ESOK, 23 Julai 2021 tirai Sukan Olimpik 2020 dibuka secara rasmi. Selepas ditangguhkan setahun ekoran pandemik Covid-19, obor temasya sukan paling berprestij di dunia itu kini hanya menanti masa untuk dinyalakan.
Pada Isnin lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah mengumumkan sasaran pingat kontinjen Malaysia pada Olimpik Tokyo 2020. Sasaran kali ini − tiga pingat termasuk salah satunya kilauan emas.
Seperti sudah dijangka, banyak pihak khususnya kalangan peminat sukan tanah air ‘berhujah’ tentang sasaran pingat tersebut. Ada yang menganggap ia angka realistik. Malah, ada juga yang berpendapat, ia sasaran ‘selamat’ dan ‘berani’.
Apa sahaja hujah yang dilontarkan, satu hakikat nyata − keterbatasan kontinjen Malaysia membuat persediaan terbaik sebelum Olimpik Tokyo 2020 bermula angkara Covid-19, menjadikan sasaran yang diletakkan itu sebagai ‘batu penghalang’ terbesar.
Apa sekalipun percaturannya, pujian harus diberikan kepada pihak yang berkenaan kerana berani meletakkan sasaran tersebut. Bukan sesuatu yang mustahil untuk membawa pulang tiga pingat termasuk emas sulung Olimpik.
Tanpa bekas jagoan badminton, Datuk Lee Chong Wei yang menghadiahkan pingat perak dalam tiga temasya sebelum ini, tumpuan kini terarah kepada jaguh lumba basikal trek, Datuk Azizulhasni Awang untuk memburu kilauan emas sulung Olimpik.
Selain Azizulhasni, pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang menjuarai Kejohanan Badminton Seluruh England pada Mac lalu dianggap sebagai antara prospek terbaik untuk menjelmakan kilauan emas buat kontinjen Malaysia pada temasya Olimpik kali ini.
Malah, ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang meraih pingat gangsa pada temasya Olimpik London 2012 sebelum membawa pulang perak dalam edisi Rio 2016, turut disebut-sebut menjadi sandaran untuk membawa pulang pingat emas.
Umpama pergi dengan seribu harapan, pulang dengan satu kejayaan − kini sudah tiba masanya buat kesemua 30 wira dan wirawati negara yang berjuang di bumi Tokyo membawa perkhabaran gembira buat seluruh rakyat Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca