PILIHAN raya Malaysia dikawal oleh beberapa akta yang berkaitan. Ia terdiri daripada Akta Plihan Raya 1958; Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957; Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981; Peraturan-Peraturan Pilihan... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN raya Malaysia dikawal oleh beberapa akta yang berkaitan. Ia terdiri daripada Akta Plihan Raya 1958; Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957; Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981; Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002; Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 dan Akta Salahlaku Pilihan Raya 1954.

Tidak ada satu akta khusus tentang kawalan pembiayaan politik untuk negara ini. Hanya dalam akta yang salah laku pilihan raya itu ada menyebut tentang pembiayaan politik. Perlembagaan Persekutuan sendiri tidak menyentuh secara khusus tentang hal tersebut.

Sebenarnya usaha untuk mengajak dialog berhubung dengan pembiayaan politik ini telah dimulakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2009 sewaktu beliau mula mengambil alih pemerintahan.

Seperti kebiasaannya orang baharu akan cuba membuat perubahan. Seperti juga Tun Abdullah Badawi (Pak Lah), Najib cuba menjadi reformis pada awal pentadbirannya. Beliau telah menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau juga menggerakkan konsep 1Malaysia yang memikat banyak orang pada mulanya.

Tetapi seperti biasa, reformis tidak dapat menyudahkan agenda reformasinya. Ada beban sejarah dan kenyataan semasa yang menghalang mana-mana usaha membuat reformis sebenar di negara ini. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menjanjikan reformasi menyeluruh menghampakan rakyat apabila realiti sebenar menyekat usaha mereka.

Begitu juga dalam soal menentang politik wang, rasuah dan salahguna kuasa. Tidak ada seorang pun ahli politik yang tidak bersuara menentang ketiga- tiga wabak itu. Tetapi kita juga tahu apa yang diluahkan tidak sama dengan apa yang dilakukan.

Orang yang paling lantang menyuarakan ketidakadilan menjadi pemimpin yang paling tidak adil akhirnya. Ada orang yang boleh berhujah menggunakan ayat al-Quran, hadis dan dalil untuk membenci rasuah, tetapi orang yang sama mengamalkannya. Sepatutnya semakin kuat kita bercakap tentang nilai keIslaman, semakin berkurang amalan rasuah, tetapi hal sebaliknya berlaku.

Malah di kalangan sesetengah orang Melayu hari ini ada pandangan bahawa asalkan Melayu dan Islam, mengamalkan rasuah, salahguna kuasa tidak mengapa.

Maka itulah Datuk Hussamuddin Yaacub menggunakan platform Sinar Harian untuk menggerakkan "Rasuah Busters” yang kini menjadi gerakan massa. Beliau berpendapat perlunya reset sikap dan nilai rakyat, dan memastikan soal agama menjadi benteng, integriti menjadi teras pimpinan.

Parti politik dan pengamal politik perlu didisiplinkan. Dalam konteks pembiayaan politik, tanpa akta yang khusus, kita tidak akan dapat mengawalnya.

Maka itu penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik adalah langkah yang betul dan kena pada masanya. Parti politik perlu dipantau dalam soal menerima sumbangan dan bagaimana sumbangan itu digunakan.

Seperkara lagi ialah perlunya dikawal sebarang sumbangan dari luar. Ini ada kaitannya dengan bahaya campur tangan pihak luar atau usaha mereka untuk mempengaruhi parti berkenaan dan kepentingan negara. Ia membabitkan soal kedaulatan negara.

Parti politik didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). Parti politik sepatutnya mengemukakan laporan audit tahunan pada RoS. Tetapi menurut RoS, kurang dari 30 peratus parti politik yang berbuat demikian. Tambahan pula RoS di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dikuasai oleh parti yang memerintah.

Semua ini menyebabkan tidak berlaku ketelusan dalam pengendalian akaun parti politik. Sepatutnya RoS perlu berani bertindak ke atas parti politik seperti mana ia ghairah menegur dan mengambil tindakan terhadap perniagaan dan persatuan.

Kita harus menerima hakikat bahawa sekalipun ada Akta Salahlaku Pilihan Raya, namun amalan memancing undi dan membeli undi berleluasa. Ia sudah menjadi amalan sejak sekian lama. Bukan semasa pilihan raya umum sahaja hal ini berlaku tetapi dalam pemilihan parti hal ini lebih menonjol.

Salah satu perkara yang tidak disenangi oleh pembangkang ialah parti yang memerintah masih menggunakan segala kemudahan kerajaan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan. Amalan di negara maju ialah bahawa pada ketika itu yang wujud ialah "kerajaan interim”. Yang ada bukan lagi Perdana Menteri atau menteri kabinet. Mereka tidak sepatutnya menggunakan kemudahan rasmi kerajaan. Ini isu yang tidak ada kaitan dengan pembiayaan politik tetapi relevan dalam melihat bagaimana amalan lama perlu diubah.

Jawatankuasa ini telah membuat 30 cadangan membabitkan pembiayaan politik. Ia hasil daripada perbincangan di kalangan ahli jawatankuasa, sesi pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk parti politik dan memorandum yang dikemukakan.

Saya cuma ingin menyebutkan di sini tentang cadangan suatu akta untuk mengawal pembiayaan politik: Akta Pembiayaan Politik dan Perbelanjaan (Political Donation and Expenditure Act, PDEA).

Ketua Penerangan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang juga menjadi anggota jawatankuasa itu, baru-baru ini membangkitkan semula keperluan untuk memperkenalkan undang-undang dan peraturan mengawal pembiayaan politik. Kenyataan itu dibuatnya ekoran kes yang membabitkan Ahli Palimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut beliau, laporan dan cadangan itu telahpun dibawa ke kabinet. Betapa seriuskah pula kabinet Perikatan Nasional (PN) mahu memastikan wujud akta sedemikian sama-samalah kita lihat nanti.

*Tan Sri Johan Jaaffar salah seorang anggota Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Najib Razak pada bulan Ogos 2015. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Klik di sini untuk terus membaca