PENJENAYAH kejam yang juga perogol bersiri dikenali sebagai Rambo Bentong pernah menggemparkan negara khususnya penduduk di Bentong, Pahang dari tahun 2009 hingga 2012. Kisah Rambo Bentong itu mengakibatkan ramai individu di daerah itu... Klik di sini untuk terus membaca

PENJENAYAH kejam yang juga perogol bersiri dikenali sebagai Rambo Bentong pernah menggemparkan negara khususnya penduduk di Bentong, Pahang dari tahun 2009 hingga 2012.

Kisah Rambo Bentong itu mengakibatkan ramai individu di daerah itu trauma dan hidup dalam keadaan ketakutan angkara beberapa siri jenayah yang dilakukan.

Nama sebenar Rambo Bentong ialah Rabidin Satir. Lelaki keturunan Kadazandusun itu berasal dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah. Dia berumur 42 tahun ketika ditangkap pada tahun 2012.

Kenapa dia digelar Rambo Bentong? Rabidin merupakan penjenayah dan dipercayai suka tinggal sendirian di dalam hutan dan menggunakan pisau ‘Rambo’ untuk mengugut dan menyerang mangsa.

Ada juga cerita penduduk yang mendakwa Rambo Bentong suka dengan persekitaran sejuk menyebabkan dia memilih untuk tinggal di dalam hutan berbumbung pondok kanvas.

Mangsa rogol Rambo Bentong tidak terhad kepada wanita dewasa sahaja tetapi juga kanak-kanak.

Penduduk mendakwa Bentong ketika itu kecoh dengan ancaman ‘Orang Minyak’ selepas berlakunya kes-kes rogol yang sebenarnya dilakukan oleh Rabidin.

Ada juga kisah menyatakan kelibat ‘Orang Minyak’ yang dikejar namun gagal ditangkap.

Mungkin kisah ‘Orang Minyak’ ini ditokok tambah oleh penduduk namun golongan gadis dan wanita hidup dalam kegusaran kerana beberapa siri kejadian rogol berlaku di situ.

Rambo Bentong juga pernah terlibat dalam kes bunuh seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Daerah Bentong. Penjenayah itu didakwa membunuh mangsa berusia 31 tahun antara jam 3.50 pagi hingga jam 4.30 pagi di rumah mangsa di Jalan Tras, Bentong pada 3 November 2012.

Dia juga didakwa merompak dengan menggunakan senjata api, mendatangkan kecederaan dan merogol isteri mangsa sebelum melarikan diri.

Wanita berkenaan kemudian keluar dari rumah sebelum terserempak dengan anggota polis peronda untuk mendapatkan bantuan.

‘Orang Minyak’ ditangkap

Pada 14 November 2012, ‘Orang Minyak’ yang dikehendaki itu berjaya ditangkap oleh tiga anggota polis dan seorang orang awam.

Anggota polis, Koperal Mohd Suhaimi Md Razali mengimbau kembali detik beliau memberkas penjenayah tersebut di dalam hutan berhampiran kawasan perumahan di Taman Shahbandar Hussein, Bentong.

"Ketika itu, saya sudah tamat menjalankan tugas dan pergi ke rumah rakan sepasukan pada jam 4 petang.

"Ketika saya sedang berbual dengan rakan dan seorang lagi lelaki yang juga pemilik rumah di hadapan kediaman tersebut, saya ternampak kelibat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang meneropong dari atas bukit,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong baru-baru ini.

Mohd Suhaimi berkata, beliau mengambil keputusan untuk mendaki bukit tersebut bersama rakannya bagi menyiasat lelaki berkenaan.

"Rakan saya tidak dapat meneruskan pendakian kerana dia memakai seluar jean dan menyukarkan pergerakannya, selain keadaan cerun bukit yang curam.

"Saya pula memakai seluar pendek meneruskan pendakian tanpa membawa senjata sehingga ke lokasi lelaki berkenaan,” katanya.

Mohd Suhaimi berkata, setelah tiba di lokasi, beliau ternampak pondok kanvas dan seorang lelaki sedang mengemas barangnya.

"Saya mula menyoal lelaki yang berpakaian celoreng itu yang kemudian bergerak perlahan dua langkah ke belakang. Saya merapatkan jarak sebagai langkah berwaspada.

"Tiba-tiba lelaki itu mengambil senapang buatan sendiri yang disandarkan di sebatang pokok lalu mengacukan ke arah saya. Mujur saya sempat menepis senjata itu dan menolak lelaki itu sehingga terjatuh sebelum merampas senapangnya," cerita beliau.

Mohd Suhaimi berkata, beliau membuang senjata itu ke belakang sebelum bergelut dengan lelaki berkenaan yang mula bertindak agresif.

"Dia kemudiannya mengeluarkan pisau ‘Rambo’ di pinggangnya lalu melibas ke leher saya. Pada awalnya saya tidak pasti dia telah mencederakan diri saya atau tidak,” imbau beliau.

Mohd Suhaimi akhirnya berjaya menjatuhkan suspek dan menekan kedua-dua tangan lelaki itu kira-kira 10 minit.

"Lelaki itu menjerit dan mengugut mahu membunuh saya namun saya tekad tidak mahu melepaskan suspek yang paling dikehendaki itu,” ujarnya.

Beliau berkata, tidak lama kemudian seorang lagi rakan sepasukan, Koperal Fazely Syam Aziz tiba untuk membantu menangkap suspek.

"Saya terdengar jeritan rakan yang sedang mencari kedudukan saya yang berada di dalam semak,” ujar Mohd Suhaimi.

Cari Suhaimi dalam semak

Berkongsi kisah berkenaan, Fazely menceritakan beliau mencari Mohd Suhaimi namun tidak menjumpainya kerana keadaan kawasan itu dipenuhi semak.

"Saya ternampak sekumpulan kera yang membuat bunyi bising di atas pokok seolah-olah memberi petunjuk lokasi Mohd Suhaimi.

"Saya kemudian pergi ke arah semak dan ternampak Mohd Suhaimi yang berlumuran darah dan masih memegang tangan suspek. Saya kemudian segera membantunya memberkas Rambo Bentong.

"Mohd Suhaimi berpesan kepada saya supaya tangkap Rambo Bentong hidup-hidup,” katanya.

Menurut Fazely, akhirnya beliau bersama rakannya berjaya memberkas penjenayah berkenaan.

"Kami mengikat tangan suspek dengan hanya menggunakan tali pinggang milik Rambo Bentong sementara menunggu bantuan anggota polis lain tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian untuk membawa suspek ke balai polis,” katanya.

Beliau berkata, keadaan Mohd Suhaimi pada ketika itu agak kritikal.

"Beliau (Mohd Suhaimi) dibawa ke Hospital Bentong dan pegawai perubatan mendapati ada kesan kecederaan pada lehernya.

"Saya kemudian menemani Mohd Suhaimi menaiki ambulans ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh untuk rawatan lanjut,” kata Fazely.

Mohd Suhaimi dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan selama seminggu.

"Walaupun cedera parah di leher akibat dilibas suspek dengan menggunakan pisau ‘Rambo’ namun semangat saya tidak pernah luntur untuk meneruskan tugas sebagai anggota polis,” kenang Mohd Suhaimi.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan dirinya terpaksa bercuti sakit hampir dua bulan dan masuk bertugas semula pada awal Februari 2013.

"Saya hanya ditugaskan menjalankan tugasan dalaman selepas kembali bertugas kerana tidak mampu melakukan kerja berat atas faktor kesihatan.

"Sekurang-kurangnya dua minggu sekali, saya pergi ke Hospital Bentong untuk menjalani rawatan fisioterapi selain terpaksa makan ubat penahan sakit jika sakit pada waktu malam,” katanya.

Mohd Suhaimi yang memegang prinsip tidak melakukan kerja separuh jalan jika berhadapan dengan cabaran itu kini bertugas di Unit Peronda Polis (MPV) IPD Bentong.

Bagi Mohd Suhaimi, anggota polis perlu sentiasa bersiap siaga untuk menjalankan tugas dan perlu berani berhadapan dengan risiko selain berkorban demi menjaga ketenteraman dan keselamatan orang ramai.

KRONOLOGI KES RAMBO BENTONG DI MAHKAMAH

13 Disember 2012

Rabidin Satir atau Rambo Bentong didakwa atas tujuh pertuduhan di Mahkamah Majistret Bentong dan Mahkamah Sesyen Raub.

Pertuduhan di Mahkamah Majistret Bentong;

1. Didakwa membunuh seorang remaja berusia 17 tahun, Annie Kok Yin Cheng, di Lot 4168 Kampung Ketari, Bentong pada 7 Mac 2009 antara pukul 11.30 malam dan 1.50 tengah hari, 8 Mac 2009.

2. Dia turut dituduh merogol mangsa sehingga menyebabkan kematian di tempat dan masa sama.

Pertuduhan di Mahkamah Sesyen Raub;1. Didakwa merogol kanak-kanak berusia sembilan tahun lima bulan di sebuah rumah di Taman Sri Marong, Bentong antara jam 2 dan 3 pagi, 9 Julai 2009.

2. Dituduh merogol seorang remaja berusia 17 tahun di sebuah bilik nombor 195, Kilometer 5, Jalan Kuala Lumpur-Bentong antara jam 1 dan 3 pagi, 21 Jun 2010.

3. Tertuduh turut didakwa merogol seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dua bulan di tepi sungai belakang sebuah rumah di Lorong Semanti 1, Ketari antara pukul 12.30 tengah malam dan 1.30 pagi, 29 April 2011.

4. Didakwa merogol seorang remaja berusia 16 tahun lima bulan di sebuah rumah di Ketari antara jam 1 pagi dan 2.30 pagi, 12 Oktober 2011.

5. Dituduh meliwat remaja berusia 16 tahun yang sama.

5 Februari 2013

Mahkamah Sesyen Raub menjatuhkan hukuman penjara 115 tahun dan 50 sebatan terhadap Rambo Bentong selepas dia mengaku salah atas empat dakwaan rogol dan satu tuduhan meliwat. Bagaimanapun, pada 29 November 2013, Mahkamah Tinggi Kuantan menerima rayuan tertuduh dan mengurangkan hukuman kepada 40 tahun dan 24 sebatan.

21 Mac 2013

Rambo Bentong dikenakan hukuman 18 tahun penjara setelah mengaku bersalah menyerang dan mencederakan Konstabel Mohd Suhaimi Md Razali, 24, dengan parang di sebuah rumah di Taman Shahbandar Husin, Bentong pada 2012. Hukuman itu bagaimanapun dikurangkan kepada 10 tahun selepas rayuannya diterima mahkamah.

6 Ogos 2014

Mahkamah Tinggi Kuantan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Rambo Bentong kerana membunuh Annie Kok Yin Cheng, tetapi membebaskan tertuduh daripada tuduhan merogol.

4 Disember 2015

Mahkamah Tinggi Kuantan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Rambo Bentong selepas dia didapati bersalah membunuh seorang kakitangan Jabatan Hutan Daerah Bentong, Khairul Hazri Jamaludin pada 3 November 2012. Rabidin turut dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara dan 10 sebatan kerana merompak menggunakan senjata api, serta mencederakan dan merogol isteri mangsa.

16 Ogos 2018

Rambo Bentong gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan hukuman mati ke atasnya.

Klik di sini untuk terus membaca