SHAH ALAM - Beberapa penganalisis politik berpandangan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa kerajaan mempunyai majoriti sokongan melebihi 110 ahli Parlimen adalah fakta sahih dan sukar disangkal... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Beberapa penganalisis politik berpandangan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa kerajaan mempunyai majoriti sokongan melebihi 110 ahli Parlimen adalah fakta sahih dan sukar disangkal pembangkang ketika ini.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pembangkang sebenarnya tidak perlu melihat sama ada jumlah sokongan dimiliki kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini terjejas hanya disebabkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa 41 ahli Parlimen parti itu dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan serta-merta daripada kerajaan PN.

Sebaliknya, beliau menjelaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyelami iltizam ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN untuk mengetahui sama ada mereka akan patuh dengan arahan Ahmad Zahid dan membuktikan komitmen untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN dengan segera.

Sebagai bukti, Mohammad Tawfik menegaskan hanya Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang menunjukkan sikap 'gentleman' untuk memohon berpindah kerusi Parlimen daripada blok kerajaan kepada blok berdekatan bebas.

"Beberapa ahli Parlimen BN yang dikatakan akan tarik sokongan bagi mematuhi arahan parti, juga sebaliknya masih gagal membuktikan perkara itu di Dewan Rakyat termasuk Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

"Senario berlaku ketika ini disebabkan UMNO ditadbir oleh Presiden parti yang sangat lemah di mana keadaan itu membolehkan pendirian ahli-ahli Parlimen parti itu sendiri boleh berubah bila-bila masa.

"Kepentingan politik mengikat mereka untuk terus kekal di blok kerajaan dan atas perkiraan itu, saya yakin tidak akan berlaku sesuatu perubahan drastik termasuk pertukaran kerajaan dalam masa terdekat," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub

Sebelum ini, Ismail Sabri menegaskan kerajaan PN yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mendapat sokongan melebihi 110 ahli Parlimen.

Menerusi kenyataannya, Ismail Sabri yang juga Ketua Whip Kerajaan PN memaklumkan, situasi semasa politik negara dalam keadaan tidak stabil boleh menjejaskan usaha kerajaan menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi pandemik Covid-19.

Kenyataan itu dikeluarkan Ismail Sabri susulan Anwar dan pengasas Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Muhyiddin dan seluruh ahli Jemaah Menteri meletak jawatan serta-merta pada Khamis.

Gesaan itu dibuat susulan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita terhadap tindakan kerajaan PN membatalkan enam Ordinan Darurat lebih awal, tanpa menunggu perkenan Seri Paduka Baginda terlebih dahulu.

Selain itu, Mohammad Tawfik turut berpandangan blok pembangkang masih gagal membentuk satu 'grand coalition' dengan koalisi baharu itu perlu mencalonkan seorang calon Perdana Menteri sebagai persediaan menggantikan kerajaan sedia ada.

"Pembangkang juga perlu jelaskan adakah mereka mempunyai sokongan bersepadu daripada keseluruhan blok pembangkang termasuk daripada parti Pejuang dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

"Pakatan Harapan (PH) juga tidak boleh dakwa mereka mempunyai sokongan 'grand coalition' daripada pembangkang termasuk Pejuang kerana Pejuang secara jelas tidak akan menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri," katanya.

Dr Kamarul Zaman Yusoff

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berpandangan dengan penegasan 40 ahli Parlimen UMNO-BN masih menyokong PN manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 32 kerusi, Pas 18 kerusi dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) 18 kerusi serta Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) 1 kerusi, tiga kerusi Bebas dan dua kerusi lagi daripada Sabah, PN masih kerajaan yang sah.

Jelas beliau, rakyat juga saya rasa tidak mahu pertukaran kerajaan pada masa ini dan Muhyiddin tidak perlu berundur sebagai Perdana Menteri seperti mana yang dimahukan pembangkang.

"Kepentingan negara harus diutamakan dengan tumpuan kerajaan semasa untuk menjalankan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mengurangkan impak negatif akibat pandemik ini.

"Cubaan ahli-ahli pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen juga tidak perlu dilayan dan sekadar membuktikan kerakusan mereka dengan agenda merebut kuasa, " katanya.

Klik di sini untuk terus membaca