[MUKADIMAH] Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim menjangkakan sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung selama lima hari bermula esok agak panas disebabkan beberapa isu yang akan... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim menjangkakan sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung selama lima hari bermula esok agak panas disebabkan beberapa isu yang akan dibangkitkan.

Ini termasuklah hal darurat, vaksinasi dan bantuan kepada rakyat.

Bagaimanapun, tegasnya, tidak akan ada pembentangan usul undi tidak percaya atau undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana ia tidak ditetapkan dalam aturan mesyuarat.

Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Ahli Parlimen Arau itu turut menjawab isu-isu panas seperti kempen #KerajaanGagal dan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri yang dikatakan telah memecah-belahkan UMNO.

Ikuti wawancara bersama Shahidan yang dikendalikan Pengarang Berita Umum Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan wartawan Raiham Mohd Sanusi.

SINAR AHAD: Sidang khas Parlimen esok bertujuan memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN). Bagaimanapun, ia dikritik pembangkang dengan mendakwa mereka tidak diberi peluang untuk membahaskan usul yang dibawa oleh kerajaan. Apa komen Datuk Seri?

SHAHIDAN: Dakwaan pembangkang itu tidak benar sebab kita (ahli Parlimen) akan diberi peluang untuk memberi pandangan dan meminta penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam sidang itu nanti menteri akan beri penerangan kemudian kita (ahli Parlimen) akan bangun untuk meminta penjelasan dan beri pandangan sebagaimana yang telah digilirkan.

Jadi kalau pembangkang beranggapan mereka tak diberi peluang untuk menyatakan pandangan, apakah mereka sahaja ahli Parlimen? Saya pun ahli Parlimen dan saya pun ada pengundi di belakang saya.

Ini adalah mesyuarat khas Parlimen. Mesyuarat biasa Parlimen nanti akan bermula dalam bulan September. Sesi keduanya bermula pada Oktober.

Jadi bulan September dan Oktober seperti biasa kita ada proses bertanya soalan, ada soalan lisan kemudian ada usul yang kita boleh bahas. Kenapa mereka tidak sabar menunggu September dan Oktober untuk melalui Parlimen biasa. Sekarang sidang khas Parlimen dan inilah agendanya.

Kalau ahli Parlimen pembangkang kata mereka tidak berpuas hati, terpulang kepada mereka. Masa mereka jadi kerajaan dulu kami cukup tidak berpuas hati sebab mereka hanya bagi kami bercakap lima minit, yang tak pernah kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu buat macam itu.

Kerajaan BN beri ruang seluas-luasnya untuk mereka bercakap sehingga kita cukup letih mendengar mereka bercakap.

Sekarang Parlimen tidak boleh bersidang lama kerana Covid-19. Parlimen hanya bersidang habis lama pun sehingga jam 8 malam.

Tapi kami pernah beri peluang bersidang sampai lebih jam 12 tengah malam. Jadi tidak benar kalau mereka katakan bahawa mereka tidak diberi ruang.

Shahidan

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sidang Parlimen yang terlalu pendek itu merupakan satu penipuan. Betulkah begitu?

Tidak benar dan tidak ada penipuan. Pada masa ini kerajaan yang memerintah tidak pernah menipu rakyat. Mesyuarat Parlimen kali ini adalah mesyuarat khas.

Mesyuarat pada September nanti adalah yang pertama dan yang kedua pada Oktober berserta pembentangan bajet. Jadi kalau kata kita tipu, bagi tahu kita tipu apa?

Perlukah Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun hadir pada sidang khas Parlimen seperti dicadangkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said bagi menjawab isu darurat?

Itu tidak perlu, menteri boleh jawab semuanya. Sekiranya mereka nak panggil Peguam Negara untuk menjawab, kita tengok peraturanlah sama ada beliau dibenarkan untuk berbuat demikian.

Tapi bagi saya tidak perlu. Menteri kena ambil tanggungjawab sebab menteri yang mentadbir negara dan menteri yang bertanggungjawab atas apa yang dilaksanakan kerajaan sehingga kini.

Apakah jangkaan Datuk Seri perkara yang akan berlaku dalam sidang khas Parlimen esok?

Saya tidak nampak ada apa-apa kemungkinan akan berlaku.

Yang saya nampak adalah menteri bangun beri penerangan dan penjelasan, kita dengar dan lepas itu kita akan bangun untuk berucap.

Seringkali gilirannya ialah kerajaan, pembangkang, kerajaan dan pembangkang.

Sesetengah orang mungkin akan menggunakan bahasa-bahasa tertentu dan masing-masing menggunakan pendekatan sendiri. Saya tak nampak ada kemungkinan yang boleh berlaku. Yang saya nampak adalah perbahasan akan berjalan dengan lancar.

Ada beberapa perkara yang akan ditimbulkan itu yang mungkin agak panas sikit kerana perbincangan utama saya rasa adalah tentang darurat, vaksin dan bantuan hidup rakyat.

Shahidan bergambar bersama ahli Parlimen lain pada Sidang dewan Rakyat Mei tahun lalu.-Sumber: Facebook Shahidan

Apa cabaran utama ahli-ahli Parlimen PN pada sidang kali ini?

Cabarannya adalah mendapatkan masa yang mencukupi untuk berbahas. Itu cabaran saya. Masa lima minit itu singkat untuk kita bercakap tetapi kalau diberi 10 minit, ada ruang.

Kalau 10 minit, lima minit saya akan cakap tentang vaksin dan lima minit lagi untuk bantuan hidup.

Bantuan hidup ini termasuklah aktiviti ekonomi. Kami di Perlis telah masuk ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara yang membolehkan kita meneruskan aktiviti kehidupan harian.

Cuma masalah besar adalah rentas sempadan. Dalam keadaan kami boleh bergerak bebas tapi bila ada orang (luar) rentas sempadan, mereka mungkin bawa penyakit, jadi itu satu masalah.

Adakah Datuk Seri melihat kemungkinan pembangkang cuba membawa usul lain berhubung keabsahan kerajaan yang ada sekarang?

Sidang khas Parlimen ini akan membahaskan apa yang telah ditetapkan dan tidak ada tambahan. Semasa sidang Parlimen biasa situasinya lain sebab itu ada ruang untuk kita bawa usul-usul.

Tapi kali ini tidak ada. Kita hanya membincang dan membahaskan apa yang telah diusulkan oleh kerajaan.

Kalau mereka bawa usul tak percaya, saya juga boleh bawa usul percaya. Tapi perkara ini tidak akan dibenarkan sebab prosesnya adalah menteri bentang, kita bahas. Itu sahaja.

Shahidan dikunjungi menteri dan bekas menteri di bilik PNBBC di bangunan Parlimen pada Sidang Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu.-Sumber: Facebook Shahidan

Datuk Seri orang lama dalam politik. Apakah perbezaan sewaktu zaman pentadbiran Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan kini Perikatan Nasional?

Memang ada perbezaannya sebab BN memerintah dalam masa yang begitu lama iaitu 60 tahun.

Sudah pasti kita ada kekurangan dan kelebihan tetapi secara keseluruhannya ia memberi kebaikan yang luar biasa kepada negara.

Cuma BN kalah pada pilihan raya umum lepas kerana kita tak dapat menangani fitnah pihak pembangkang. Tumbang bukan kerana kami gagal mentadbir negara sebaliknya tumbang kerana kami gagal menghadapi fitnah. Itu saja.

Yang kedua terbaik bagi saya adalah kerajaan sekarang. Tapi untuk beri penilaian sepenuhnya terhadap kerajaan sekarang pun agak susah sebab ia masih baharu.

Usia kerajaan sekarang baru setahun lebih, jadi kalau dibandingkan dengan 60 tahun sudah pasti ada bezanya.

Namun dalam tempoh setahun lebih ini, kerajaan terpaksa melalui satu permasalahan seolah-olah 60 tahun punya masalah iaitu Covid-19.

Ia bukan masalah yang Malaysia atau Asia Tenggara sahaja hadapi. Tetapi ini penyakit yang berlaku di seluruh dunia dan betul-betul mengancam kehidupan dan aktiviti ekonomi.

Kalau kerajaan berjaya menghadapi masalah ini, kerajaan hari ini akan jadi kerajaan yang cukup kuat sebab kita tahu bahawa kita bukan sahaja menghadapi masalah untuk menguruskan Covid-19 tapi kita juga menghadapi masalah dengan orang tertentu yang hanya melihat kesalahan dan melaungkan slogan retorik.

Contohnya slogan retorik #KerajaanGagal. Gagal tang (dekat) mana nak tanya? Orang yang kata gagal itu pula orang itulah yang ada dalam kerajaan PH dulu.

PH dulu gagal menguruskan negara, tapi sekarang mereka sebut kerajaan gagal. Gagal tang mana? Vaksin? Kalau masa vaksin kurang dulu, ya. Tapi (kadar) vaksin akan meningkat.

Dalam masa sama apabila vaksin meningkat sudah pasti Covid menurun dan aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa.

Malah, kita telah dikategorikan antara negara terbaik di dunia dari segi vaksinasi.

Tentang slogan #KerajaanGagal, adakah ia mainan media sosial semata-mata?

Slogan #KerajaanGagal itu dibawa oleh orang-orang yang saya kenal. Ada seorang bekas penasihat media kerajaan dulu, dia yang tulis kerajaan gagal padahal masa dia jadi penasihat media dulu, dia tahu kerajaannya cukup gagal sehingga saya pernah tulis ‘KERAjaan’.

Perkataan kera itu huruf besar sebab kerajaan bertindak macam kera sampai membiarkan rakyat berpecah belah.

Isu perkauman dan agama pula dibiarkan berleluasa. Mereka suka berlaku hiruk-pikuk, haru-biru supaya mereka boleh memperketat kekuasaan mereka.

Tapi kita bersyukur kerajaan tersebut telah ditumbangkan oleh sekumpulan ahli-ahli Parlimen dengan gerakan yang dibuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kerajaan tumbang kerana anggota parti mereka, Bersatu telah keluar (PH), maka mereka tumbang. Pada masa sama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula berhenti (letak jawatan), tumbanglah kerajaan.

Jadi kami masuk mengambil alih dan terbentuklah kerajaan sekarang.

Kerajaan sekarang seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebut, dibentuk oleh ahli Parlimen, bukan oleh parti kerana parti datang kemudian. Bila ahli Parlimen jatuhkan kerajaan, parti masuk mencadangkan nama ahli-ahli kabinet.

Tapi yang menjatuhkan kerajaan itu adalah kami ahli-ahli Parlimen.

Mengenai pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri, apakah kesan-kesan positifnya? Apakah pelantikan itu telah meredakan suhu politik UMNO yang sebelum ini mahu memutuskan kerjasama dengan PN?

Daripada lebih kurang 190 bahagian UMNO, sudah lebih 170 yang mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Pelantikan itu lebih positif sebab sekurang-kurangnya ahli UMNO memahami bahawa kempen fitnah yang dibawa mereka kononnya UMNO tak dapat apa-apa keuntungan, UMNO hanya pegang jawatan menteri di kementerian-kementerian biasa dan sebagainya.

Namun tiba-tiba UMNO diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri. Jadi UMNO sebenarnya berterima kasih dan bersyukur kepada ALLAH SWT kerana Tan Sri Muhyiddin beri kepercayaan kepada UMNO.

Jadi sekarang nampak kehebatan yang luar biasa dari segi gabungan ini, UMNO atau BN mempunyai 42 kerusi, Bersatu ada 34 kerusi.

Jadi ini dua parti besar yang berada di hadapan, seorang Perdana Menteri dan seorang Timbalan Perdana Menteri.

Ada yang tanya kenapa UMNO tidak jadi Perdana Menteri? Yang mulakan kerajaan untuk jatuhkan kerajaan itu adalah Bersatu dan disokong oleh GPS (Gabungan Parti Sarawak), dan bebas.

Yang paling penting untuk menjadi Perdana Menteri, dia mesti disokong oleh parti-parti politik yang lain. Kita tidak boleh mengatakan kita mesti jadi Perdana Menteri.

Kita boleh jadi Perdana Menteri kalau disokong. Kalau Perdana Menteri itu datang daripada sebuah parti yang kecil seperti dalam PH dulu, Bersatu hanya 13 kerusi tapi mereka mencadangkan supaya Bersatu jadi Perdana Menteri.

Demikian juga keadaan sekarang, UMNO sendiri mencadangkan Perdana Menteri itu ialah Tan Sri Muhyiddin daripada Bersatu.

Sekarang ini Tan Sri Muhyiddin beri pengiktirafan kepada UMNO dengan melantik wakil UMNO jadi Timbalan Perdana Menteri. Kita bersyukur dan berterima kasih.

Shahidan bersama isteri, Datin Seri Shamsiah Md Yassin.-Sumber: Facebook Shahidan

Ada pihak mendakwa bayangan UMNO kembali berkuasa dalam kerajaan semakin jelas dengan pelantikan Ismail Sabri. Apa pandangan Datuk Seri?

Ini pandangan bermacam-macam pihak. Saya nak bagi tahu sebab saya ini buat kerja berdasarkan fakta. Sebelum Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, UMNO dan BN ada 11 kerusi menteri dan lapan timbalan menteri. Jadi kita ada 19 campur seorang lagi senator jadi 20 orang.

Seramai 20 orang anggota UMNO dalam kabinet dan kerajaan tetapi Bersatu hanya ada ada lebih kurang 16 atau 17, jadi majoriti anggota kerajaan atau kabinet adalah UMNO kerana sebelum Timbalan Perdana Menteri dilantik itu, yang majoriti adalah UMNO.

Cuma kempennya adalah kononnya UMNO memegang jawatan yang tidak penting. Saya tidak faham apa orang takrifkan tentang kerajaan.

Saya dulu pegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, saya rasa saya cukup penting.

Bukan kementerian yang menyebabkan kita itu penting atau tidak penting. Ia bergantung pada keterampilan seseorang menteri itu.

Sesetengah orang kata, kementerian ini bagus, kementerian itu tak bagus. Hakikatnya semua kementerian bagus dan memperlengkap antara satu sama lain.

Sebelum Timbalan Perdana Menteri dilantik pun UMNO sudah majoriti dalam kerajaan. Dengan terlantiknya Timbalan Perdana Menteri sudah pasti segala kekuatan berada di sana.

Kemunculan UMNO di sana apa salahnya sebab UMNO adalah parti yang berjaya bahkan semua pemimpin negara sebelum ini adalah bekas DNA UMNO.

Tun Mahathir yang dua kali jadi Perdana Menteri adalah bekas Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin adalah bekas Timbalan Presiden UMNO. UMNO memang sudah lama menyerlah.

Presiden UMNO buat keputusan untuk menolak PN. Tapi kalau menolak PN, jatuhlah kerajaan sekarang Datuk Seri?

Kami ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN pada dasarnya kita akan menyokong kerajaan sekarang dan tidak timbul kami akan menyokong apa yang dikatakan sesetengah pihak. Kita menyokong Perdana Menteri.

Kalau tak sokong Perdana Menteri bermakna kita tak sokong Timbalan Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO itu dilantik oleh Perdana Menteri. Kalau Perdana Menteri jatuh, timbalannya pun jatuh.

Adakah kita nak lihat sebuah parti yang menjatuhkan sebuah kerajaan Melayu Islam yang selama ini diperjuangkan oleh UMNO.

Kami ahli-ahli Parlimen BN akan menyokong kerajaan BN seperti yang dianjurkan Perhimpunan Agung UMNO.

Kita tak mahu keluar jadi pembangkang dan bertanding dalam pilihan raya sebagai pembangkang. Kami akan bertanding dalam pilihan raya sebagai kerajaan.

Semua 115 ahli Parlimen kerajaan menyokong Perdana Menteri. Kalau ada yang tak sokong, isytiharlah. Dulu ada Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz isytihar tapi sekarang Nazri sekarang menyatakan pendiriannya bahawa kembali menyokong kerajaan. Datuk Seri Zahid dan Datuk Seri Najib tidak pernah isytihar keluar daripada kerajaan.

Dua sahaja iaitu ahli Parlimen Padang Rengas iaitu Nazri yang sokong balik dan yang tinggal hanya ahli Parlimen Machang yang sebelum ini mengumumkan tak sokong kerajaan. Tapi saya berdoa benda ini dapat diselesaikan.

Kadang-kadang kita malu kepada rakyat seolah-olah UMNO adalah pencetus masalah.

Sebenarnya tidak, UMNO bukan pencetus masalah sebaliknya kehadiran UMNO menyebabkan kerajaan sekarang kuat.

Klik di sini untuk terus membaca