SHAH ALAM - Kerajaan perlu menyelesaikan segera isu ketidakstabilan politik yang membelenggu negara ketika ini bagi mengelakkan nilai Bursa Malaysia (KLCI) terus jatuh daripada nilai sokongan psikologi, 1500 mata. Pakar ekonomi daripada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menyelesaikan segera isu ketidakstabilan politik yang membelenggu negara ketika ini bagi mengelakkan nilai Bursa Malaysia (KLCI) terus jatuh daripada nilai sokongan psikologi, 1500 mata.

Pakar ekonomi daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, pada Jumaat sahaja, KLCI sudah mencatatkan kejatuhan nilai pasaran saham sebanyak 18.33 mata kepada 1494.60 dengan nilai keseluruhan telah jatuh di bawah nilai sokongan psikologi iaitu 1500 mata.

Jelas beliau, kerajaan perlu memastikan kedudukan pasaran saham pada nilai sokongan psikologi tidak terus bocor pada minggu hadapan daripada paras sokongan kedua iaitu 1475 dan sokongan ketiga iaitu 1,450 mata,

Tambah Nuradli Ridzwan Shah, hal ini memandangkan kegagalan berbuat demikian akan memungkinkan negara mengulangi rekod kejatuhan nilai pasaran saham terendah sejak peristiwa 'Covid-19' pada bulan Mac tahun lalu iaitu pada 1,200 mata.

"Sememangnya, trend FBM KLCI menunjukkan 'downtrend' dengan pasaran saham berada dalam keadaan lemah sejak Januari 2021.

"Bagaimanapun, keadaan kejatuhan nilai pasaran saham ketika ini tidak seteruk peristiwa kejatuhan pasaran saham sewaktu bermulanya krisis Covid-19 yang menyaksikan KLCI mencatatkan kejatuhan sehingga 1,200 mata.

"Saya mengakui isu ketidakstabilan politik sedikit sebanyak mmberi kesan kepada sentimen pasaran saham tempatan dan keyakinan pelabur. Justeru, kerajaan perlu menyelesaikan segera isu ketidakstabilan politik bagi mengelakkan nilai pasaran saham akan terus merudum," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali

Beliau berkata demikian bagi mengulas suasana ketidakstabilan politik negara ketika ini susulan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan perasaan dukacita terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana bertindak membatalkan enam Ordinan Darurat tanpa menunggu perkenan Seri Paduka Baginda.

Tambah Nuradli Ridzwan Shah lagi, Malaysia ketika ini sememangnya sedang berada dalam proses pemulihan ekonomi berbentuk 'V' apabila nilai pasaran saham kembali memuncak mencecah 1,700 mata pada penghujung Disember 2020.

Bagaimanapun, beliau mengakui berlaku penurunan nilai pasaran saham daripada 1,700 mata kepada 1,500 mata ketika ini susulan kerajaan melaksanakan perintah Sekatan Pergerakan Penuh (SPP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Wilayah Persekutuan dan Selangor serta peningkatan semula kes jangkitan Covid-19 yang mencecah 17,000 kes baharu sehari.

"Pada saat ini, kedudukan KLCI berkemungkinan masih boleh bertahan pada paras sokongan psikologi iaitu 1,500 mata disebabkan pelabur-pelabur runcit menampung pembelian saham tempatan selain sokongan daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Bagaimanapun, keadaan itu tidak mampu kekal bertahan untuk satu tempoh masa lama dan kerajaan perlu mengelakkan isu ketidakstabilan politik menjadi konflik berpanjangan.

"Kita juga tidak mahu proses pemulihan ekonomi negara yang berbentuk 'V' ketika ini, bertukar kepada bentuk 'W' dan akhirnya menghilangkan keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca