APABILA penularan pandemik Covid-19 masih gagal dibendung sehingga hari ini, pasti yang paling terkesan adalah petugas barisan hadapan yang menyabung nyawa tanpa mengira siang dan malam. Petugas barisan hadapan adalah wira-wira tanpa... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA penularan pandemik Covid-19 masih gagal dibendung sehingga hari ini, pasti yang paling terkesan adalah petugas barisan hadapan yang menyabung nyawa tanpa mengira siang dan malam.

Petugas barisan hadapan adalah wira-wira tanpa didendang. Mereka termasuklah doktor dan jururawat yang sanggup berkorban demi menyelamatkan pesakit yang perlukan rawatan.

Pihak kerajaan perlulah membuka mata agar kebajikan petugas barisan hadapan dapat dibela, lebih-lebih lagi doktor kontrak yang telah menyuarakan suara ketidakpuasan hati mereka sejak kebelakangan ini.

Sin Chew Daily ketika mengulas isu bantahan yang dibangkitkan doktor kontrak berharap pihak kerajaan dapat menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin agar usaha memerangi covid-19 tidak terjejas.

Kumpulan doktor kontrak di hospital-hospital kerajaan yang mengadakan protes di seluruh negara pada 26 Julai lalu bertujuan menggesa kerajaan melunaskan dua perkara iaitu menerima doktor kontrak sebagai pegawai tetap dan diberi peluang melanjutkan pelajaran.

Tindakan mereka dikatakan bukan berniat berdemonstrasi dan penentangan, sebaliknya memohon kerajaan memberi hak sama rata dengan pegawai berstatus tetap.

Sebelum doktor kontrak mengadakan bantahan secara serentak, kerajaan telah memberi jaminan akan menanganinya dengan merangka pelan lebih komprehensif.

"Tuntutan kumpulan petugas kesihatan berstatus kontrak adalah relevan memandangkan sumbangan dan peranan mereka sebagai barisan hadapan.

"Suara dan rintihan mereka bukan sahaja disokong oleh doktor-doktor yang berjawatan tetap, malah segenap lapisan masyarakat turut berpandangan sedemikian,” ulas akhbar tersebut.

Menurut akhbar itu lagi, tanggungjawab dan tugas yang dipikul doktor kontrak adalah sama seperti doktor berjawatan tetap, namun dari segi gaji dan faedah kebajikan, ia berada dalam kedudukan berbeza.

Kewujudan doktor kontrak timbul setelah kerajaan tidak dapat menambah jumlah penjawatan di sektor kesihatan dalam tempoh segera, lalu keputusan yang dibuat dengan membenarkan graduan perubatan diserapkan ke dalam perkhidmatan awam terlebih dahulu tanpa diberikan jawatan tetap.

"Pada tahun 2016, dasar doktor kontrak diusulkan kerajaan membabitkan kira-kira 2,600 lantikan pegawai perubatan atau doktor, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

"Sistem doktor kontrak terdiri daripada kontrak pekerjaan selama lima tahun. Namun, tempoh itu dikatakan terlalu pendek sedangkan seseorang pegawai perubatan memerlukan tempoh antara lima hingga 10 tahun bagi menimba pengalaman dalam kerjaya mereka.

"Bukan itu sahaja, sebaik sahaja tiba tempoh lima tahun, kerajaan berhak memilih untuk tidak menyambung kontrak perkhidmatan mereka,” tulis akhbar tersebut.

Menurut Sin Chew Daily, sebagai bukti, sehingga Julai tahun lalu, hanya 3.3 peratus yang terdiri daripada doktor kontrak berpeluang diserap sebagai doktor berjawatan tetap.

Sekiranya keadaan itu berlaku secara berterusan, sudah tentu lebih ramai doktor kontrak akan kehilangan kerja, sekali gus menyebabkan berlakunya kekurangan doktor di Malaysia.

"Mengikut perangkaan, nisbah doktor kepada penduduk di Malaysia adalah 4:10,000. Jumlah ini masih dilihat tidak mencukupi lebih-lebih lagi penularan Covid-19 masih dalam keadaan membimbangkan.

"Dalam usaha memberikan penjagaan kesihatan yang lebih sempurna kepada rakyat, adalah menjadi tanggungjawab bagi kerajaan meningkatkan taraf sistem dan kemudahan perubatan dalam negara kita. Begitu juga dengan penambahkan jumlah doktor yang bertauliah dan berjawatan tetap.

"Kerajaan perlu memastikan kebajikan dan segala faedah yang diperoleh oleh doktor kontrak diberi secara saksama. Kontrak yang diberikan oleh kerajaan mestilah dapat memastikan kerjaya doktor-doktor kontrak ini menjamin masa depan mereka,” kata akhbar tersebut.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca