RAMAI rakyat yang terjejas teruk dan bergelut dengan masalah ekonomi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan virus Covid-19.
Tahap kesihatan mental masyarakat di negara kita juga perlu diberi perhatian serius. Semakin banyak masalah mental dilaporkan rentetan tekanan akibat pandemik Covid-19.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan mereka menerima sebanyak 122,328 panggilan menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial sejak 1 Januari hingga 18 Jun 2021.
Kebanyakannya membabitkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan, hilang tempat bergantung, masalah rumah tangga dan tekanan ketika bekerja dari rumah.
Ramai peniaga kecil turut terkesan akibat PKP kerana tidak dapat berniaga. Antaranya, pasangan suami isteri Mazlan dan Siti Khadijah yang saya kenali setelah beberapa kali bertemu semasa aktiviti kebajikan namun tidak pernah bertanya apa pekerjaan mereka. Rupanya, mereka berniaga pasar malam di Kota Bharu dan sehingga kini masih tidak dapat menjalankan perniagaan.
Kebiasaannya, mereka yang terlibat dalam aktiviti kebajikan mempunyai pendapatan tetap ataupun menerima pencen bagi yang sudah bersara. Lebih-lebih lagi NGO seperti Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang dianggotai oleh golongan peniaga seperti presidennya, Pui Tiong Lam.
Jika terdapat permohonan daripada mereka yang dalam kesusahan dan tiada sumbangan dari luar, mereka akan kumpulkan duit sesama ahli dan ahli jawatan kuasa (AJK).
Hampir setiap hari, Mazlan dan Siti Khadijah mengabdikan diri dalam kerja-kerja kebajikan KKCK, tidak kira hari bekerja mahupun hari minggu.
Saya agak terkejut apabila dapat tahu pasangan suami isteri ini langsung tidak mempunyai pendapatan sekarang dan simpanan mereka juga sudah banyak susut.
Keadaan ini tidak sedikitpun menggusarkan mereka. Kata mereka, ada yang lebih susah dan tiada beras untuk dimasak.
Saya cukup kagum dengan Mazlan dan Siti Khadijah. Mereka tidak menunggu sumbangan di rumah sebaliknya keluar menyampaikan sumbangan kepada yang memerlukan. Sedikitpun mereka tidak mengeluh. Bagi mereka, orang yang bahagia ialah orang yang merasa cukup dan membahagiakan orang lain.
Saya dapat belajar dan menghayati erti syukur apabila turun ke lapangan bersama sahabat-sahabat NGO. Bersyukurlah kerana kita ada mata yang boleh melihat, ada kaki dan tangan untuk bekerja dan dipanjangkan hayat bagi menikmati lagi ciptaan ALLAH. Apabila kita bersyukur, secara automatik, hati akan tenang dan bahagia.
Orang yang bahagia ialah orang yang menyelesaikan masalah. Apabila berdepan cabaran hidup, mereka akan berfikir cara menghadapi dan menyelesaikannya.
Kita boleh bantu orang lain yang bermasalah dengan mempermudahkan urusan mereka.
Jadilah orang yang optimis dan melihat gelas yang berisi separuh sebagai separuh penuh, bukannya separuh kosong. Orang optimis mencari manfaat dan hikmah daripada setiap masalah atau cabaran.
Sebagai umat Islam, kita sering diingatkan bukan sahaja agar tidak bertangguh untuk melakukan kebaikan tetapi apa jua pekerjaan atau tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita.
Jika anda semua terfikir untuk membuat kebajikan, sekarang adalah masa yang terbaik. Lihatlah di sekeliling kita; jika ada jiran dan sahabat yang putus bekalan makanan, bantulah mereka. Tidak perlu tunggu anda kaya.
Tidak perlu tunggu ada duit lebih. Jika tidak boleh bantu daripada segi kewangan, bantulah dengan tenaga atau kudrat, sebagaimana pasangan Mazlan dan Siti Khadijah. Semoga mereka yang seperti ini mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.
* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca