MINGGU lalu saya menulis tentang tarikh yang dinantikan rakyat dan wakil rakyat iaitu Sidang Khas Parlimen yang bermula Isnin lalu. Dalam taakulan minggu lalu, saya menukilkan rakyat memerhati tingkah laku dan kerenah wakil rakyat di Parlimen.
Benar jangkaan saya, perdebatan dan pertikaman lidah begitu hangat, malah ada juga tergelincir daripada landasan adab dan sopan.
Namun, perkara lebih mengejutkan adalah pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) bahawa ordinan darurat telah pun dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai lalu. Ia hanya dimaklumkan pada hari pertama sidang khas tersebut iaitu selepas lima hari ia didakwa dibatalkan.
Pelbagai reaksi timbul dari sudut perundangan atau bukan perundangan. Persoalan keabsahan pembatalan itu juga dibahaskan bukan sahaja di dalam Dewan Rakyat tetapi juga khalayak awam sama.
Minggu ini saya tidak berhasrat mengulas sama ada sah atau tidak pembatalan ordinan tersebut kerana ramai telah memberikan pandangan masing-masing.
Yang di-Pertuan Agong pada 29 Julai lalu dilaporkan menzahirkan dukacita kerana pengumuman kerajaan tentang pembatalan ordinan-ordinan itu dibuat berkuat kuasa 21 Julai, walhal Seri Paduka masih belum memberi perkenan kepada pembatalan tersebut.
Perdana Menteri pula telah mengeluarkan kenyataan akhbar beliau yang menjelaskan senario dihadapi dan pandangan pihak kerajaan.
Sebagaimana saya katakan, saya tidak berhasrat membuat satu pandangan yang tegas sama ada pembatalan itu sah atau tidak kerana untuk menentukan sedemikian, forum paling sesuai ialah Mahkamah Persekutuan.
Pihak kerajaan atau pihak berkepentingan yang lain boleh memohon pentafsiran yang tuntas dari Mahkamah Persekutuan atau Yang di-Pertuan Agong sendiri merujuk kepada Mahkamah Persekutuan. Namun, keputusan dari mahkamah bukanlah boleh dibuat sekelip mata, ia memerlukan masa dan proses yang agak kompleks.
Apa yang saya ingin tampilkan di sini, setelah meneliti penzahiran dukacita Yang di-Pertuan Agong dan penjelasan Perdana Menteri, saya tidak nampak akan wujud titik pertemuan antara kedua-dua belah pihak bagi menyelesaikan isu tersebut.
Ada beberapa pilihan yang boleh dibuat sebagaimana dibincangkan oleh ramai kalangan pakar perundangan, antaranya peletakan jawatan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, memohon maaf atas kekhilafan, pembubaran Dewan Rakyat dan banyak lagi.
Hal itu disebabkan kuasa eksekutif sebenar Persekutuan adalah di tangan Yang di-Pertuan Agong, Jemaah Menteri menjalankan kuasa Yang di-Pertuan Agong tersebut yang diberikan dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan bagi pihak Yang di-Pertuan Agong.
Semua itu adalah pilihan yang tidak boleh dipaksa ke atas mana-mana pihak. Persoalan juga timbul jika Perdana Menteri dan barisan kabinetnya meletak jawatan atau Dewan Rakyat dibubarkan, apakah jaminan kita akan mempunyai kerajaan stabil selepas ini?
Memandang ke hadapan, pada pandangan saya sangat perlu individu berwibawa dilantik untuk menjadi perantaraan agar titik pertemuan dapat dicapai antara semua pihak demi kesejahteraan negara.
Mungkin ada yang sudah lupa suatu ketika dahulu apabila sultan di sebuah negeri tidak sependapat dengan menteri besar dalam suatu isu, baginda membuat protes dengan tidak menggunting rambut baginda dalam tempoh yang lama. Akhirnya menteri besar berkenaan terpaksa digantikan dengan menteri besar yang lain.
Pasti kita tidak mahu insiden seperti itu berlaku lagi. Apa pun musyawarah adalah jalan yang terbaik. Saya tidak boleh bayangkan jika hubungan antara kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong menjadi dingin, bagaimanakah kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat dapat diperjuangkan.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca