APA yang berlaku ketika ini jelas memperlihatkan adanya keperluan agar politik negara dikembalikan ke landasan yang sebenar. Kemelut semasa memerlukan remedi politik yang pantas dan tuntas. Kita tidak mahu ia berlarutan sehingga membawa... Klik di sini untuk terus membaca

APA yang berlaku ketika ini jelas memperlihatkan adanya keperluan agar politik negara dikembalikan ke landasan yang sebenar. Kemelut semasa memerlukan remedi politik yang pantas dan tuntas. Kita tidak mahu ia berlarutan sehingga membawa kepada satu lagi krisis perlembagaan.

Kalau ia berlaku, yang rugi tetap rakyat. Hal ini hanya boleh selesai kalau semua pemain politik kembali mengikut dan menghormati peraturan demokrasi yang asas.

Sebab itu semua pihak wajib menghormati prinsip demokrasi dan menjunjungnya dengan semangat yang sebenar. Proses demokrasi perlu segera dipulangkan kepada Parlimen.

Biarlah Parlimen menentukan siapa yang ada majoriti. Kemudiannya hormatilah keputusan tersebut. Bukankah menghormati majoriti adalah syarat utama dalam amalan politik yang demokratik?

Ini masa yang tepat untuk kita merenung dan menilai semula amalan demokrasi di negara kita.

Secara umum sistem demokrasi dikatakan mempunyai keabsahan sebagai sebuah rejim pemerintahan yang terbaik bagi sesebuah negara.

Negara yang dikatakan demokratik lazimnya percaya bahawa keabsahan kuasa pemerintahan adalah ditentukan sepenuhnya oleh rakyat menerusi proses demokrasi yang sah (pilihan raya).

Bagaimanapun, kuasa rakyat secara praktikalnya terhad dan paradoksikal. Undi kelihatan cuma sekadar alat untuk mengabsahkan kerajaan yang dipilih. Sesudah kerajaan dibentuk, rakyat tidak mempunyai akses langsung dalam hal-hal berkerajaan dan negara.

Di sinilah kelemahan ketara amalan demokrasi; adanya kesangsian berterusan terhadap prestasi kerajaan dan institusi negara yang diburukkan oleh sikap tidak ambil peduli parti politik yang sepatutnya menjadi jambatan menghubungkan rakyat dan kerajaan.

Sudahnya, kuasa rakyat menjadi satu konsep yang kabur dan bercampur baur dengan unsur-unsur yang mengelirukan. Percantuman sistem politik yang kompleks, perbezaan amalan serta faktor sosiologi serta demografi setempat diadunkan dalam satu acuan untuk menjustifikasikan takrifan demokrasi.

Walhal kesemua itu telah mengubah bentuk asal demokrasi dan membawa negara kepada pemerintahan oligarki elitis yang mengawal serta menekan.

Akhirnya idea demokrasi yang mahukan rakyat mengatur kehidupan mereka berdasarkan sistem dan peraturan yang dipersetujui bersama mati disebabkan perkara tersebut. Lebih malang hanya sedikit ruang dan peluang untuk rakyat berpartisipasi secara aktif dalam memerkasakannya.

Bukanlah bermaksud menolak kepelbagaian nilai, kepercayaan, kepentingan serta pendapat masyarakat kontemporari dalam menentukan apa dan bagaimana sesebuah demokrasi itu perlu dilaksanakan.

Tetapi sebagai rakyat yang berdaulat kita harus bertanya kepada diri sendiri, apakah cara yang paling sesuai dan tepat untuk menjadikan demokrasi relevan dan signifikan kepada semua kerana jelas demokrasi itu adalah milik rakyat.

Sebab itu sudah tiba masanya demokrasi negara diperkasa. Bagi tujuan tersebut, demokrasi mesti menjadi lebih praktikal dengan menyediakan ruang dan tempat bagi membolehkan rakyat berpartisipasi dengan aktif menyuarakan pandangan, hujah dan justifikasi mereka.

Menerusi cara ini, penyertaan aktif rakyat membolehkan pertukaran pandangan dan hujah-hujah bernas kerap berlaku dan menjadi sebuah budaya dalam politik negara.

Ini hanya boleh berlaku sekiranya lima elemen berikut wujud dalam masyarakat. Pertama, akses maklumat; rakyat ada akses terhadap maklumat yang benar dan boleh dipercaya.

Kedua, keseimbangan yang substantif; bila pandangan pihak yang berlawanan boleh dijawab secara objektif, seimbang dan tanpa prejudis. Ketiga, kepelbagaian perwakilan; sejauh mana kepentingan semua pihak diwakili oleh mereka yang terlibat.

Keempat, kesedaran; mereka yang terlibat sentiasa jujur dengan meletakkan kepentingan semua dalam berhujah. Dan yang terakhir pertimbangan saksama; dengan kesemua hujah dan pandangan sentiasa dinilai berdasarkan merit tanpa melihat siapa yang mengusulkannya.

Kerana akhirnya, untung nasib rakyat terlalu besar untuk diletakkan di tangan mereka yang bergelar ‘wakil rakyat’ atas nama demokrasi yang sekadar menyulam nama rakyat dengan kerakusan untuk berkuasa.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca