SHAH ALAM - Kehilangan insan tersayang amat memeritkan buat sesiapa sahaja tetapi berbeza bagi seorang kanak-kanak yang berusia hanya 12 tahun.
Aizam Danish Kharal Anuar yang masih belum puas merasai kasih sayang daripada ibu dan bapa terpaksa berserah kepada takdir selepas kedua-dua insan disayanginya itu dijemput Ilahi dalam tempoh seminggu akibat dijangkiti Covid-19 baru-baru ini.
Bapanya, Kharal Anuar Shahri, 61, meninggal dunia sehari sebelum sambutan Aidiladha iaitu pada 19 Julai, manakala ibunya, Zainah Mahadi, 43, menghembuskan nafas terakhir empat hari kemudian.
Kedua-dua mereka meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor.
Sepupu Aizam Danish, Siti Norliza Johar, 23, berkata, kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata membuatkan kanak-kanak itu berada dalam keadaan yang teramat sedih dan sering menangis tanpa henti.
"Semasa mendapat tahu ibu dan bapanya meninggal, Aizam Danish kelihatan trauma, takut dan menangis. Dia amat terasa kehilangan ketika itu kerana dia merupakan anak yang sangat rapat dengan kedua ibu bapanya. Dia pula baru berusia 12 tahun.
"Aizam Danish juga merupakan anak tunggal. Jadi saya berasa sedih dan kasihan melihat keadaannya kerana saya tahu dia merupakan anak yang terlalu manja dan mengharap ibu bapa yang menguruskan semua,” katanya kepada Sinar Harian.
Ceritanya, bapa Aizam Danish disahkan positif Covid-19 tahap empat pada 18 Julai dan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Selayang.
"Ibunya pula mengalami simptom batuk teruk sehingga tidak boleh tidur malam. Ibu Aizam Danish meninggal dunia pada 23 Julai lalu di rumah mereka sebelum dibawa ke Hospital Selayang,” katanya.
Siti Norliza menambah, keadaan Aizam Danish kini bertambah baik dan kelihatan tenang berbanding hari kejadian walaupun ada ketika terbit kerinduan di wajah anak kecil itu.
"Keadaan dia sekarang bertambah baik namun bila sampai waktu dia rindu, dia akan banyak bercerita tentang arwah bapa dan ibunya. Itu sahaja memori mereka bersama.
"Sebagai keluarga yang terdekat dengan Aizam Danish, kami juga selalu memberi kata-kata semangat yang tidak putus kepadanya agar dia sentiasa kuat dan tabah menghadapi dugaan tersebut,” katanya.
Siti Norliza kini menggalas tanggungjawab menjaga Aizam Danish.
"Buat masa ini, Aizam Danish tinggal bersama saya dan suami di Selayang dan kami yang menggalas tanggungjawab untuk menjaga semua kebajikannya. Kami sebagai penjaga akan mencuba sebaik mungkin untuk memberikan kasih sayang secukupnya seperti arwah ibu bapanya.
"Walaupun Aizam Danish kehilangan ibu bapa di usia yang sangat muda, kami tidak mahu dia berfikir, dia sebatang kara di dunia ini. Saya akan menjaganya sehingga dia besar dan berjaya,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca