SHAH ALAM - Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) bersedia untuk membekalkan vaksin sekiranya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan pemberian dos ketiga atau dos penggalak (booster) kepada rakyat negara ini. Bagaimanapun, ketika ini pemberian... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) bersedia untuk membekalkan vaksin sekiranya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan pemberian dos ketiga atau dos penggalak (booster) kepada rakyat negara ini.

Bagaimanapun, ketika ini pemberian dua dos vaksin tersebut sudah memadai untuk melindungi diri penerima daripada gejala Covid-19 yang lebih serius.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope, berdasarkan kajian dan keperluan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) tahap keberkesanan vaksin Sinovac melepasi tahap 50 peratus.

Jelas beliau, fasa yang penting pada ketika ini ialah menentukan tahap keberkesanan vaksin selepas ia diberikan kepada orang ramai.

"Katakan sekarang kita sudah suntik 10 juta orang dan daripada 10 juta orang itu ada berapa kes yang ada masalah. Itu yang kita hendak lihat.

"Bagaimanapun, pada masa ini, tahap keberkesanan Sinovac, Pfizer atau AstraZeneca semua adalah sama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Pharmaniaga di sini pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Pengarah Urusan Pharmaniaga, Mohamed Iqbal Abdul Rahman dan Ketua Penyelidik dan Pembangunan Pharmaniaga, Dr Badarulhisam Abdul Rahman.

Pharmaniaga merupakan syarikat yang membekalkan lebih 12 juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan setakat 21 Julai lalu.

Laporan Sinar Harian pada 28 Julai lalu.

Baru-baru ini Sinar Harian melaporkan pakar-pakar kesihatan mencadangkan agar kerajaan memberikan dos ketiga atau dos penggalak kepada penerima vaksin jenis Sinovac di negara ini kerana vaksin itu dikatakan keberkesanannya mengalami kemerosotan dalam tempoh enam bulan selepas suntikan kedua.

Berdasarkan kajian penyelidik dari China, vaksin itu mempunyai tahap antibodi 16.9 dan 35.2 peratus melebihi paras ambang enam bulan selepas dos kedua.

Mengulas tentang perkara itu, Zulkarnain berkata, bukan sahaja Sinovac malah semua vaksin turut mengalami kemerosotan disebabkan oleh keadaan semula jadi tubuh manusia.

"Sebab itu apabila bayi kena suntik vaksin selepas sebulan, kemudian akan disuntik lagi dalam tempoh enam bulan sebab vaksin akan merosot dan kemudian kita tambah vaksin supaya ia akan kekal dalam badan.

"Sebab itu ada dicadangkan supaya perlu ada kajian untuk dos ketiga tetapi sebenarnya ingin saya jelaskan bahawa yang merosot itu bukan sahaja Sinovac, boleh dikatakan semua vaksin akan merosot dan ada kemungkinan memerlukan suntikan ketiga,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan, ketika ini kajian mengenai dos ketiga sedang dilakukan namun pengambilan vaksin dos kedua sudah berkesan dan kekal dalam tubuh badan manusia serta dapat melindungi daripada Covid-19.

"Kajian itu belum selesai lagi tetapi memang ada kajian yang mengatakan kadar bagi dos ketiga akan meningkatkan lagi imuniti tetapi persoalannya perlu atau tidak dos ketiga itu?

"Sebenarnya, walaupun hanya dos kedua, vaksin masih efektif dan masih lagi kekal dalam tubuh,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca