SYAQIERA Mashayikh berada pada momentum terbaik untuk berdepan pemanah nombor empat dunia dari Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC), Elena Osipova pada pusingan penyingkiran acara memanah Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Yumenoshima Park pada hari ini.
Malah menurut jurulatih memanah wanita negara, Muhammad Marbawi Sulaiman, atlet kelahiran Segamat Johor yang berstatus ranking ke-355 dunia kini lebih bersedia mental dan fizikal untuk berdepan Osipova selepas tampil cemerlang pada pusingan sebelum ini.
Kata Marbawi, di kertas Osipova sememangnya merupakan atlet jauh berpengalaman berbanding Syaqiera, namun beliau percaya tiada yang mustahil untuk anak didiknya berjiwa besar itu melakukan kejutan terutamanya pada temasya sukan terbesar dunia seperti Sukan Olimpik ini.
"Syaqiera sudah bersedia mental dan fizikal mampu memberi saingan yang sengit semasa pusingan penyingkiran itu nanti. Apapun yang penting bagi saya, Syaqiera dapat pengalaman merasai bertanding bersama-sama atlet bertaraf dunia dan pengalaman itu dapat membantunya mematangkan lagi gaya permainannya lebih baik pada masa akan datang.
"Sememangnya prestasi Syaqiera berada pada masa yang sesuai dan tahap yang amat baik. Ini juga merupakan penampilan sulung Syaqiera di pentas temasya besar antarabangsa seperti Sukan Olimpik Tokyo ini," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Syaqiera pada penampilan pertamanya sebelum ini mengakhiri saingan dalam kedudukan ke-43 daripada 64 pemanah pada aksi penentuan ranking acara recurve individu.
Mengulas lanjut, Marbawi mengakui amat berpuas hati dengan pencapaian Syaqiera menduduki kedudukan ke-43 keseluruhan pada pusingan sebelum ini.
"Syaqiera baru satu tahun tujuh bulan bersama saya di dalam program Podium Majlis Sukan Negara (MSN). Jadi catatan skor 630 merupakan pencapaian terbaik untuk dirinya buat masa kini, namun saya percaya Syaqiera mampu memperbaiki catatan skornya pada masa akan datang.
"Walaupun cuma perbezaan empat mata skor yang catatan oleh Mon Redee Sut Txi pada edisi Athens 2004, namun saya secara peribadi berpandangan mutu pemanah kita menunjukkan peningkatan dari segi prestasi yang positif. Sememangnya perbezaan dari segi persiapan mental dan fizikal setiap pemanah juga mempengaruhi prestasi setiap individu pemanah itu sendiri," katanya.
Untuk rekod, Syaqiera berjaya mengutip 630 mata sekali gus mengatasi rekod peribadi terbaiknya 619 mata sebelum ini dan pada masa sama mengatasi catatan terbaik pemanah wanita negara Mon Redee Sut Txi (626 mata) pada edisi Athens 2004.
Klik di sini untuk terus membaca