GELANGGANG akhirnya dibuka setelah beberapa penangguhan dan teka-teki berkaitan penganjurannya, kini wakil kita berpeluang untuk menunjukkan tekad dan keupayaan mereka demi negara. Peluang memburu kegemilangan sebegini tidak datang selalu, malah pertaruhan semakin tinggi apabila seluruh negara sedang menaruh harapan agar mendapat khabar gembira ketika kelalian serta kepayahan yang dirasakan kerana Covid-19 berterusan.
Sukan Olimpik 2020 yang berlangsung pada tahun 2021 amat jauh daripada kebiasaan. Acara sukan dilangsungkan tanpa penonton merupakan perkara yang paling janggal jika dibandingkan dengan kejohanan di Wimbledon atau di stadium bola sepak serata Eropah yang dipenuhi penonton beberapa minggu lalu.
Riuh-rendah sorakan penonton kini hilang, manakala para atlet, jurulatih dan pegawai yang memakai topeng muka telah menghijab riak emosi di wajah mereka. Tidak dilupakan juga, laporan tentang ketidakpuasan hati orang awam atau sekurang-kurangnya sikap tak endah di bandar yang menjadi tuan rumah acara sukan ini sememangnya tidak pernah berlaku dalam sejarah penganjuran Sukan Olimpik, tidak kira sama ada bermula pada tahun 776 SM atau 1896 M.
Sebelum temasya sukan ini bermula, perasaan rakyat Malaysia kelihatan bercampur-baur, menggambarkan percanggahan pendapat di peringkat domestik sama ada lebih banyak sektor perlu dibuka atau kekal ditutup. Walaupun ada beberapa pihak bersimpati dengan para atlet yang berlatih bersungguh-sungguh untuk mencapai impian bertanding di Sukan Olimpik, ada juga yang meletakkan atlet dan acara sukan dalam kategori yang sama dengan golongan elit ketika orang ramai menghadapi kesukaran.
Namun, mereka terlupa bahawa kekuatan inspirasi yang berkekalan dan peranan menyeluruh yang dimainkan oleh sukan untuk memupuk perasaan bangga akan negara. Malah sebelum Covid-19 melanda, sukan mempunyai keupayaan istimewa dalam menyatupadukan rakyat walaupun negara kita ini sarat dengan perpecahan.
Bergantung kepada sukan pilihan masing-masing, kita mengingati memori indah pukulan smesy depan dan pukulan voli kilas yang tidak berjaya dikembalikan, kayuhan dan pecutan yang kencang, gerakan putaran badan, balik kuang dan hambur tangan yang berjaya memenangi pingat emas di Sukan SEA, Sukan Asia serta Sukan Komanwel (malah dalam acara yang suatu ketika dahulu kita tidak memenangi banyak pingat di dalamnya).
Ketika saat-saat setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira agama dan warna kulit, menyanyikan lagu Negaraku demi menyambut kejayaan berdasarkan merit, disiplin dan kerjasama berpasukan, kita akan dapat membayangkan sebuah masyarakat yang hidup berasaskan prinsip-prinsip yang sama.
Sekurang-kurangnya itulah yang saya fikirkan. Namun, ketika ini ramai rakyat yang berpandangan sebaliknya. Kebanyakan kritikan yang dihamburkan terhadap sebahagian atlet negara disebabkan prestasi mahupun pakaian mereka terlalu menghina. Saya tidak sanggup mengulanginya di sini.
Serangan yang tidak berasas kepada para atlet amat dikesali, sungguhpun ada kewajaran persoalan yang ditujukan terhadap kecekapan pelaburan kerajaan dalam sukan atau kesesuaian kod pakaian atlet. Hal ini kemungkinan berpunca daripada mengharapkan kejayaan sekelip mata, manakala pahlawan papan kekunci pula menikmati perbuatan mencerca tanpa menghadapi akibat buruk di media sosial. Hal ini ironi dan tragik, kerana sekarang merupakan masa yang tepat untuk kita mengambil iktibar daripada sukan.
Tunku Abdul Rahman Putra sering kali bercakap tentang sukan sebagai pemangkin kepada pembinaan negara: kita menyediakan para pemikir muda untuk kedaulatan undang-undang dan semak dan imbang melalui pembelajaran peraturan sukan serta permainan yang adil dan jujur. Kita juga belajar menerima kekalahan dengan bermaruah, tetapi apa yang lebih penting adalah menang secara bermaruah. Hal ini sebagai tambahan kepada faedah kesihatan dan pembangunan masyarakat yang dipupuk oleh sukan di peringkat akar umbi. Malah, Bapa Malaysia kita ini juga telah memilih bola sepak sebagai satu sukan yang boleh menyatukan Malaysia.
Politik antarabangsa ada kalanya mengganggu, seperti ketika Malaysia bersama dengan 65 buah negara lain memulaukan Sukan Olimpik Moscow 1980 walaupun pasukan bola sepak negara layak bertanding. Kebelakangan ini, geopolitik sukan juga telah menafikan peluang pingat emas Malaysia apabila skuasy telah beberapa kali ditolak sebagai satu acara Olimpik. Saya masih berharap suatu hari nanti, Oghang Nogori akan berdiri di atas podium Olimpik untuk sukan skuasy. Para pemain muda negara kita berterusan berlatih di rumah sepanjang PKP.
Sementara itu, Dewan Rakyat (seperti Sukan Olimpik, sebagaimana ditulis di perenggan pertama artikel) ketika ini umpama sebuah stadium yang hingar-bingar. Keriuhan berlaku disebabkan pengakuan mengejutkan bahawa Ordinan-ordinan Darurat telah diungkaikan. Penerangan pihak Istana Negara pula menyatakan bahawa Agong belum memberi perkenan pengungkaian tersebut.
Undang-undang negara sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti mana sukan sudah ditetapkan peraturannya. Dari masa ke masa, peraturan ini akan mengalami pindaan yang dipersetujui para pemain. Peranannya akan menjadi lancar apabila sistem semak dan imbang, iaitu pengadil dan hakim garisan, berfungsi sepenuhnya. Beberapa bulan belakangan ini, beberapa pihak seperti Majlis Raja-raja telah menjalankan tugas mereka dengan cemerlang. Sebahagian pihak tidak berfungsi dengan baik, memberi kesan kepada prospek pingat emas antarabangsa kita.
Mungkin Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (pasangan badminton beregu lelaki yang menewaskan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia) dapat menunjukkan kepada kita perasaan memenangi pingat emas itu.
* Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Presiden Persatuan Squash Negeri Sembilan
Klik di sini untuk terus membaca