LEBIH setahun lalu, warganet di negara ini mengecam keras tindak-tanduk segelintir penduduk bandar Wuhan di China kerana enggan mematuhi protokol kesihatan bagi mengekang penularan Covid-19.Bagi warganet, keengganan dan kedegilan penduduk Wuhan mematuhi arahan pihak berkuasa menjadi punca Covid-19 merebak dengan pantas.
Seingat Merak Jalanan, ketika itu kes jangkitan di negara ini masih berada pada tahap dua digit dan Malaysia adalah antara negara yang berjaya mengawal penularan virus maut berkenaan disebabkan oleh kepatuhan tinggi ditunjukkan rakyat semasa pelaksanaan fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, kini situasi berubah 360 darjah dan tambah menggusarkan apabila kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di negara ini meningkat saban hari.Tambah membimbangkan apabila terdapat pula segelintir individu termasuk warga asing di negara ini ‘dijangkiti’ sikap degil orang-orang di bandar Wuhan.
Bukan sahaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP ditetapkan, malah ada yang berlagak pandai apabila dikompaun pihak berkuasa.
Melihat kepada senario ini, Merak Jalanan ingin memberi pesanan kepada orang ramai agar tidak mempertikai tindakan polis mengeluar kompaun terhadap pesalah SOP PKP.
Bagi Merak Jalanan, lebih baik merayu dan akur kepada penguatkuasaan SOP yang telah kerajaan tentukan agar rantaian penularan virus Covid-19 dapat diputuskan.
Apa pun, semua orang perlu mengambil iktibar daripada apa yang sudah berlaku sebagai satu pengajaran.
Ingat! Kes yang meningkat setiap hari masih mengekalkan lima angka. Peningkatan kes menyebabkan sistem kesihatan tertekan apabila hospital penuh dan katil-katil tidak mencukupi.
Ada sebab kenapa kerajaan melaksanakan SOP dan kita sebagai rakyat seharusnya patuh dengan arahan tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca