SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Prestasi pengurusan kewangan dan kredit rakyat Malaysia masih di tahap kurang memuaskan meskipun terdapat pelbagai jenis perkhidmatan nasihat kewangan ditawarkan. Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems Sdn Bhd... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Prestasi pengurusan kewangan dan kredit rakyat Malaysia masih di tahap kurang memuaskan meskipun terdapat pelbagai jenis perkhidmatan nasihat kewangan ditawarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS), Eric Chin berkata, berdasarkan laporan pada Jun lalu, sejumlah 60 peratus daripada pengguna perkhidmatan syarikatnya menunjukkan skor laporan kredit di tahap sederhana dan lemah.Beliau berkata, situasi itu direkodkan ketika CTOS mengalami peningkatan sebanyak 52 peratus dalam jumlah pengguna yang mengakses laporan kredit masing-masing di agensi tersebut sejak 12 bulan lepas.

"Jadi kalau kita anggap ia adalah skor untuk populasi Malaysia, maknanya 60 peratus adalah di bawah antara sederhana hingga lemah dan hanya 40 peratus yang laporan kreditnya dikira baik.

"Ia menunjukkan lebih banyak kesedaran literasi kewangan diperlukan untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai pentingnya kesihatan kredit dan kesan terhadap kedudukan kewangan sekiranya skor berada pada kategori yang tidak diingini,” katanya kepada Sinar Ahad.Eric berkata lagi, kaji selidik oleh CTOS mendapati, 57 peratus pengguna yang menyemak kedudukan kredit adalah disebabkan masalah kewangan akibat pandemik.

Beliau berkata, antara punca seseorang itu mencapai skor rendah dalam laporan kredit adalah kerana rekod pembayaran balik pinjaman yang kurang baik dan jumlah hutang yang banyak.

Malas periksa laporan kredit

Jelasnya, rekod pembayaran kredit mengikut waktu yang ditetapkan adalah sangat penting terutamanya bagi mereka yang mengambil pinjaman perbankan.

"Dari segi jumlah kredit, pengguna perlu memastikan mereka tidak membuat pinjaman yang tidak munasabah,” jelasnya.

Eric berkata, meskipun pengguna yang mengakses laporan kredit secara kendiri meningkat, namun jumlah itu dilihat masih kecil kerana hanya meliputi lebih kurang 8.6 peratus daripada keseluruhan 15 juta peminjam dalam negara.

Eric

Beliau berkata, perkara itu berlaku kerana tahap pengetahuan rakyat Malaysia terhadap kepentingan pengurusan kesihatan kredit dan prosedur untuk mengakses pelaporan pinjaman masih lemah.

Menurutnya, amalan memeriksa laporan kredit secara berkala adalah sama penting dengan rutin pemeriksaan kesihatan kepada seseorang individu.

"Dulu orang kita, kalau memang dah sakit baru nak buat pemeriksaan kesihatan, tapi hari ini ramai mula sedar kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

"Begitu juga dengan kesihatan pinjaman dan kewangan yang memerlukan pemeriksaan berkala. Apabila ada pengetahuan mengenai status kewangan diri, anda boleh urus kewangan dengan baik,” jelasnya.Eric memaklumkan antara perkara terkandung dalam laporan kredit yang juga disifatkan sebagai ringkasan prestasi kewangan pengguna adalah maklumat akaun kredit termasuk bersama bank dan institusi bukan perbankan, litigasi, kebankrapan dan paling penting ialah sejarah pembayaran.Katanya, CTOS akan memperoleh maklumat tersebut daripada badan berkanun, pelanggan dan sumber awam seperti warta kerajaan, surat khabar serta pengadilan mahkamah.

Jelasnya, maklumat laporan kredit pelanggan sentiasa dipantau secara berkala dan ia akan dikemas kini dari masa ke masa berdasarkan prestasi kewangan pengguna.

"Rekod Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) Bank Negara Malaysia dikemas kini setiap bulan tetapi maklumat litigasi, kebankrapan, rujukan perdagangan dan rekod pengarah dikemas kini apabila ia berubah,” katanya.

Erich menjelaskan meskipun syarikatnya adalah entiti swasta, namun ia berada di bawah seliaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan tertakluk di bawah Akta Pelaporan Kredit 2010.

"CTOS turut mengguna pakai dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) yang merupakan standard ditetapkan Bank Negara Malaysia kepada semua institusi perbankan,” ujarnya.

CTOS turut menyediakan perkhidmatan pelaporan kredit perniagaan sektor korporat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Lebih 17,000 pelanggan PKS menggunakan perkhidmatan CTOS, manakala pengguna daripada syarikat korporat meliputi institusi kewangan pembangunan, insurans dan telekomunikasi,” katanya.

Laporan percuma sehingga Julai

Eric berkata, penyediaan penyelesaian kewangan yang ditawarkan syarikatnya adalah menyeluruh merangkumi khidmat nasihat serta pendidikan.

Katanya, bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan kesihatan kredit, CTOS juga melancarkan perolehan laporan kredit CTOS secara percuma untuk individu sepanjang Julai.

Menurutnya, CTOS menjalankan kerjasama dengan platform literasi kewangan dikenali sebagai ‘Multiply’ bagi membawa kandungan pendidikan kewangan di platform media sosial untuk memudahkan akses kepada pelbagai tip dan pengetahuan mengenai pengurusan kewangan.

"Melakukan semakan kendiri adalah langkah pertama. Kalau laporan kredit tidak memuaskan, anda boleh datang ke pejabat kami di seluruh Malaysia,” jelasnya.

Eric berkata, di samping melayari laman web www.ctoscredit.com.my bagi sebarang maklumat dan bahan pendidikan, pengguna boleh mendapatkan khidmat nasihat di cawangan CTOS apabila operasi pejabat kembali dibenarkan.

Klik di sini untuk terus membaca