KEJAYAAN pemanah negara, Syaqiera Mashayikh mengheret Elena Osipova perlawanan penentuan sebelum akur kehebatan pemain nombor empat dunia dari Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC) disifatkan pendedahan berharga buat atlet berkenaan.
Malah menurut jurulatih memanah wanita negara, Muhammad Marbawi Sulaiman, anak didiknya itu telah memberikan aksi terbaik dalam menyaingi lawan berusia 28 tahun itu sepanjang saingan sengit tersebut.
"Alhamdulillah, Syaqiera pada aksi menentang Osipova tampil cemerlang memberikan segala-galanya apatah lagi berjaya mengheret pemanah dari ROC itu sehingga ke set kelima.
"Biarpun menentang Osipova jauh berpengalaman, namun karakter melawan tinggi Syaqiera ternyata menyukarkan lawan untuk menang mudah pada perlawanan ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Dalam aksi di Lapangan Memanah Yumenoshima Park pada Selasa, hasrat Syaqiera untuk mara lebih jauh dalam acara recurve individu Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak kesampaian apabila tewas 4-6 kepada Osipova pada pusingan pertama.
Ditanya sama ada Syaqiera perlu didedahkan lagi dengan pertandingan berintensiti tinggi selepas Tokyo 2020, Muhammad Marbawi berkata, atlet berusia 21 tahun dari Segamat Johor yang berkedudukan ranking ke-355 dunia tersebut wajar diberikan lebih pendedahan kejohanan luar negara.
"Sudah semestinya, pendedahan yang konsisten perlu berikan kepada Syaqiera, supaya dia sentiasa peka dengan suasana kejohanan sebenarnya.
Ia juga bagi membolehkan Syaqiera lebih bersedia mental dan fizikal untuk kejohanan peringkat antarabangsa berintensiti tinggi pada masa depan.
"Syaqiera akan cuti break camp selepas pulang dari Tokyo 2020, kemudianya kami akan melakukan persiapan lebih rapi untuk Sukan Sea dan Sukan Asia,” katanya.
Sementara itu, Syaqiera mengakui teruja apabila dapat menyaingi Osipova pada Tokyo 2020 sekali gus membentuk keyakinan diri sebagai persiapan awal bagi pemburuan slot Paris 2024.
"Pada mulanya perasaan saya teruja dan berdebar juga, namun saya hanya fokus untuk melawan perasaan dalam diri sendiri sepanjang saingan tersebut. Alhamdulillah, saya berjaya memberikan saingan sengit kepada Osipova.
"Ini merupakan pengalaman Sukan Olimpik pertama saya, yang secara tidak langsung memotivasikan untuk melakukan panahan lebih baik untuk kelayakan Paris 2024 bersama-sama rakan sepasukan lain,” katanya.
Syaqiera ke Tokyo 2020 kali ini juga meninggalkan kenangan manis apabila berjaya mengutip 630 mata sekali gus mengatasi rekod peribadi terbaiknya 619 mata, sekali gus mengatasi catatan terbaik pemanah wanita negara Mon Redee Sut Txi (626 mata) pada edisi Athens 2004 lalu.
Klik di sini untuk terus membaca