BARU-BARU ini saya ada membaca artikel yang ditulis oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bertajuk ‘Politiking untuk menyingkir Islam’. Saya tidaklah tahu kepada siapa artikel ini ditujukan, kerana membacanya ibarat meludah ke langit juga. Bagaimanapun isi kandungannya menarik untuk ditelaah.
Abdul Hadi bermula dengan merujuk kepada keadaan negara Tunisia yang dikatakan sedang bergolak.
Kata Abdul Hadi dalam artikel tersebut, kejadian di Tunisia mengesahkan telahan banyak pihak, bahawa hanya Islam sekular dibenarkan bergerak. Maka sebarang perubahan hala tuju untuk kembali kepada Islam akan dihalang.
Saya ada membaca juga secara sepintas lalu tentang apa yang berlaku di Tunisia. Daripada hasil pembacaan saya, terjadinya pergolakan di Tunisia ini disebabkan ada rakyat jelata tidak berpuas hati dengan kerajaan dalam menangani masalah pandemik antaranya.
Seterusnya Abdul Hadi menyentuh pula tentang rampasan kuasa di Mesir yang berjaya menjatuhkan bekas Presiden Mesir Almarhum Dr Mohammad Morsi yang dikatakan oleh beliau, dijatuhkan oleh musuh Barat dan telah merosakkan demokrasi melalui pemilihan yang sah.
Abdul Hadi berkata, musuh Barat cuba menyekat kemaraan Islam.
Katanya walaupun penjajah telah tiada, tetapi kita masih dibelenggu lagi dengan ideologi Barat yang masih diguna pakai dalam sistem pemerintahan negara.
Di Malaysia, persekitaran negara kita pula kata beliau, juga terjadi, di mana pengaruh-pengaruh ini menghalang kebangkitan Islam.
Walaupun begitu, kata beliau lagi yang saya petik secara langsung daripada artikel beliau, "Walaupun begitu, kita bersyukur kepada ALLAH SWT kerana telah berjaya menyatukan parti-parti umat Islam dan bumiputera (UMNO, Pas dan Bersatu) di samping parti-parti bukan Islam yang menolak pendekatan ekstrem.
"Sehingga akhirnya berjaya menubuhkan kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) kerana menyedari pendekatan ekstrem tidak akan mampu menyelamatkan negara dan rakyat.
"Bahkan ternyata kelemahan Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah dalam masa yang singkat bersama kemenangan yang rapuh dan penuh dengan penipuan.
"Justeru, penguasaan kerajaan PN yang menunjukkan perubahan positif akan dicabar, kerana dominasi umat Islam dan kalangan yang tidak ekstrem itu dibimbangi dapat menyelesaikan banyak masalah yang akan membina semula kekuatan umat.”
Begitulah hasil nukilan Abdul Hadi yang saya baca dan petik secara ringkas.
Namun ini membuatkan saya terfikir juga, kalau ditelusuri secara halus menurut pemikiran saya, kebanyakan negara yang bergolak adalah negara Islam, dan berlakunya pertembungan dan perbalahan antara sesama Islam juga.
Maka sampai bila kita perlu menuding jari menyatakan ia disebabkan musuh-musuh Barat? Rujukan-rujukan di atas telah terbukti ia disebabkan permusuhan sesama sendiri. Menafikan dengan menyalahkan orang lain ibarat kata pepatah buruk muka, cermin pula dibelah.
Kejadian yang berlaku di Tunisia merupakan antara sesama saudara juga. Di Mesir pula, antara yang dikecam iaitu Abdel Fatah e Sisi, bukanlah orang jahil.
Dikatakan apabila berbual dengan beliau, sentiasa juga memetik ayat-ayat al-Quran, dan dikatakan sesekali akan mengetuai solat Jumaat.
Di Malaysia seterusnya, kalau kita melihat apa yang berlaku sekarang merupakan pertembungan ideologi atau percanggahan pendapat sesama Islam juga.
Maka, di celah mana keterlibatan musuh Barat kalau ditelusuri secara amnya. Sudah lebih 60 tahun merdeka, negara kita masih dikuasai oleh orang Islam.
Mungkin Abdul Hadi merujuk seperti dalam artikelnya, orang-orang Islam sekadar khadam dan leka menjadi syaitan bisu. Kenyataan begini elok ditanya pada diri kita sendiri, kenapa menjadi sedemikian.
Merujuk pula kepada kemajuan negara-negara Barat, maka kita sepatutnya bertanya kepada diri sendiri lagi, kenapa mereka maju dan kita tidak.
Kalau kita melihat dengan pemikiran yang lebih terbuka, maka kita boleh melihat dengan jelas terutama merujuk kepada cara mereka berfikir bebas mengeluarkan pendapat dan kritikan berbanding kita.
Eloklah kita sama-sama bermuhasabah diri daripada menyalahkan orang lain. Kita bukan lagi ditipu oleh penjajah British, tetapi ditipu berkali-kali, kerana sentiasa membasuh air muka dengan air liur orang yang kita percaya.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca