JIKA kita masih tidak bersedih dengan keadaan sekarang, tiada lagi kata-kata yang boleh diungkapkan. Saban hari beratus kematian menyentap perasaan ahli keluarga. Kesedihan tidak dapat mengiringi jenazah ke kubur, hanya dapat berbual... Klik di sini untuk terus membaca

JIKA kita masih tidak bersedih dengan keadaan sekarang, tiada lagi kata-kata yang boleh diungkapkan. Saban hari beratus kematian menyentap perasaan ahli keluarga.

Kesedihan tidak dapat mengiringi jenazah ke kubur, hanya dapat berbual menerusi panggilan video serta tidak dapat bersama pada saat kematian semakin meruntun jiwa mereka.

Malah, semakin ramai yang terlantar di unit rawatan rapi, berhimpit di hospital dan rimas berbaris panjang sewaktu saringan Covid-19 amat mencabar kesabaran diri.

Sebetulnya, negara kita seumpama ‘medan perang’. Selain kehilangan nyawa, ramai yang kehilangan kerja, buntu dengan bebanan hutang serta begitu tertekan menguruskan keperluan keluarga.

Setiap hari, kita ‘dihidangkan’ dengan video puluhan kenderaan jenazah di tanah perkuburan, semakin meningkat kes bunuh diri serta bertambahnya golongan yang memerlukan bantuan.

Pendek kata, negara kita Malaysia sedang bersedih.

Tidak dinafikan, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menangani krisis pandemik ini. Pun begitu, usaha kita seumpama mencedok air sungai ke tebing di mana air sungai tidak luak dan tebing pula semakin runtuh. Ini bermakna, segala usaha kita seakan-akan tidak cukup untuk menangani krisis yang semakin kronik.

Justeru, jika usaha kita hampir tepu dan pelbagai ikhtiar dilakukan tetapi hasilnya tidak seberapa, sudah sampai masanya kita perlu bersungguh-sungguh memohon bantuan Divine intervention atau campur tangan Ilahi.

Berkaitan campur tangan Ilahi, kita perlu serius dan benar-benar bergantung harap kepada ALLAH SWT dan tidak menyeru selain daripada-Nya. ALLAH berfirman: "Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah yang lain daripada ALLAH itu, tidak akan sekali-kali dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka beramai-ramai berhimpun untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu daripada mereka, mereka tidak dapat mengambil balik daripadanya (kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (daripada mendapat hajatnya) dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).” (Surah al-Hajj, 22:73)

Betapa besarnya kuasa ALLAH, dihuraikan dengan lebih jelas oleh Pak Hamka menerusi bukunya, Falsafah Ketuhanan, "Demikian luas kuasa ALLAH, banyak yang kita tidak ketahui. Bahkan telah ribuan tahun manusia ada di dunia, tetapi yang diketahui oleh manusia sebahagian kecil sahaja. ALLAH Maha Kuasa menjadikan semuanya dan mengaturnya.

"Dia pun maha kuasa memusnahkan semuanya. Semuanya dapat hancur lebur sesuka kehendak-Nya. Namun, ALLAH tetap kaya, tetap kekal, berdiri sendiri, cukup lengkap segala gelar dan sifat kesuciannya.”

Pada hemat saya, sewaktu Malaysia sedang bersedih, segala tindak tanduk kita biarlah sesuai dengan keadaan sedih kini.

Oleh itu, segala perilaku yang masih galak menyanyi, berdangdut sehingga melanggar SOP dan lupa diri sewaktu dalam keadaan krisis amat tidak boleh diterima sama sekali.

Begitu juga perbuatan menjadikan Parlimen sebagai tempat melunaskan dendam, caci-mencaci, mencari salah itu dan ini adalah amat tidak sesuai sewaktu kita sedang bersedih.

Malah, perbalahan tokoh agama dan sukarelawan ketika saat rakyat merintih cukup merimaskan.

Rakyat sudah bosan dengan semua ini. Mereka perlukan ketenangan bukannya ketegangan. Ingatlah, semua tindakan kita hari ini akan diperhitungkan oleh ALLAH.

Rumusannya, kita semua perlu berdamai dengan ALLAH. Sesungguhnya, ALLAH yang menjadikan setiap kesusahan dan menjadikan kesenangan sekiranya dikehendaki oleh-Nya. Semoga Malaysia tidak bersedih lagi.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)


Klik di sini untuk terus membaca