DIA dibelenggu dengan kes mahkamah yang masih bertimbun dan jauh dari penyelesaian tapi Bossku Datuk Seri Najib Razak jauh daripada dilupakan.
Baru-baru ini iaitu pada 23 Julai, beliau menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-68 dan mendapat 74,000 likes dalam laman FB dan rakaman videonya untuk mengucapkan terima kasih kepada para peminat dan rakan sosial medianya kerana mengucapkan happy birthday menerima 45,000 likes.
Najib yang mencipta fenomena ‘Bossku’ ketika Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada tahun 2019 nampaknya masih popular dan terus menerima perhatian masyarakat apatah lagi dalam kalangan masyarakat media sosial.
Komentar beliau sama ada ringkas atau panjang, sinis atau berterus-terang masih diikuti dengan penuh minat oleh rakyat Malaysia - sama ada yang suka atau membencinya.
Yang menakjubkan ialah beliau masih ‘dirujuk’ dan bertindak sebagai ‘penasihat’ sama ada oleh mereka dalam kalangan partinya sendiri atau parti lain.
Yang terbaru, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di pejabat Timbalan Perdana Menteri (TPM) Rabu lalu (21 Julai).
Sudah pastinya beliau akan terkenang kembali saat-saat di mana dirinya sendiri pernah berada di situ. Manakan tidak, beliau pernah menjadi TPM selama lima tahun ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri (PM).
Dan sudah pasti juga kehadirannya di Kompleks Perdana Putrajaya itu bukanlah untuk mendengar kata-kata nasihat Ismail Sabri, tetapi logik akal mengatakan adalah untuk beliau memberi satu dua nasihat kepada TPM yang baharu itu.
Kedua-duanya adalah dari satu negeri dan bukan sahabat politik semalam.
Hakikat bahawa Najib sudah melalui sepak terajang politik sebagai PM dan TPM menjadi ilmu dan pedoman yang sangat bermakna buat Ismail Sabri. Mungkin beliau boleh mengambil sedikit sebanyak iktibar daripada Najib - apa yang perlu dielakkan dan apa yang perlu diberi perhatian dan tumpuan.
Dalam konteks ini, Najib boleh menjadi kingmaker lebih-lebih lagi menjelang pemilihan UMNO sendiri 18 bulan dari sekarang.
Bagi Ismail Sabri, menerima sokongan dan restu dari Najib sangat penting untuk kelangsungan politiknya dalam UMNO lebih-lebih lagi beliau sudah berada di kerusi nombor dua dalam kerajaan.
Seandainya apa-apa terjadi ke atas PM beliaulah orangnya (dari sudut konvensyen) untuk mengambil alih jawatan PM.
Tapi dalam konteks UMNO itu sendiri, mendapat restu Najib masih menjadi formula penting dalam kerjaya politik Ismail lebih-lebih lagi mereka dari negeri yang sama. Jika tidak menyokong sekalipun asalkan tidak menentang sudah besar ertinya.
Oleh itu, kunjungan hormat Najib ke pejabat TPM memberi signal kepada ahli-ahli UMNO bahawa Ismail mendapat restunya sebagai TPM. Ini sangat penting dan besar ertinya dalam lenggok badan orang politik.
Bossku bukan sahaja membuat kunjungan hormat, tetapi sebaliknya beliau sendiri turut menerima kunjungan hormat.
Baru-baru ini satu delegasi dari parti Amanah telah mengunjungi beliau diikuti oleh wakil tidak rasmi DAP. Semuanya adalah untuk membincangkan jajaran-jajaran politik baharu seandainya perlu terjadi.
Bukan itu sahaja, Pas pun turut menghantar wakil mereka untuk bertemu Bossku untuk meminta bantuan agar kepimpinan UMNO sekarang tidak mengenepikan Muafakat Nasional dalam apa juga keputusan politik yang mahu diambil pada masa hadapan.
Nampaknya memang Bossku menjadi tempat rujuk kepada ramai pihak. Beliau adalah kingmaker yang sebenarnya.
Cuma beliau tidak berupaya menjadi kingmaker dalam kes perbicaraannya sahaja yang sekali gus boleh membawa kepada penamatan kerjaya politiknya.
Tapi mungkin itu juga tidak menjadi hal kepada Bossku kerana walau di mana beliau berada atau apa juga hasilnya beliau adalah Bossku....