PAGI Sabtu (31 Julai) lalu, seorang sahabat dari Perak bertanya bilakah agaknya konflik antara Istana dengan Putrajaya boleh berakhir? Saya jawab "InsyaAllah, tidak lama lagi.” Untuk memahami bagaimana konflik ini timbul, kita teliti... Klik di sini untuk terus membaca

PAGI Sabtu (31 Julai) lalu, seorang sahabat dari Perak bertanya bilakah agaknya konflik antara Istana dengan Putrajaya boleh berakhir? Saya jawab "InsyaAllah, tidak lama lagi.”

Untuk memahami bagaimana konflik ini timbul, kita teliti kembali rentetan peristiwa berikut.

Pada 16 Jun lalu, dalam satu Kenyataan Media Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong 'menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat'.

Walau pun titah Seri Paduka Baginda itu menyebutkan perkataan 'secepat mungkin', ada Menteri yang menjawab bahawa disebabkan Yang di-Pertuan Agong tidak menyatakan apa-apa tarikh tertentu, tidak salah bagi kerajaan menetapkan persidangan itu pada September depan.

Bagi ramai pengamal undang-undang, keengganan Putrajaya mengadakan persidangan Parlimen 'secepat mungkin' itu merupakan perbuatan ingkar terhadap titah raja. Ini bukan kali pertama Yang di-Pertuan Agong mahu Parlimen bersidang segera.

Pada Isnin 26 Julai lalu, akhirnya Dewan Rakyat bersidang. Malangnya, agenda mesyuarat yang diaturkan masih tidak menepati titah Seri Paduka Baginda, kerana Ahli-Ahli Dewan Rakyat tidak dibenarkan membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara. Sebaliknya, mereka akan hanya diberi taklimat.

Apabila Ahli-Ahli Dewan Rakyat mendesak mahu membahaskan Ordinan-Ordinan Darurat seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Menteri Undang-Undang menyatakan semua Ordinan Darurat telah dibatalkan oleh Jemaah Menteri pada 21 Julai.

Demonstrasi di tengah Kuala Lumpur pada Sabtu mencerminkan kegelisahan rakyat.

Soalnya, kenapakah 'pembatalan' ini dirahsiakan dan tidak diwartakan? Inferensi yang boleh diambil dari 'pembatalan' yang dibuat secara rahsia ini adalah menafikan hak Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk membahaskannya.

Tidakkah itu merupakan satu langkah mensabotaj titah Istana sambil menafikan hak Ahli-Ahli Dewan Rakyat ?

Kenyataan Menteri Undang-Undang pada 26 Julai itu segera ditegur oleh Istana Negara apabila Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, sekali lagi membuat Kenyataan Media pada 29 Julai di mana beliau menyatakan antara lain, bahawa –

• Kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Yang di-Pertuan Agong (perenggan 4);.

• Yang di-Pertuan Agong 'menzahirkan rasa amat dukacita' kerana kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan oleh Baginda (perenggan 5);

• Yang di-Pertuan Agong 'menzahirkan rasa amat dukacita' kerana apa yang telah dititahkan kepada Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 lalu (supaya Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan) tidak dilaksanakan (perenggan 6);

• Kenyataan Menteri Undang-Undang itu 'tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat' (perenggan 7);

• Permohonan pembatalan Ordinan Darurat secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang mengelirukan Parlimen gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara (perenggan 8).

Sepatutnya konflik antara Istana dan Putrajaya ini berakhir di sini sekiranya Putrajaya sanggup menerima teguran Istana Negara. Malangnya ia tidak berlaku, kerana pada petang hari yang sama Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan satu Kenyataan Media yang menyatakan, antara lain, seperti berikut: –

"Perdana Menteri juga telah menyembah maklum pandangan Kerajaan bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya...

Kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil ini adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.”

Intipati kenyataan media Jabatan Perdana Menteri adalah bahawa isu pembatalan Ordinan Darurat ini telah pun dipersembahkan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda atas nasihat Jemaah Menteri telah berkenan dengan pembatalan tersebut.

Jika rakyat menyangka jawapan Jabatan Perdana Menteri pada petang 29 Julai itu merupakan 'penutup' (final word) konflik ini, sekali lagi kejutan berlaku apabila Istana Negara menyiarkan warkah Yang di-Pertuan Agong sendiri.

Warkah diraja itu menjelaskan bahawa 'cadangan pembatalan' Ordinan Darurut itu telah 'disembah lewat' iaitu pada 24 Julai 2021 (dua hari sebelum Dewan Rakyat bersidang), dilakukan 'secara tergesa-gesa' dan tidak dibentangkan di Parlimen.

Selain itu, warkah itu menyatakan bahawa tarikh kuatkuasa pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat telah dikebelakangkan (retrospective), iaitu mula berkuat kuasa pada 21 Julai 2021, manakala permohonan diterima oleh Yang di-Pertuan Agong pada 23 Julai 2021.

Oleh yang demikian, Seri Paduka Baginda menitahkan "Cadangan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat ini dibentang dan dibahaskan di Parlimen sebelum ditandatangani oleh Beta.”

Setelah meneliti semua kenyataan media yang telah ditular di media sosial, termasuklah kandungan warkah diraja itu, rakyat boleh membuat perhitungan sendiri 'versi mana' yang mereka mahu percaya dan terima.

Ingatlah, rakyat kita bukan jahil. Mereka sentiasa memperhatikan. Demonstrasi rakyat di tengah bandaraya Kuala Lumpur pada hari Sabtu (31 Julai) lalu mendedahkan sentimen rakyat mengenai persoalan ini – yang masih menanti jawapan.

*Datuk Prof Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di di Universiti Teknologi Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca