PENGALAMAN kami rakyat Malaysia yang menjadi sukarelawan dengan Mercy Malaysia di Afghanistan telah sempat saya tulis dalam buku bergambar yang berjudul Sorrow Behind the Smiles. Buku dalam bahasa Inggeris ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa... Klik di sini untuk terus membaca

PENGALAMAN kami rakyat Malaysia yang menjadi sukarelawan dengan Mercy Malaysia di Afghanistan telah sempat saya tulis dalam buku bergambar yang berjudul Sorrow Behind the Smiles. Buku dalam bahasa Inggeris ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada tahun 2006 dan mengandungi empat buah bab tentang pengalaman saya bersama-sama misi bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Iraq (1991), Kosovo (1999), Afghanistan (2001) dan Iran (2004).

Dua bab dalam 68 halaman daripada 345 halaman buku ini mengandungi catatan pengalaman kami di Afghanistan. Sebuah bab sepanjang 10 halaman ialah tentang pengalaman kumpulan anak saya, Dr Muhammad Munawar, Pakar Perunding Perubatan Kecemasan.

Ketika itu Munawar adalah pelajar perubatan tahun akhir di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Pengalamannya sebagai sukarelawan Misi Ke-11 Mercy Malaysia ke Afghanistan ialah hampir sebulan (Mac-April 2002).

Sebuah bab sepanjang 58 halaman ialah tentang pengalaman hampir dua minggu pada Disember 2001 (Ramadan 1422), kumpulan kami terlibat dalam Misi Keempat Mercy Malaysia ke Afghanistan. Dari Kuala Lumpur kami transit di Dhaka, Bangladesh dengan menggunakan penerbangan Biman Airways.

Setelah itu kami terbang ke Karachi, Pakistan dan transit selama beberapa jam. Dengan menaiki pesawat Pakistan International Airlines kami terbang ke Quetta di mana kami dijemput oleh wakil Mercy Malaysia untuk perjalanan jalan darat di celah-celah banjaran pergunungan ke Chaman.

Misi kami terdiri daripada dua orang lelaki dan tiga orang wanita termasuk saya dan isteri, Dr. Noor Aini Raimi, seorang pengamal perubatan swasta. Semasa itu, saya bertugas sebagai Profesor Klinikal di Jabatan Psikiatri, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Di Chaman, kota Pakistan di perbatasan Pakistan-Afghanistan, kami bergabung dengan beberapa orang pakar dan pengamal perubatan dari dua buah negara lagi dan pelbagai golongan usia.

Antaranya ialah Profesor Madya Dr Kamararuddin Jaalam iaitu pakar ortopedik di Universiti Sains Malaysia ketika itu; Dr Khalid Mushtaq pakar respiratologi dan rakan-rakannya dari Pakistan serta tiga orang doktor muda beragama Islam warganegara Britain (usia sekitar akhir 20-an) dari Doctors Worldwide United Kingdom.

Setiap hari, kami menyeberangi sempadan Pakistan-Afghan untuk bertugas di klinik perubatan serta kelompok khemah pelarian perang di Spin Buldak di daerah Kandahar. Satu hari sewaktu ribut pasir di pinggir gurun itu, kami bertugas setengah hari kerana kami sendiri terbatuk-batuk dan terpaksa mengambil ubat dan berehat.

Puluhan kanak-kanak, remaja serta orang dewasa yang dirawat setiap hari di lantai pinggiran gurun. Di lapisan langit yang terdekat sekitar 30,000 kaki di atas permukaan laut, jejak wap pesawat pengebom B-52 Amerika Syarikat (AS) kelihatan menuju ke arah kawasan gua Tora Bora. Ini adalah sasaran operasi pengeboman kawasan yang dikatakan sebagai kubu Osama bin Laden dan para pejuang al-Qaeda.

Kini Spin Boldak baru sahaja ditawan kembali oleh para pejuang Taliban pada pertengahan Julai 2021. Ini hampir 20 tahun selepas mereka menyerah kalah kepada tentera Afghan serta AS yang memerangi mereka pada Awal Disember 2001.

Pada hujung Julai 2021, para wakil Taliban yang sedang berunding dengan wakil kerajaan Republik Islam Afghanistan di Doha, Qatar, menegaskan berkali-kali bahawa mereka mahukan penyelesaian siasah dan bukan cara bersenjata. Sementara tentera AS dan sekutunya sedang rancak berundur dari Afghanistan, Taliban terus mara untuk menguasai seluruh negara yang terlepas daripada genggaman mereka dua dasawarsa silam.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Yayasan Ikram Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca