MEMBUDAYAKAN masyarakat tanpa tunai menjadi topik hangat yang diperkatakan saban hari. Dimanakah tahap persediaan pengguna dan usahawan bagi pendigitalan sepenuhnya tanpa tunai? Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RHB Islamic Bank Berhad, Dato’ Adisadikin Ali dalam ucaptama beliau, "Pendigitalan ini perlu dilaksanakan dan rakyat perlu bersedia dan belajar untuk menyesuaikan diri untuk era baharu ini.”
Dalam keghairahan mengejar teknologi, pastinya ada risiko yang perlu dikenal pasti. Di saat negara menuju kegagasan masyarakat tanpa tunai, adakah kita sedar masih terdapat jurang besar untuk melaksanakannya.
Walaupun pendigitalan ekonomi dilihat dapat mengurangkan kos negara dan memberi pulangan yang tinggi tetapi perlu diingatkan ada rakyat yang akan terjejas kerana kurangnya kemudahan infrakstruktur jaringan jalur lebar, taraf hidup, usia dan lain-lain.
Kemudahan infrastruktur yang perlu diberikan perhatian adalah kawasan luar bandar dan jaringan jalur lebar. Kerajaan berusaha melaksanakan pemberian bantuan dalam pelbagai bentuk medium seperti E-belia dan E-penjana yang menggunakan platform seperti touch n go atau shopee pay, sedar atau tidak penduduk luar bandar mengalami kesukaran mendapatkannya.
Jika dilaksanakan sepenuhnya, mereka terpaksa keluar jauh ke bandar demi melakukan transaksi semata-mata mendapatkan manfaat daripada bantuan tersebut. Ini akan meningkatkan kos semasa dan terbuktilah golongan ini lebih terkesan di dalam pelaksanaan ini.
Selain itu, tahap penerimaan tanpa tunai ini dilihat daripada perspektif jurang taraf hidup serta perbezaan usia. Bagi faktor taraf hidup, ada yang hidup kais pagi makan pagi, semestinya dengan pendigitalan sepenuhnya akan menyukarkan kelangsungan hidup. Mereka akan dipandang mundur oleh masyarakat. Tambahan lagi, bagi golongan warga emas, mereka ada yang hidup sendiri di kampung, tiada kemudahan telefon mudah alih yang berteknologi cukup hanya sekadar untuk menghubungi anak cucu yang jauh atau perkara kecemasan.
Segelintir golongan berusia emas, mereka berasa malu untuk bertanya perihal teknologi dan elak bebankan orang sekeliling. Justeru, ini semestinya menjadi satu mehnah yang akan menghalang perkembangan pendigitalan di negara kita. Dengan peningkatan kes scammer juga akan menyebabkan rakyat lebih berhati-hati untuk membeli atau melakukan transaksi atas talian.
Bagi konteks usahawan, sememangnya pendigitalan menjadi daya tarikan kepada para pelanggan yang ingin berurus niaga dalam bentuk digital. Pasca Covid-19 telah menyebabkan pendigitalan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan mengalami peningkatan yang drastik. Hal ini sekaligus dapat menarik minat para usahawan untuk menggunakan pendigitalan sepenuhnya.
Kesimpulannya, pemodenan digital yang ingin dilaksanakan secara menyeluruh akan memberi kesan kepada rakyat secara fizikal dan mental. Oleh yang demikian, pihak berwajib perlu berusaha memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan prasarana yang baik bagi proses pendigitalan ekonomi.
Selain itu, perlulah juga mengkaji keperluan dan sistem yang lebih efektif bagi golongan yang terjejas supaya pembudayaan pendigitalan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sekaligus semua pihak mendapat manfaat secara kolektif dan bersepadu.
* Khairunnisa’ Yussof ialah Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka
Klik di sini untuk terus membaca