SETELAH dua tahun dunia dilanda Covid-19, situasi masih belum pulih, sebaliknya bertambah buruk dengan kehadiran varian Delta yang lebih mudah menyerang sehingga membawa maut.
Kesan pandemik cukup besar di mana kehidupan seharian telah berubah. Manusia mesti beradaptasi dengan norma baharu dalam usaha memastikan diri dilindungi. Golongan kanak-kanak turut terkesan biarpun kes Covid-19 melibatkan mereka secara langsung masih rendah.
Namun, mimpi ngeri bermula apabila mereka menjadi anak yatim gara-gara wabak tersebut.
Menurut laporan, untuk setiap dua kematian Covid-19 di seluruh dunia, seorang anak ditinggalkan untuk menghadapi kematian ibu bapa atau penjaga.
Jumlah anak yatim Covid-19 akan meningkat seiring wabak yang semakin menggerunkan.
Terdapat keperluan mendesak untuk mengutamakan anak-anak ini dan menyokong mereka selama bertahun-tahun ke depan.
Jurnal The Lancelot melaporkan 1.5 juta kanak-kanak menerima kesan apabila salah seorang atau kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19 dan bergelar anak yatim.
Situasi anak yatim piatu akibat pandemik itu telah mencetuskan masalah global.
Ia memberi impak besar yang kepada kanak-kanak kerana hilang tempat bergantung sekali gus boleh mengganggu emosi serta masa depan mereka.
Penyelidik perlu memberi fokus untuk menyediakan sokongan psikososisal dan ekonomi kepada kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa.
Masalah seperti perintah berkurung dan kegagalan mendapat akses perubatan turut menambah masalah.
Kanak-kanak merupakan kelompok yang amat rapuh dan mereka lebih terdedah untuk mengalami kesihatan mental, penyakit kronik dan sebagainya.
Kita perlu bertindak balas dengan cepat kerana setiap 12 saat seorang kanak-kanak kehilangan penjaga mereka kerana Covid-19. Ia melibatkan kematian lebih sejuta pengasuh kategori utama.
Lebih banyak lagi kanak-kanak akan mengalami kehilangan orang yang menjadi tempat bergantung apabila virus itu menular di banyak negara, ramal para penyelidik.
Orang yang sedang berkabung pula mungkin berisiko mengalami pelbagai trauma termasuk masalah kesihatan, penyalahgunaan dadah, penyakit kronik dan kemiskinan.
Kematian datuk dan nenek merupakan tamparan hebat kepada anak-anak.
Di Amerika Syarikat, 40 peratus datuk dan nenek yang tinggal bersama cucu berfungsi sebagai penjaga utama mereka.
Di United Kingdom, 40 peratus datuk dan nenek turut menjaga cucu masing-masing.
Di hampir setiap negara, kematian lebih tinggi melibatkan lelaki berbanding wanita, terutama pada usia pertengahan dan lebih tua.
Secara keseluruhan, sehingga lima kali lebih banyak anak kehilangan bapa berbanding kehilangan ibu mereka.
Dalam laporan dalam talian yang berasingan yang berkaitan dengan kajian ini, para penyelidik memberi amaran bahawa dengan pandemik yang terus merebak dan vaksinasi belum sampai kepada banyak populasi global, kematian golongan penjaga cenderung terus meningkat.
Pada bulan-bulan mendatang, varian baharu dan lambatnya vaksinasi di seluruh dunia bakal mempercepat wabak. Bahkan di negara-negara yang sudah dilanda pandemik, jutaan kanak-kanak sudah menjadi yatim piatu.
Kesan kematian ibu bapa, penjaga atau pengasuh ini berbeza antara keluarga, komuniti dan negara.
Namun, ada satu persamaan iaitu kehidupan seorang anak sering hancur apabila mereka kehilangan ibu bapa atau penjaga pada usia yang sangat muda.
*Mohd Fudzail Mohd Nor ialah seorang OKU yang pernah menjadi CEO syarikat di Dubai dan Abu Dhabi serta pernah memenangi lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca