MYANMAR dilanda ketidaktenteraman dan kestabilan selama lebih enam bulan sejak kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan oleh junta tentera dalam satu rampasan kuasa aman pada 1 Februari lalu.
Lebih 900 orang telah terkorban dan ribuan lagi ditangkap selepas berlaku keganasan dan penentangan-penentangan terhadap pentadbiran junta tentera yang melakukan rampasan kuasa tersebut.
Pada waktu pagi 1 Februari lalu, pihak tentera menahan Suu Kyi dan pegawai-pegawai kanannya dalam serbuan waktu subuh yang sekali gus menamatkan pemerintahan sebuah kerajaan awam yang sepatutnya mengangkat sumpah di Parlimen.
Jeneral-jeneral tentera pula mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya umum pada November tahun lalu yang menyaksikan parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan wanita besi itu menang besar dalam pilihan raya berkenaan.
Namun, tindakan jeneral-jeneral tentera itu mencetuskan kutukan antarabangsa termasuk daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.
Namun, selepas enam bulan rampasan kuasa berlaku di negara tersebut, apakah sebenarnya terjadi di Myanmar ketika ini?
Puluhan ribu kakitangan awam dan pekerja-pekerja telah dipecat kerana terlibat dalam protes menentang pemerintahan junta tentera.
Bagaimanapun, satu lagi masalah besar yang perlu dihadapi oleh junta tentera ketika ini ialah penularan pandemik Covid-19 yang cepat merebak.
Lebih memeritkan kakitangan perubatan di beberapa hospital tidak datang bekerja untuk merawat pesakit.
Negara ini telah terjerumus ke dalam keadaan yang kelam-kabut dan hampir runtuh, kata seorang kakitangan, Manny Maung dari pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch kepada AFP.
Penentangan terhadap junta tentera telah dilakukan pada suatu ketika dahulu menerusi perarakan di jalanan sehingga melibatkan ratusan ribu orang di seluruh negara sejak bulan Februari hingga Mac lalu.
Golongan muda penentang junta tentera pula berjoging di jalan-jalan raya dan menjerit slogan dan kadang-kadang menyalakan nyalaan api.
Sungguhpun begitu, apabila tindakan mereka kelihatan semakin keterlaluan, ada sahaja pemberi maklumat sehingga menyebabkan mereka ditangkap oleh polis berpakaian biasa.
Beberapa kumpulan etnik turut menentang rampasan kuasa tersebut dan bertempur dengan pihak tentera.
Para pejuang daripada Kesatuan Kebangsaan Karen yang sebelum ini menawarkan tempat perlindungan kepada para penentang junta tentera pernah menyerang sebuah pangkalan tentera Myanmar pada Mei lalu.
Sebuah lagi kumpulan di sempadan China, kadangkala bertempur dengan pihak tentera Myanmar.
Namun, junta tentera melakukan serangan balas udara itu.
Apa yang terjadi seterusnya pada Suu Kyi?
Suu Kyi yang berusia 76 tahun jarang dilihat di khalayak awam dan beliau kini diletakkan dalam tahanan rumah di ibu negara Naypyidaw.
Pihak berkuasa negara itu mengenakan pelbagai tuduhan terhadapnya termasuk mengimport wakkie-talkie dan melanggar sekatan Covid-19.
Suu Kyi kemungkinan dipenjarakan selama sedekad jika beliau disabit semua dakwaan yang dikemukakan oleh pihak berkuasa Myanmar.
Berikutan disokong oleh Rusia dan China, junta tentera merancang untuk mengadakan satu pilihan raya baharu pada satu tarikh yang ditentukan kelak.
Adakah tarikh pilihan raya itu akan menjadi penyelesaian terbaik di negara tersebut? - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca