PADA 6 Jun 2021, tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sepatutnya sudah berakhir dan ia genap lima tahun selepas tarikh sidang yang pertama iaitu 7 Jun 2016. Jika dalam keadaan atau situasi yang biasa, DUN Sarawak sepatutnya dibubar... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 6 Jun 2021, tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sepatutnya sudah berakhir dan ia genap lima tahun selepas tarikh sidang yang pertama iaitu 7 Jun 2016.

Jika dalam keadaan atau situasi yang biasa, DUN Sarawak sepatutnya dibubar dan dikembalikan mandat kepada rakyat negeri berkenaan bagi memilih siapa yang berhak memimpin negeri itu.

Namun, pembubaran DUN Sarawak tidak dapat dilaksanakan dan tertangguh kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Hal ini susulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi menitahkan Proklamasi Darurat untuk menangani ancaman Covid-19 bermula 11 Januari lalu sehingga 1 Ogos hadapan.

Berikutan itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kekal sehingga DUN dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Susulan keputusan pembatalan enam ordinan darurat termasuk Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 pada 21 Julai lalu, bukan sahaja status PRN negeri Sarawak yang menjadi tumpuan, bahkan empat pilihan raya kecil (PRK) yang tidak dapat diadakan sebelum ini iaitu Parlimen Batu Sapi, Parlimen Gerik, Dun Bugaya serta DUN Melor.

Kerusi Parlimen Batu Sapi berdepan kekosongan ketika ini susulan penyandangnya, mendiang Datuk Liew Vui Keong, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) meninggal dunia pada 2 Oktober 2020.

Kekosongan kerusi Parlimen Gerik pula berlaku selepas penyandangnya, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman daripada Barisan Nasional (BN) meninggal dunia akibat sakit jantung pada 16 November 2020.

Untuk kekosongan DUN Bugaya, Sabah dan DUN Melor di Kelantan, kedua-dua penyandang kerusi berkenaan, Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah daripada Warisan dan Allahyarham Dr Md Yusnan Yusof daripada Pas, meninggal dunia pada 17 November 2020 dan 4 Mei lalu.

Berikutan itu, apa yang akan berlaku kepada PRN Sarawak dan empat pilihan raya kecil (PRK) yang tertangguh sebelum ini susulan Proklamasi Darurat akan ditamatkan secara rasmi pada 1 Ogos hadapan?

Adakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan tetap melaksanakan pilihan raya di negeri atau kawasan berkenaan pada saat krisis pandemik Covid-19 semakin parah?

Pelaksanaan Darurat Bersasar

Mengikut undang-undang SPR, sekiranya berlaku sebarang kekosongan kerusi di Dewan Rakyat, Dewan Negara mahu pun DUN, suruhanjaya itu perlu menetapkan prosiding bagi tujuan mengadakan PRK atau PRN dalam tempoh 60 hari.

Justeru, apabila Proklamasi Darurat ditamatkan pada 1 Ogos ini dan pada masa sama, pembatalan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 benar-benar berlaku, SPR secara automatik perlu merujuk Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

"Kalau kekosongan itu tidak diisi, selagi mana tidak ada Proklamasi Darurat baharu bagi menangguhkan sebarang bentuk pilihan raya di kawasan tertangguh sebelum ini, maka perlu diadakan pilihan raya mengikut Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan ditafsirkan sekiranya berlaku kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat, maka kekosongan itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari daripada tarikh dipastikan kosong oleh Speaker Parlimen dan diumumkan SPR, dengan pilihan raya hendaklah dilakukan," kata pakar perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Nik Ahmad Kamal

Bagaimanapun, pada saat negara berhadapan krisis pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan, SPR boleh memainkan peranan untuk menentukan kesesuaian sama ada sesebuah pilihan raya wajar diadakan atau tidak.

Jelas Nik Ahmad Kamal, perkara itu turut diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta SPR di mana, sekiranya SPR berpandangan sesebuah pilihan raya tidak sesuai diadakan atas alasan munasabah, maka suruhanjaya itu boleh memohon supaya Yang di-Pertuan Agong melalui nasihat Perdana Menteri, menitahkan pelaksanaan darurat bersasar.

"Perkara itu boleh dilakukan mengikut Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan di mana permohonan darurat boleh dibuat atas nasihat Perdana Menteri kepada Seri Paduka Baginda.

"Dalam soal penangguhan PRN Sarawak sekiranya perlu, satu rundingan antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat wajar dilakukan sebelum Perdana Menteri memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tindakan selanjutnya," kata Nik Ahmad Kamal lagi.

Tunggu capai imuniti kelompok

Pandangan sama turut dipersetujui bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar yang menegaskan hanya permohonan baharu Proklamasi Darurat sahaja dapat memastikan tempoh penangguhan PRN Sarawak, dilanjutkan semula.

Jelas beliau, mengikut undang-undang pilihan raya, selepas tempoh darurat tamat, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti kedudukan PRN Sarawak dan PRK bagi empat kawasan yang berlaku kekosongan sebelum ditetapkan tarikh kekosongan baharu kerusi berkenaan.

"Perkara ini penting susulan tarikh kekosongan asal yang diumumkan Speaker Parlimen atau DUN tidak lagi terpakai sebelum ini disebabkan kawasan berkenaan sudah diisytiharkan darurat.

"Bagi PRN Sarawak, mungkin Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg boleh memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi mencadangkan Proklamasi Darurat disambung semula, khas untuk negeri itu sahaja," katanya.

Wan Ahmad berkata, tempoh pelanjutan tempoh darurat di Sarawak juga mungkin tidak perlu begitu lama, cukup sehingga penghujung tahun ini.

"Hal ini disebabkan kerajaan sudah mengunjurkan negara akan mencapai tahap imuniti berkelompok dengan sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat Malaysia menerima dua dos vaksin selewat-lewatnya hujung tahun ini," jelas beliau.

Wan Ahmad bagaimanapun berpandangan sekiranya kadar vaksinasi negeri Sarawak lancar dan boleh mencapai tahap immuniti berkelompok dalam masa terdekat, beliau tidak nampak keperluan PRN Sarawak terus ditangguhkan lagi.

Wan Ahmad

Jelas beliau, perkara itu bergantung kepada tahap pencapaian imuniti berkelompok bagi setiap DUN di Sarawak.

"Kalau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatakan tahap imuniti berkelompok tercapai, maka SPR boleh mengadakan pilihan raya yang berlandaskan SOP sangat ketat.

"Cuma kita tidak mahu pengalaman PRN Sabah yang mencetuskan gelombang ketiga jangkitan Covid-19 berulang.

"Bagi saya, faktor utama tercetusnya gelombang ketiga penularan Covid-19 pada PRN Sabah disebabkan tiadanya kawalan pada aktiviti berkempen pilihan raya," ujar beliau.

Wan Ahmad turut menjelaskan tiada undang-undang menetapkan kempen pilihan raya di Malaysia mewajibkan calon bertanding untuk mengadakan ceramah, kunjungan rumah pengundi serta program rapat umum.

Beliau sebaliknya menjelaskan perkara itu sebenarnya merupakan sebahagian budaya politik Malaysia di mana calon lebih selesa untuk berjumpa pengundi secara terus bagi menyampaikan 'personal touch' mereka.

"Kita kena mula mengajar ahli politik dan rakyat negara ini untuk berkempen secara norma baharu dengan polis diminta menguatkuasakan akta larangan berkempen di tempat awam.

"Gunakan sepenuhnya ruang 'digital campaign' menggunakan aplikasi media sosial serta pengedaran risalah kerana kita perlu reformasi budaya kempen pilihan raya sesuai dengan keadaan semasa," katanya.

Tempoh matang

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berpandangan status pelaksanaan PRK bagi empat kawasan yang tertangguh sebelum ini, mungkin tidak perlu dibuat selepas tempoh Proklamasi Darurat tamat.

Jelas beliau, hal ini disebabkan tempoh matang untuk membubarkan Parlimen sudah cukup dan melebihi tempoh tiga tahun daripada tarikh pelaksanaan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) iaitu 9 Mei 2018.

"Berdasarkan pemahaman saya, sekiranya Parlimen sudah cukup tempoh 'cut off' selama 3 tahun, maka tempoh SPR wajib mengisi kekosongan luar jangka di kerusi-kerusi Dewan Rakyat, Dewan Negara dan DUN sudah habis dengan kerusi berkenaan boleh dibiarkan kosong sehingga Parlimen terbubar.

"Justeru, dalam isu status PRN Sarawak dan empat PRK yang ditangguhkan sebelum ini, saya fikir hanya status PRN Sarawak sahaja yang perlu diselesaikan melalui pelaksanaan darurat khusus," jelasnya.

Abdul Rashid

Pandangan Abdul Rashid itu disokong Nik Ahmad Kamal yang menegaskan isu penyelesaian status empat PRK yang tertangguh hanya boleh dijawab berdasarkan Perkara 54 dan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Jelas beliau, sekiranya kekosongan luar jangka itu berlaku pada satu tarikh dalam masa dua tahun daripada tarikh Parlimen wajib dibubarkan setelah mencapai usia lima tahun di bawah Perkara 55 (3) Perlembagaan Persekutuan, maka kekosongan itu tidak perlu diisi.

"Bagaimanapun, kekosongan tersebut (dalam masa dua tahun sebelum tempoh Parlimen bubar wajib) boleh diisi sekiranya Speaker Parlimen menulis kepada SPR memberitahu kekuatan bilangan majoriti parti yang memerintah adalah terjejas.

"Dalam konteks kerajaan PN ketika ini, meskipun kerajaan didakwa tidak cukup majoriti disebabkan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO terhadap kerajaan PN berpecah, namun majoriti mereka masih kekal menyokong kerajaan.

"Melainkan kesemua ahli Parlimen UMNO membuat keputusan luar jangka dengan menarik sokongan daripada kerajaan PN ketika ini, saya fikir tidak perlu untuk Speaker Parlimen mengambil kira takrifan perenggan ketiga Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca