PUTRAJAYA - Usahawan bumiputera tidak boleh terus ketinggalan dalam aspek pendigitalan ekonomi susulan inisiatif MyDigital yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal tahun ini adalah peluang terbaik untuk mereka... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Usahawan bumiputera tidak boleh terus ketinggalan dalam aspek pendigitalan ekonomi susulan inisiatif MyDigital yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal tahun ini adalah peluang terbaik untuk mereka maju pada masa hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, dewasa ini, golongan bumiputera terutama orang Melayu ketinggalan dalam aspek mata wang digital dan mereka perlu menyambut naratif MyDigital seperti perbankan digital serta pertukaran mata wang asing digital.

Jelas beliau, situasi itu merupakan perkara malang bagi golongan bumiputera kerana bangsa lain sebenarnya sudah lebih ke hadapan dalam menguasai bidang pendigitalan aset serta mata wang digital.

"Contohnya ada tiga syarikat yang diluluskan Menteri Kewangan sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng untuk diberikan tiga lesen urusniaga pertukaran mata wang asing secara digital.

"Senario ini secara tak langsung, secara politiknya dipegang oleh DAP.

"Tetapi, di mana kesungguhan usahawan bumiputera? Hendak mohon lesen pun mungkin kerajaan kena percepatkan kelulusan mereka untuk bersaing, jika tidak kita akan terus ketinggalan dalam dunia pendigitalan aset dan monetori,"katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sejauh mana kefahaman usahawan bumiputera terhadap signifikasi kempen Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Februari 2021.

Menurut Muhyiddin lagi, MyDigital menyasarkan untuk mencipta 500,000 peluang pekerjaan baharu dalam ekokomi digital menjelang 2030 dan seterusnya menyumbang sebanyak 22.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2025.

Sementara itu, Mohd Redzuan yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) mempersoalkan sama ada usahawan bumiputera mengambil peluang untuk memohon lesen perbankan bagi urusniaga pertukaran mata wang asing secara digital.

Jelas beliau, hal ini susulan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini telah mengeluarkan tawaran lima lesen perbankan itu.

"Adakah peluang ini akan diambil oleh golongan bumiputera? Adakah golongan ini akan bekerjasama secara inklusif dengan kaum lain sebagai rakyat Malaysia dan bukan sekadar melibatkan satu syarikat atau satu pemegang taruh?

"Seluruh rakyat Malaysia perlu sama-sama bergerak untuk memastikan aspek inklusif dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan berjaya direalisasikan.

"Kerajaan PN sudah menyediakan dasar begitu baik, namun adakah dasar-dasar baik akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang telah diberi amanah? Kalau kita masih lagi menjadi generasi teragak-agak, saya bimbang golongan bumiputera akan menjadi lebih ketinggalan dalam aspek pendigitalan ekonomi pada masa hadapan,"katanya.

Klik di sini untuk terus membaca