagaimana Tan Sri melihat Pakej Pemulih, adakah ia mencukupi untuk menangani permasalahan ekonomi rakyat yang sedang meruncing?
Kita harus faham daripada semua pakej rangsangan ekonomi, kalau kita ulang kaji balik kita akan tengok ada satu komponen mengenai pandemik Covid terutamanya mengenai siap siaga memperkukuh sistem kesihatan kita, itu yang pertama sekali. Kemudian kita akan lihat dua komponen mesti ada, pertama komponen untuk kesejahteraan rakyat, kedua, untuk sektor perniagaan dan penumpuan kita adalah kepada kumpulan rentan atau mudah jejas.
Bila kita cakap isi rumah, kita tahu ada isi rumah berpendapatan tinggi, pendapatan menengah dan pendapatan bawah. Yang paling bawah sekali adalah miskin dan miskin tegar. Jadi penumpuan kita adalah kepada kumpulan rentan. Sama juga seperti syarikat. Ada syarikat besar atau gergasi, mereka tak perlu bantuan. Ada syarikat sederhana dan kemudian turun ke bawah industri kecil dan sederhana dan industri mikro. Penumpuan kita adalah kumpulan rentan. Hasil perniagaan mereka ialah hari ke hari dan secara kecil-kecilan.
Cuba kita ingat PKP yang pertama tahun lepas dan yang sekarang apa bezanya? Satu yang jelas ialah penjaja di tepi jalan seperti mak cik yang jual kuih, air, mereka dibenarkan beroperasi. Kalau tahun lepas kita panik dan tutup semua. Ia menjejaskan semua tapi kali ini ia tidak begitu. Tapi bukanlah bermakna mereka senang lenang tapi sebenarnya dalam banyak interaksi, pendapat sayalah satu yang paling utama sebenarnya rakyat Malaysia ini dia nak bekerja.
Malangnya cara kita nak mengurangkan penularan pandemik ini ialah terpaksa mengehadkan pergerakan. Manusia bergerak bererti wang pun bergerak. Bila orang naik kereta dia isi minyak, dia singgah pam minyak, dia beli air, kuih dan bayar tol jadi bila kita keluar bekerja kita juga makan dekat kenderasaji contohnya. Jadi bila pergerakan terhad, perniagaan-perniagaan yang begini sifatnya akan terjejas.
Bagi saya kerajaan menyedari perkara ini dan meletakkan ia perkara utama. Ia bermakna kesemua pelan yang ada yang telah diumumkan inilah komponennya iaitu kesihatan, rakyat dan perniagaan. Perkataan 'makanan di atas meja' ini antara perkataan pertama yang saya dengar dari Perdana Menteri pada Mac tahun lepas bila krisis ini bermula. Saya berada dalam mesyuarat tersebut. Itu usaha yang dibuat kerajaan dan hari ini kerajaan turut berikan bakul makanan dan sebagainya.
- Kerajaan juga telah mengumumkan Pelan Pemulihan Nasional (PPN) sebagai satu strategi untuk keluar daripada kemelut pandemik Covid-19. Boleh Tan Sri jelaskan?
Saya mahu ambil peluang ini untuk menjelaskan kepada rakyat bagi membolehkan semua pihak memahami apa yang dimaksudkan dengan PPN. Pertamanya ia adalah 'exit plan' maksudnya ialah pelan untuk kita keluar. Jangan salah faham dengan pelan pemulihan yang komprehensif.
Bila kali pertama Perdana Menteri mengumumkan pelan ini iaitu menyatakan tiga indikator kita akan lihat iaitu nilai ambang, jumlah pesakit di ICU, kes harian dan kadar vaksin ia merupakan satu petunjuk yang mudah difahami semua bahawa ini adalah petunjuk-petunjuk utama yang akan membolehkan kita berganjak ke fasa lebih longgar, maksudnya boleh bergerak dengan lebih banyak.
Seperti saya sebut tadi, pergerakan itu adalah ekonomi, bila manusia dibenarkan bergerak seperti biasa ekonomi akan berlaku. Ada orang pertikai kenapa ringkas sangat dan persoal di mana pelan untuk perusahaan kecil dan sederhana, pelancongan, pendidikan dan luar bandar serta macam-macam lagi. Saya tengok banyak salah faham di situ. Sebenarnya ia lebih kepada satu pelan bagaimana kita mahu keluar daripada satu kawalan pergerakan yang ketat sehinggalah kita berganjak kepada fasa keempat.
Satu lagi tentang dakwaan bahawa pelan kerajaan ini 'flip flop', sebenarnya dalam keadaan sekarang banyak ketidaktentuan jadi umpamanya bila kita lihat pola pandemik ini tidak sekata seluruh Malaysia. Tadi saya sebut 71 peratus berada di Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur sedangkan di beberapa negeri lain, ia tidak begitu. Jadi kita ubah bila lihat nilai ambang mengikut negeri yang mana kita ada pemberatnya ialah penduduk negeri bahagi dengan jumlah penduduk negara. Ia bermakna kita ada nilai ambang negeri masing-masing.
Dalam kita berhadapan dengan krisis, tiada undang-undang yang dipahatkan secara kekal maksudnya kita kena bersedia untuk adakan dinamikanya, kita bersedia untuk buat perubahan. Kalau dulu kita buat vaksin, kena beri di pusat pemberian vaksin (PPV) kemudian kita perkenalkan PPV pandu lalu dan kita buat pula sistem pemberian vaksin bergerak pergi ke kampung-kampung. Saya tahu di kampung adik-beradik saya, dia dapat vaksin sebab pemberian vaksin dari rumah ke rumah. Jadi kita ada dinamik perubahan-perubahan polisi.
- Wajarkah individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin diberikan kelonggaran atau keistimewaan?
Sekarang sudah ada perbincangan mengenainya. Kalau kita mahu longgarkan ia mesti didasari kepada beberapa faktor. Pertama, mereka bukan lagi terdedah kepada permasalahan Covid. Kedua, ia bertujuan untuk memberi satu suntikan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Jadi kalau kita ada beberapa juta rakyat yang lengkap terima dua dos, pada pandangan saya kita benarkan tapi mestilah ada kaedah-kaedah kawalannya, bukanlah untuk bersuka ria pergi ke kelab malam dan sebagainya. Setidak-tidaknya mereka boleh pergi bekerja.
Kita kena ingat bila mereka bergerak, mereka berbelanja. Jadi bagi saya wajar dipertimbangkan atas tujuan untuk memastikan ekonomi negara dapat dipertingkatkan.
ANEKDOT
Cuba hobi baharu di rumah
Waktu pandemik ini saya akui kita banyak habiskan masa di rumah kerana kalau yang bekerja pun, terpaksa bekerja dari rumah termasuklah saya. Sebab banyak masa di rumah, ramai yang ada hobi baharu seperti tanam pokok, saya cuba juga. Baru-baru ini saya tanam pokok betik. Selain itu, saya juga curi masa untuk bersenam setiap kali waktu lapang. Saya juga banyak membaca dan khatam al-Quran.
Anggap tugas fardu kifayah
Bagi saya tugas sebagai Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) adalah satu amanah yang sebenarnya fardu kifayah di atas bahu saya. Kebetulan sekarang berlaku masalah ekonomi dan saya tunaikan tanggungjawab. Di EAC, pertemuan atau mesyuarat dilakukan di pelbagai sektor. Kebelakangan ini hampir 400 mesyuarat saya pengerusikan.
Di EAC juga saya bekerja rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad. Kita bertemu dengan semua lapisan masyarakat di semua sektor perniagaan. Hari ini (Jumaat) saya berbincang dengan persatuan juruterbang dan kru kabin lapangan terbang. Pada masa sama saya banyak belajar kerana sebelum ini kita tak tahu bagaimana keadaan sebenar mereka. Bila ada pertemuam seperti ini saya tahu banyak perkara misalnya makanan anak ikan kita import. Semua ini membantu dalam pengurusan krisis pandemik sekarang.
PROFIL:
Nama: Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali
Jawatan: Pengarah Eksekutif Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi
Pengalaman:
-Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (2014-2018)
- Felo Sekolah Kerajaan Kennedy, Universiti Harvard, AS
- Penerima fellowship Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh (RCSEd)
- Ahli Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (2015-2019)
- Ahli Jawatankuasa Majlis Perancangan Pembangunan Nasional (2014-sekarang)
Pencapaian:
- Dianugerahkan Profesor Ekonomi Kehormat oleh Universiti Cyberjaya
- Penerima Anugerah Perkhidmatan Awam Terhormat 2020